10 Januari 2013
Tindakan Ke Atas Penyebar SMS dan Berita Palsu Di Internet
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperingatkan orang ramai tentang bahayanya penyebaran berita palsu menerusi internet dan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).
Ini ekoran berita palsu mengenai kesihatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini.
“Kami mengambil serius perkara ini. Siasatan sedang dijalankan dan seperti biasa kami bekerjasama dengan polis dan jika didapati melanggar undang-undang, mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang yang sedia ada,” kata Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi.
Di bawah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, seseorang yang menggunakan internet atau telefon untuk menyebar berita palsu boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Jika didapati bersalah mereka boleh didenda RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
“Orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan berita berkenaan melalui SMS atau media sosial kerana berita palsu seperti yang ditulis dalam blog berkenaan boleh mengganggu gugat keselamatan negara, kesejahteraan masyarakat dan adalah pengaruh buruk terhadap kedudukan ekonomi masa kini,” katanya. - BERNAMA
Sumber: BHarian [2013/01/09]
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan