20 Mac 2013

Internet Percuma Untuk Warga Miskin



Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pada 19/03/2013 tentang perkhidmatan internet percuma setengah jam sehari untuk warga miskin di bandar dan luar bandar.

Perdana Menteri berkata butiran lengkap mengenai kaedah dan pelaksanaan inisiatif itu akan disediakan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Perkhidmatan yang dijangka dilaksanakan bulan April 2013, bakal dinikmati kira-kira lima juta rakyat Malaysia.

Sementara itu, Rais berkata, kelayakan penerima inisiatif internet percuma adalah sama dengan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).


“Ini bermakna mereka yang layak ialah mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang RM3,000 sebulan.

“Namun, kami masih mengkaji mekanismenya, selain cuba untuk memperluaskannya kepada golongan yang tidak memenuhi kriteria itu,” katanya menjelaskan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan melaksanakan inisiatif itu.

Rais berkata, perkhidmatan itu akan ditawarkan berasaskan harian dan membabitkan semua syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan internet.

Katanya, kajian dibuat baru-baru ini mendapati kebanyakan orang hanya menggunakan internet 15 hingga 30 minit setiap hari.

Oleh Ahmad Fiesal Othman dan Ahmad Farizal Hajat
Sumber: BHarian [2013/03/20]

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata inisiatif internet percuma bagi setengah jam pertama yang diumumkan kerajaan dijadual bermula bulan depan membabitkan semua syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan internet.

Beliau berkata, ia disediakan kepada mereka yang layak berdasarkan kriteria kelayakan penerima program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Ini bermakna mereka yang layak mendapatnya ialah mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan.

Rais berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan bertanggungjawab melaksanakan inisiatif berkenaan.

Katanya, perkhidmatan internet percuma bagi setengah jam pertama itu akan ditawarkan berasaskan harian dan membabitkan semua syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan internet.

Sumber: BHarian [2013/03/20]

Rakyat Malaysia semakin celik internet

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan mencatatkan kejayaan besar dalam penyediaan kemudahan internet dengan kadar penembusan jalur lebar pada akhir Oktober 2012 meningkat sehingga 64 peratus berbanding hanya 10.9 peratus pada tahun 2006.

Peningkatan ketara ini merupakan kesan langsung daripada inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan yang dilancar pada tahun 2009 khususnya melalui pembinaan Pusat Internet Rakyat dan pengagihan komputer riba 1Malaysia kepada keluarga yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.

Menurut Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2012, Jabatan Perdana Menteri, tahun 2011 menyaksikan pelaksanaan program Kampung Tanpa Wayar di kawasan luar bandar dan kerajaan menyediakan akses Internet percuma di situ.

Pada tahun itu sahaja, 1,400 kampung menerima manfaat daripada program ini dan lebih kurang 349,400 komputer riba diagihkan.

Pada tahun 2012, sejumlah 689 kampung menerima akses Internet percuma ini malahan kerajaan turut membina 162 Pusat Internet Rakyat dan 336 menara komunikasi tambahan.

Kementerian itu juga berusaha untuk membaiki keselesaan dan kecekapan perkhidmatan komunikasi rakyat dan negara apabila memperkenal Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan untuk telefon mudah alih awam.

Melalui standard ini, bilangan panggilan terputus tidak boleh melebihi lima peratus nilai ambang dan bermula tahun 2012 program ini diperluas untuk menyediakan statistik panggilan terputus sebanyak dua kali setahun.

Pada Jun 2012, statistik ini menunjukkan hanya 1.3 peratus panggilan terputus. - Bernama

Sumber: Kosmo [2013/03/20]

0 comments: