PELBAGAI perisian antivirus boleh didapati di pasaran bagi melindungi komputer anda.
INTERNET membawa banyak kebaikan kepada manusia sejagat sekali gus memperkenalkan konsep dunia tanpa sempadan. Internet membolehkan pelbagai jenis tugas dan urusan dilaksanakan secara dalam talian tanpa perlu berada di lokasi secara fizikal.
Pengguna tidak perlu ke bank untuk pemindahan wang atau ke butik pakaian semata-mata mahu membeli sehelai pakaian. Semua itu boleh dilakukan dengan menggunakan komputer, tablet atau telefon pintar yang mempunyai capaian internet, malah bil utiliti juga boleh dilunaskan dengan gajet tersebut.
Begitupun, di sebalik kecanggihan teknologi itu, terdapat risiko yang perlu ditanggung oleh mereka yang memanfaatkan kemudahan tersebut. Spyware, virus, trojan, laman web palsu dan penggodam merupakan ancaman terhadap mereka yang melayari laman web.
Setiap pengguna komputer bertanggungjawab melindungi komputer mereka daripada ancaman tersebut dengan menggunakan aplikasi antivirus yang efektif dan boleh dipercayai. Bagaimanapun, ia pasti melibatkan kos yang agak tinggi kerana pengguna perlu membuat pembayaran setiap tahun bagi memperbaharui lesen sekali gus membolehkan aplikasi antivirus dikemas kini.
Mujur terdapat pelbagai perisian antivirus yang boleh diperoleh secara percuma, kebanyakannya menawarkan ciri yang hampir menyamai versi berbayar.
Jika anda merupakan salah seorang pengguna yang telah jemu membuat pembayaran langganan setiap tahun, berikut disenaraikan perisian sekuriti internet yang mampu memberikan perlindungan terhadap ancaman yang berleluasa di dunia maya ini.
Avast Antivirus
Avast merupakan salah satu antivirus popular yang boleh dimuat turun secara percuma di internet. Antaramuka penggunanya (GUI) membolehkan pengguna dari pelbagai peringkat usia menggunakan aplikasi sekuriti ini.
Selepas pemasangan, ia akan melakukan Quick Scan bagi mengimbas kehadiran virus atau potensi ancaman yang boleh membahayakan sistem komputer anda. Antivirus ini juga didatangkan dengan ciri Software Updater yang memberitahu pengguna sekiranya mereka terlepas kemas kini aplikasi yang penting.
Ia juga mampu mengenal pasti add-ons yang tidak diperlukan pelayar internet. Avast turut menawarkan versi berbayar buat pengguna yang inginkan perlindungan tambahan kepada komputer mereka.
SETIAP pengguna perlu melindungi perkakasan dan gajet mereka dengan perisian antivirus.
AVG Antivirus
Tidak keterlaluan jika dikatakan versi percuma antivirus AVG ini menawarkan pakej perlindungan yang menyeluruh dan hampir menyamai ciri yang ditawarkan oleh antivirus berbayar. Selain memberikan perlindungan dengan enjin antivirus, ia turut menawarkan ciri seperti pengimbas e-mel, perlindungan kecurian identiti dan LinkScanner Surf-Shield.
Pengimbas e-mel melakukan imbasan setiap kali dibuka. Ini dapat mengelakkan komputer anda memuat turun fail yang mengandungi virus, trojan, malware atau apa sahaja material berbahaya yang boleh melumpuhkan sistem komputer.
Pemantauan perilaku yang ditawarkan di dalam perlindungan kecurian identiti mampu mengelakkan penggodam mencuri identiti pengguna.
LinkScanner Surf-Shield pula membuat imbasan pada setiap pautan yang terdapat pada sesebuah laman web yang dibuka oleh pelayar bagi memastikan pautan tersebut tidak membawa pengguna kepada laman web yang berisiko.
Bitdefender edisi percuma
Aplikasi antivirus ini popular dalam kalangan penganalisis sekuriti dan sering digunakan oleh makmal ujian bebas. Begitupun, versi percuma Bitdefender tidak menawarkan perlindungan proaktif seperti versi berbayar.
Sebaliknya, versi percuma hanya melakukan imbasan dan memeriksa setiap kali fail cuba dibuka atau dimuat turun. Ia melakukan imbasan fail apabila diarahkan.
Sungguhpun begitu, Bitdefender dikhabarkan mampu mengesan kehadiran virus yang tidak dapat dikesan oleh aplikasi sekuriti lain. Apa yang pengguna perlu lakukan hanyalah merajinkan diri untuk membuat imbasan secara manual sekerap mungkin.
Oleh KHAIRUL ANUAR ABDUL RAHMAN
Sumber: Kosmo
1 comments:
sy pakai avast jer...
Catat Ulasan