15 April 2013

Mendidik Anak Menabung

Mendidik anak menabung

Pendidikan terbaik untuk anak-anak disemai di rumah. Kanak-kanak lebih banyak belajar dengan memerhati daripada melakukan apa yang disuruh. Oleh itu, sebagai ibu bapa, tindakan kita memberi kesan mendalam dan perlu berhati-hati supaya tindak tanduk kita tidak bertentangan dengan apa kita katakan.

Menjaga kanak-kanak perlukan sepenuh perhatian. Malah tugas ini sama besar tekanannya, dan dalam keadaan tertentu, lebih banyak cabarannya daripada kerja biasa. Seseorang ibu bapa sepenuh masa mempunyai bidang kerja seperti ini; menyediakan sarapan, memastikan anak-anak bersarapan, menyediakan bekal, menghantar ke sekolah dan selepas itu berkejar pulang untuk membasuh kain baju pula.

Selesai semua tugas itu, tiba pula menyiapkan makan malam, menghidangkan, basuh pinggan, memandikan anak-anak serta memastikan mereka tidur pada waktunya. Tidak hairanlah banyak pusat jagaan kanak-kanak dan agensi pengambilan pembantu rumah tumbuh bagai cendawan pada musim hujan.


Mengajar anak-anak nilai wang dibelanjakan

Dalam ekonomi yang mencabar, sesebuah keluarga yang mana suami dan isteri bekerja adalah sesuatu yang biasa. Beban kerja yang berat dan gaya hidup penuh tekanan menyebabkan ibu bapa sering dalam keadaan amat letih dan tidak mempunyai banyak masa untuk dihabiskan secara berfaedah dengan anak-anak.

Sebagai contoh, Aida dan Adam meletakkan anak mereka Alisa dalam jagaan datuk dan neneknya ketika mereka bekerja. Ini memang lebih baik berbanding meninggalkan mereka dalam jagaan pembantu rumah asing. Namun cara ini juga tidak baiknya. Ramai datuk dan nenek suka memanjakan cucu mereka.

Misalnya, Adam dan Aida mungkin hanya benarkan Alisa makan ais krim pada hujung minggu dan tidak benarkan dia menonton televisyen pada waktu siang. Datuk dan neneknya pula mungkin kurang tegas.

Oleh itu, apabila tiba masa mengajar mengenai kewangan, kedua-dua ibu bapa dan datuk nenek perlu sehati sejiwa apabila mendidik anak dan cucu mereka dan tidak mengajar perkara yang bercanggah antara satu dengan lain.

Jadi bagaimana cara sepatutnya mengajar Alisa atau anak-anak kita mengenai pengurusan kewangan? Di bawah disenaraikan beberapa garis panduan berdasarkan peringkat umur yang boleh digunakan untuk mendidik kanak-kanak mengenai nilai wang.

Peringkat pra-sekolah

Peringkat umur ini tidak terlalu untuk untuk mula menyemaikan amalan terbaik dari segi kewangan. Ibu bapa boleh bermula dari peringkat awal lagi dengan menyediakan tiga tabung duit. Satu, tabung untuk beramal; kedua, tabung untuk simpanan dan ketiga, tabung untuk belanja. Elaun, belanja atau hadiah yang diperolehi anak-anak seperti duit raya atau angpow, dimasukkan dalam tiga tabung ini.

Duit dalam Tabung Amal digunakan untuk mendidik mereka membantu golongan serba kekurangan seperti mangsa bencana alam, menderma membantu kanak-kanak jantung berlubang menjalani pembedahan dan sebagainya.

Duit ‘Bank Belanja’ digunakan untuk membeli barangan yang anak-anak inginkan. Apabila duit sudah habis, mereka tidak boleh ambil duit dari Bank Amal atau Bank Tabungan.

Duit dalam Bank Tabungan pula bagi tujuan mencapai sasaran jangka pendek yang tertentu. Misalnya, menabung untuk beli kereta kawalan jauh atau hadiah istimewa buat hari jadi ayah dan ibu tersayang.

Peringkat sekolah rendah

Apabila kanak-kanak mencapai umur tujuh tahun, mereka sepatutnya sudah bersedia untuk menyediakan belanjawan mini. Menerusi belanjawan mini, perbelanjaan dan pendapatan hendaklah dicatatkan dalam buku notya kecil. Kita asingkan Bank Tabungan kepada Tabungan Jangka Pendek dan Tabungan Jangka Panjang dan ajar anak-anak cara merekodkan perbelanjaan.

Peringkat remaja

Ini adalah paling kritikal bagi kanak-kanak kerana ia adalah tahun peralihan kepada peringkat dewasa. Apabila mencapai tempoh ini, mereka sudah seharusnya faham asas kewangan dan belanjawan peribadi dan sudah mengguna kaedah berkaitan.
Ketika fasa ini, kita mahu memberi anak-anak lebih kuasa dalam membuat keputusan tentang kewangan mereka. Tanggungjawab yang diberikan juga lebih besar, Biar mereka sendiri merancang mengikut cara mereka membelanjakan wang dan bertanggungjawab sepenuhnya dengan setiap keputusan yang diambil.

Wang tidak tumbuh melata

Kesimpulannya, ibu bapa patut mula mengajar anak-anak dengan konsep ‘kerja untuk elaun’ dalam tempoh ini. Cara ini untuk mengajar kanak-kanak apabila sampai ke satu tahap dalam hidup mereka. tiada lagi semuanya boleh didapati dengan percuma.

Wang yang dibawa pulang oleh ibu dan bapa setiap bulan adalah hasil kerja keras mereka. Jadi, anak-anak akan menyedari nilai sebenar wang dan lebih berhemat ketika berbelanja.

Kita, sebagai ibu bapa perlu berhati-hati menyemai sikap terpuji ketika memupuk anak-anak belajar menabung. Jika tidak, pertumbuhannya akan terencat atau tidak menghasilkan buah yang diingini. Wang mungkin tidak tumbuh melata, tetapi usaha kita akan membuahkan hasil kepada anak-anak kita.

Sumber: BHarian

2 comments:

Mizz Aiza berkata...

amalan menabung perlu dipupuk sejak anak2 masih kecil..

Aku pengembara berkata...

Betul tu.. sampai skg nie pun saya masih menabung lg.. simpan duit2 syiling.... :)