Nuff Atas

15 Mei 2013

Pujian Boleh Memudaratkan

Pujian boleh memudaratkan
Pujian memberikan kesan besar terhadap keyakinan diri anak. Kanak-kanak kerap dipuji mudah rendah diri jika gagal laksana tugas

Kajian mendapati memuji diri anak bukan pendekatan terbaik untuk menggalakkan anak berusaha melakukan sebarang tugasan. Malah, bagi sebahagian anak yang kurang berkeyakinan, pujian terhadap peribadi mereka boleh menyebabkan dirinya lebih malu jika gagal menjadi cemerlang.

Konsep pujian untuk memotivasikan kanak-kanak mula menjadi ikutan bermula pada 60-an dan 70-an di Amerika apabila kebanyakan penyelidik mendapati banyak masalah timbul dalam masyarakat di negara itu disebabkan keyakinan diri yang rendah.


Sejak itu, pujian menjadi satu kaedah bagi meningkatkan keyakinan diri mereka. Bagaimanapun, bermula awal 90-an, penyelidik sepakat mengatakan bahawa kanak-kanak yang terlalu banyak menerima pujian atau dipuji tanpa sebab boleh memudaratkan.

“Jenis pujian bersifat keperibadian boleh memakan diri. Apa yang dilihat masuk akal kadang-kadang mencetuskan kebuntuan terutama pada saat berdepan kanak-kanak yang rendah diri,” kata ketua penyelidik, Utrecht University, Belanda, Eddie Brummelman.

Membesar dengan rendah diri

Penyelidik mendapati kanak-kanak yang kurang keyakinan diri selalu menerima pujian bagi meningkatkan prestasi diri dan pujian itu didapati boleh menimbulkan rasa malu jika gagal. Akhirnya anak itu akan membesar tanpa keyakinan diri.

Kajian membabitkan 375 ibu bapa, di Belanda berumur lingkungan 29 hingga 66 tahun, membaca enam kenyataan mengenai andaian kanak-kanak, tiga adalah yang tinggi keyakinan diri (contohnya : Lisa senang berkawan dengan individu berpersonaliti sama) dan tiga kategori pujian merendahkan diri (contohnya : Sarah selalu rasa dirinya tidak sempurna).

Responden juga disuruh menulis jenis pujian yang selalu digunakan jika anak mereka berjaya melakukan sebarang aktiviti misalnya melukis.

Secara purata, ibu bapa memberikan pujian dua kali lebih kerap terhadap anak yang kurang keyakinan diri, terus kepada kualiti peribadi (contohnya : Awak memang pandai melukis) berbanding anak yang sebenarnya yakin dia pandai melukis.

Mereka juga memberikan pujian terhadap anak yang tinggi keyakinan diri untuk usaha dilakukan anak terbabit misalnya dengan mengatakan, ‘Anda melukis lukisan yang cantik’.

“Ibu bapa berfikiran memberikan pujian boleh menyerlahkan kualiti sekali gus membuatkan anak itu lebih yakin sedangkan kanak-kanak berpendapat, dia layak bergelar ‘individu cemerlang’ hanya jika berjaya melakukan tugasan. Apabila mereka gagal, secara automatik mereka berasakan diri tidak bernilai,” kata Brummelman.



Kajian bukti ia benar

Kajian kedua membuktikan teori Brummelman adalah benar. Seramai 313 kanak-kanak (54 peratus adalah perempuan) berusia antara lapan hingga 13 tahun daripada lima sekolah di Belanda terbabit dan beberapa hari sebelum diuji, mereka melalui ujian bagi mengukur tahap keyakinan diri.

Ketika eksperimen itu, kanak-kanak diberitahu yang mereka akan bermain permainan dalam talian bersama pelajar dari sekolah lain dan pencapaian akan dipantau pengurus web melalui internet.

Sebenarnya, permainan dikawal komputer, pemenang dan pihak yang kalah ditetapkan, termasuk kumpulan yang menerima pujian terhadap diri, pujian terhadap usaha dan tiada pujian.

Dalam kumpulan kanak-kanak yang dipuji kerana kualiti diri, pengurus web menulis ‘Wow, anda hebat!’ setiap kali pelajar terbabit menamatkan setiap pusingan, malahan ada individu yang mengatakan ‘Wow, anda hebat’ kepada mereka.

Kumpulan yang tidak menerima pujian pula bertindak sebagai ‘alat kawalan’. Selepas dua pusingan, kanak-kanak itu diberitahu sama ada mereka menang atau kalah dan mereka menamatkan kajian tanpa rasa malu.

Tahap malu dalam diri pelajar yang kalah lebih tinggi jika mereka tidak berjaya memenangi permainan terutama jika mereka sememangnya rendah keyakinan diri.

Teori yang terhasil melalui penyelidikan mendapati kanak-kanak yang dipuji atas usaha mereka tidak boleh mengaitkan diri mereka dengan kejayaan jadi kegagalan dilihat sebagai ketidakpuasan sementara atau kurang usaha, bukan kelemahan peribadi.

Bagaimanapun, Brummelman, berkata hasil kajian hanya sesuai untuk kanak-kanak di Barat termasuk Amerika Syarikat dan tidak sesuai bagi di negara Timur seperti China, yang ibu bapa menggunakan pendekatan berbeza bagi memuji kanak-kanak.

Penyelidik mengatakan, tidak mudah untuk membezakan antara memuji peribadi dan memuji usaha. Tapi ia sebenarnya memberikan kesan yang besar terhadap keyakinan diri kanak-kanak terbabit.

Oleh itu, ibu bapa dan guru harus memberi tumpuan untuk memuji usaha kanak-kanak bukan sifat peribadi mereka.

“Secara umum, adalah lebih baik memuji tingkah laku berbanding sifat peribadi mereka. Jika anda memuji individu dan dia gagal, ia memberi mesej (secara tidak langsung) yang ‘Saya seorang yang tidak berguna’, “ kata ketua penyelidik, Prof Brad Bushman.



INFO
Panduan memuji anak: 

* Pujian penting untuk anak membina keyakinan diri. Bagaimanapun, pujian juga mempunyai teknik dan cara supaya anak mendapat nilai terbaik dalam setiap pujian dan kritikan diberikan.

* Pujian perlu tepat - daripada berkata, “Awak pandai main bola” digantikan dengan mengatakan “Arif sepak bola itu dengan kuat boleh menjadi pemain bola yang hebat.

* Ikhlas dalam kata-kata - kanak-kanak tahu anda ikhlas atau tidak. Jika sering menipu dalam pujian, anda akan hilang kepercayaan mereka.

* Galakkan mereka untuk mencuba aktiviti baru - cabar mereka untuk tidak takut gagal.

* Jangan terlalu berlebih-lebih dalam pujian - jika terlalu kerap dan banyak dipuji menyebabkan mereka tidak akan menghargai kata-kata semangat anda lagi.

* Jujur bila perlu memuji atau memberi kritikan - ia membuktikan kepadanya, yang anda benar-benar mengikuti perkembangan usahanya.

* Pujian perlu fokus terhadap usaha dan kerja keras bukan bakat mereka.

Oleh: Siti Nur Almizan Aripin
Sumber Asal: Persatuan Psikologikal Amerika.
Sumber Online: BHarian [2013/05/14]

1 comments:

MyFreeMinded berkata...

Memuji memang boleh meningkatkan keyakinan diri dan mereka akan rasa lebih dihargai, tapi yang pasti puji keterlaluan boleh menyebabkan anak tidak tahu membezakan yang baik dan yang buruk.