27 Jun 2013

Debu Hama Punca Masalah Respiratori



BAGI seorang suri rumah yang juga ibu kepada dua orang anak lelaki, Puspavali Mahalinggam, 33, kebersihan adalah keutamaan dalam hidupnya. Oleh kerana itu, dia mempunyai aturan jadual yang ketat berkaitan dengan kebersihan.

Ujar wanita itu, dia terpaksa berbuat demikian kerana mengakui rumahnya sama seperti semua rumah di negara khatulistiwa yang tidak terkecuali daripada masalah habuk, debu dan bau hapak.

Masalah tersebut boleh membawa kepada gangguan kesihatan secara serius jika tidak ditangani dengan betul.


“Saya sangat peka terhadap kebersihan keluarga seperti mana-mana ibu-ibu lain,” katanya.

Tambah Puspavali, dia dengan bantuan amah, akan menukar cadar katil setiap minggu, manakala selimut dan sarung bantal pula akan dicuci setiap dua hari sekali.

Ini katanya, bagi memastikan anak-anaknya, Kubendran Anbumani, 7, dan Danendran Anbumani, 5, berada dalam persekitaran yang bersih.

“Saya tidak boleh bertoleransi dengan habuk, debu dan apa jua kekotoran. Saya juga akan mengemop rumah setiap hari, mencuci langsir setiap dua minggu sekali, mengelap kipas dan menjaga kebersihan hampir setiap masa,” katanya lagi.

Ditanya tentang cara dia membersihkan cadar, selimut dan sarung bantal secara lanjut, Puspavali menjawab, dia tidak mengambil mudah dengan hanya membasuh di dalam mesin basuh.

“Lazimnya, saya akan merendam kain-kain itu dalam air Dettol bercampur pencuci kain semalaman. Keesokan, baru saya akan basuh tangan,” katanya.

Menurut Pakar Telinga, Hidung dan Tekak Hospital Sungai Buloh, Dr. Loo Chun Pin, negara seperti Malaysia yang mempunyai ukuran kadar kekeringan dan kepanasan yang tinggi menyebabkan habuk mudah terkumpul, manakala debu hama mudah membiak.

Chun Pin juga menerangkan, debu hama terdiri daripada najis dan bangkai hama yang biasanya dijumpai dalam debu rumah.

Enzim dan protein yang terdapat dalam debu hama adalah antigen kuat yang mencetuskan sehingga 80 peratus alahan di dalam rumah.

Ini menjadikan debu hama alergen paling utama dalam kediaman di Malaysia sehinggakan 85 peratus penghidap penyakit lelah, demam alergi pernafasan dan rinitis adalah disebabkan debu hama terutamanya kanak-kanak.

Oleh yang demikian, ujar beliau, keluarga di Malaysia perlu menjaga kebersihan, mengelakkan daripada habuk dan debu hama yang boleh mengakibatkan gangguan kesihatan respiratori.


DEBU hama membiak dengan pantas dan boleh hidup selama satu hingga dua bulan.

Memberi statistik tentang pembiakan debu hama, Chun Pin memberitahu, seekor debu hama dewasa mempunyai jangka masa hidup selama satu hingga dua bulan dan sebanyak 500 debu hama per gram direkod sebagai pemboleh bawa penyakit lelah.

“Di Malaysia pula, bilangan debu hama yang paling banyak direkod adalah sebanyak 15,000 debu hama per gram. Malah, kajian di Malaysia juga mendedahkan terdapat sekitar 10,000 debu hama di atas sarung bantal secara purata. Ini satu keadaan yang membimbangkan dan perlu diberi perhatian,” katanya.

Berikutan dengan keadaan itu, doktor tersebut juga menasihati agar semua orang memastikan kebersihan cadar, sarung dan langsir diutamakan dengan mencucinya sekurang-kurangnya seminggu atau dua minggu sekali.

Malah, beliau turut menegaskan perkara yang sama terhadap permainan anak-anak, bantal, tuala dan lain-lain.

“Mungkin penggunaan pendingin hawa membantu dari segi mengurangkan debu hama.

Ini kerana hama kurang membiak di persekitaran sejuk tetapi ternyata ia agak mahal dan bukan semua orang yang mampu memilikinya.

Oleh yang demikian, penjagaan kebersihan adalah penyelesaian yang paling baik,” ujar Chun Pin.

Dalam satu kajian yang pernah dijalankan oleh para penyelidik dari Universiti Malaya pada tahun 2010 ke atas 136 responden di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur mendapati 79 peratus responden mencatatkan episod alergi rinitis, tetapi hanya 28 peratus daripada mereka mendapatkan rawatan.

Rinitis merupakan satu keadaan di mana seseorang berasa sesak nafas atau hidung berhingus, gatal-gatal dan bersin menyebabkan ketidakselesaan selain hidung tersumbat.

Keputusan saringan itu juga menunjukkan bahawa pencetus utamanya adalah debu selain cuaca dan makanan.

Kualiti kehidupan pesakit yang terbabit juga terjejas teruk. Hampir 53 peratus daripada mereka mengalami gangguan tidur, 41 peratus pula terjejas produktiviti dan 31 peratus mendapati gaya hidup sosial mereka terganggu.

Oleh NIZHA PERIASWAMY
Sumber: Kosmo

0 comments: