Nuff Atas

31 Ogos 2013

Wira Melayu Bangkit Menentang Penjajah Pada Kurun Ke-18


Selamat Menyambut Kemerdekaan Malaysia Ke-56.

Negara menyambut Hari Kebangsaan ke-56 pada 31 Ogos 2013 ini dan masyarakat Malaysia menyanjung tinggi usaha dan pengorbanan para pemimpin negara ketika itu bagi mencapai kemerdekaan dalam suasana harmoni dan tanpa pertumpahan darah.

Menurut aktivis sosial dan pengkaji sejarah, Abdul Rahim Ahmad, sebenarnya orang Melayu yang dipimpin pahlawan mereka telah melancarkan perang patriotik terhadap penjajah Inggeris pada kurun ke-18 lagi.

"Kalau nak ambil kira, perang menentang penjajah bermula tahun 1511 ketika Melaka diserang Portugis," katanya.


"Pada kurun ke-18 pahlawan Melayu telah bangkit menentang British, tetapi perang ini berlaku berasingan dalam kawasan (negeri) berlainan dan bukannya perjuangan menuntut kemerdekaan secara serentak di seluruh negara," jelas beliau lagi.



SEMANGAT NASIONALIS

"Sebelum Perang Dunia Kedua, orang Melayu sudah mempunyai semangat nasionalis dan semangat ini semakin membakar dengan kekalahan British di tangan tentera Jepun pada peringkat awal peperangan itu dan semasa pemerintahan Jepun di Tanah Melayu dari 1942 hingga 1945," jelas beliau.

Abdul Rahim berkata, pada zaman Darurat pula walaupun dibantu tentera Komanwel, semangat orang Melayulah sebenarnya yang menentang gerombolan pengganas komunis yang mahukan ideologi lain bagi pemerintahan Tanah Melayu ketika itu.

"Kalaulah orang Melayu tidak bangun menentang pengganas komunis ketika itu, mungkin Tanah Melayu dapat dikuasai oleh mereka (komunis) seperti kekalahan Perancis dan Amerika di Vietnam," Abdul Rahim memberi pendapat beliau.

PAHLAWAN MELAYU

Menurut sejarah Tanah Melayu, memang ada pertumpahan darah dalam perang patriotik yang berlaku pada kurun ke-18 tetapi pertempuran berlaku secara berasingan di negeri-negeri tertentu dan pada masa yang berlainan.

"Kebangkitan itu boleh dilihat sebagai tidak puas hati tentang campurtangan British terhadap kuasa orang Melayu dan bukan satu revolusi seperti perjuangan yang berlaku di Amerika Syarikat ketika menuntut kemerdekaan dari Britain," jelas aktivis itu lagi.

Menurut beliau, perjuangan orang Melayu ada mencatatkan kemenangan di peringkat awal ketika menentang British tetapi akhirnya mereka tumpas kerana penjajah mempunyai senjata yang lebih baik serta tentera upahan yang ramai.

KEBANGKITAN ORANG MELAYU

Menurut maklumat dari Arkib Negara terdapat beberapa peristiwa kebangkitan orang Melayu terhadap penjajahan British pada kurun ke-18.

Ini termasuk Perang Naning diketuai Dol Said di Melaka pada tahun 1831-1833, Perang Sungai Ujung di Negeri Sembilan (1874-1876), Perang Semantan diketuai Datuk Bahaman di Pahang (1891-1895) dan Perang Tok Janggut di Kelantan pada tahun 1915.

Menurut para pengkaji sejarah, penentangan ini merangkumi penentangan langsung terhadap pentadbiran dan campurtangan British dan penentangan tidak langsung terhadap pemerintahan yang menerima perlindungan British.

Kebangkitan itu juga muncul akibat rasa tidak puas hati orang Melayu ke atas sistem cukai tanah dan tanaman yang dianggap tidak adil serta cara kutipan itu dijalankan.

PERANG DI SEMANTAN, NANING

Antara penentang British pada kurun ke-18 adalah Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau di Pahang, Tok Janggut di Kelantan dan Rentap di Sarawak serta Mat Salleh di Sabah.

Di Pahang, Abdul Rahman Tuanku Imam Nuh atau lebih dikenali sebagai Datuk Bahaman menentang penjajah British di Semantan.

Sejarah menyatakan bahawa Perang Semantan berlaku disebabkan rasa tidak puas hati pembesar negeri Pahang terhadap campur tangan British ke atas kawasan mereka dan ia bermula bila Datuk Bahaman dan para pengikutnya menyerang C.E.M Deaborough di Sungai Semantan pada 15 Dis, 1891.

Manakala Dol Said atau Abdul Said adalah Penghulu Naning pada tahun 1799 dan adalah pemerintah Naning yang kesembilan.

Beliau membantah perlaksanaan cukai ke atas daerahnya oleh pihak British dan kemudian berjaya mengalahkan pihak British dalam dua kempen peperangan.

Peperangan Naning telah menjadikan Dol Said sebagai seorang wira yang berani dan mengukir tempat dalam sejarah Melaka.

MAT SALLEH, RENTAP

Datu Mat Salleh, lebih dikenali sebagai Mat Salleh, adalah pejuang Sabah yang terkenal dalam penentangan terhadap penjajahan British di Sabah.

Detik Datu Mat Salleh menentang pencerobohan British bermula pada bulan Julai 1897 sehingga 31 Jan, 1900 di mana kota pertahanan Mat Salleh tumbang akibat serangan British.

Peristiwa itu menandakan gugurnya Mat Salleh sebagai pejuang bangsa.

Manakala Rentap adalah seorang panglima perang Iban yang tinggal di ulu Sungai Sekrang. Beliau adalah seorang daripada pemimpin yang menentang pemerintahan Raja Brooke di Sarawak.

Pada tahun 1853 Rentap telah mengetuai pasukan orang Iban menyerang pasukan British di Skrang dan ini telah menempatkan Rentap sebagai seorang daripada wira menentang penjajahan British.

Tema bagi sambutan Hari Merdeka tahun ini ialah "Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku".

Oleh Zulkiple Ibrahim
Sumber: BERNAMA

0 comments: