19 September 2013

Sekolah Berprestasi Tinggi Kohort Keempat 2013

24 lagi diiktiraf Sekolah Berprestasi Tinggi

 
IDRIS Jusoh ketika menyampaikan replika cek RM700,000 kepada wakil-wakil sekolah pada Majlis Pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi 2013 di Putrajaya.

PUTRAJAYA 18 Sept. 2013- Kementerian Pendidikan mengiktiraf 24 lagi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) membabitkan 14 sekolah rendah dan 10 sekolah menengah di bawah kohort keempat tahun 2013 ini.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan SBT di seluruh negara sebanyak 115.

Beliau berkata, sasaran kementerian bagi membangun dan mewujudkan 10 buah SBT setiap tahun dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 telah tercapai dengan jayanya, lebih membanggakan melepasi sasaran apabila 24 buah sekolah mendapat pengiktirafan itu.


Beliau juga berkata pencapaian itu adalah selaras Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 supaya pendidikan negara mencapai status dunia menjelang 2025.

“Peruntukan khas akan diberikan kepada 24 SBT terbaharu ini berjumlah RM16.8 juta iaitu RM700,000 untuk tahun pertama, tahun kedua RM500,000 dan RM300,000 untuk tahun ketiga bagi setiap sekolah.

“Jumlah itu khusus untuk membantu bagi mengangkat kualiti pendidikan murid-murid negara ini ke satu tahap setanding dengan standard antarabangsa," katanya.

Semua pengetua dan guru besar SBT diberi autonomi bagi membelanjakan Peruntukan Khas itu, khususnya bagi program pendidikan untuk melonjakkan kecemerlangan sekolah.

Pengetua, guru besar, guru dan anggota khidmat sokongan (AKS) SBT juga layak menerima Bayaran Insentif sekali gus RM1,000 untuk sekolah menengah dan RM700 untuk sekolah rendah.

Dalam pada itu, Idris meminta SBT membantu sekolah lain yang berhampiran untuk mencapai status sama dengan memanfaatkan peruntukan yang diterima.

Menurut Idris, kementerian sangat berpuas hati pelaksanaan dan pencapaian cemerlang 91 SBT terdahulu yang telah diiktiraf mulai tahun 2010, sehubungan itu kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh pelaksanaan SBT sehingga 2015.

Katanya, pada tahun ini kesemua SBT berkenaan telah menunjukkan kecemerlangan di pelbagai bidang merangkumi akademik, kokurikulum dan juga sukan di peringkat antarabangsa.

“Dengan pengiktirafan terbaharu ini, diharapkan kesemua SBT mampu menghasilkan murid cemerlang yang merupakan pewaris negara di masa hadapan.

“Selaras dengan hasrat SBT, pelajar mestilah mampu mendahului dalam memperoleh pencapaian yang cemerlang yang menjadi aspirasi kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang diperkenalkan kerajaan," katanya.

Senarai kali ini, katanya, turut menyaksikan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT) Ladang Rem, Kota Tinggi Johor menjadi SKJT pertama menerima pengiktirafan sebagai SBT.

INFO: SENARAI SBT 2013

SK Tengku Mariam, Johor
SJKT Ladang REM, Johor
SMK Dato Penggawa Barat, Johor
Sekolah Menengah (SM) Sains Kubang Pasu, Kedah
SM Sains Machang, Kelantan
SK Convent Bukit Nanas (1), Kuala Lumpur
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kuen Cheng 2, Kuala Lumpur
SK Convent Of The Infant Jesus 1, Melaka
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sharifah Rodziah, Melaka
Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Jempol, Negeri Sembilan
SK Convent, Pahang
SK Sultan Idris II, Perak
SK Marian Convent, Perak
SBP Integrasi Gopeng, Perak
SM Sains Raja Tun Azlan Shah, Perak
SK Convent Green Lane, Pulau Pinang
SJKC Han Chiang, Pulau Pinang
SMKA Al-Irshad, Pulau Pinang
SK Taman Megah, Selangor
SK Bukit Jelutong, Selangor
SK Sri Petaling, Selangor
SMA Persekutuan Kajang, Selangor
SBP Integrasi Rawang, Selangor
SK Putrajaya Presint 11 (1)

Sumber: BharianUtusan Artikel 1Utusan Artikel 2 [18092013]

0 comments: