20 September 2013

Ibadat Haji ~ Wajib Sekali Seumur Hidup


Menanamkan keazaman serta merancang ibadah haji agar dapat direalisasikan adalah kemestian setiap umat Islam.

HAJI dan umrah ialah salah satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap orang Islam yang cukup syarat dan berkemampuan. Ibadat ini wajib dilaksanakan hanya sekali dalam hidup.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Allah mewajibkan manusia mengerjakan haji dengan mengunjungi Baitullah (Kaabah) kepada sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya. (Ali-Imran: 97)

Maksud mampu dalam menunaikan haji ialah mempunyai kenderaan yang membawa pergi dan balik atau cukup tambangnya. Cukup perbelanjaan ketika di Tanah Suci dan apabila balik kelak. Cukup perbelanjaan tanggungan di rumah sepanjang berada di Mekah dan selamat pergi dan pulang.


Dan firman Allah SWT lagi dalam surah al-Baqarah, ayat 196, iaitu yang bermaksud: Sempurnakanlah haji dan umrah kerana Allah…

Justeru, kita sebagai umat Islam hendaklah berazam dan merancang untuk menunaikan ibadat haji.

Bagi mereka yang dapat melaksanakan pada tahun ini dan sebelumnya hendaklah bersyukur kepada-Nya atas panggilan dan lambaian Kaabah itu.

Berhutang dan bergadai harta benda untuk menunaikan ibadat haji ialah perbuatan yang tidak menepati kehendak Allah SWT. Perbandingan antara haji dan umrah. Haji dan umrah ialah ibadat yang memerlukan wang, tenaga, dan pengorbanan yang besar.

Oleh sebab itu, Islam hanya mewajibkan sekali sahaja seumur hidup. Kewajipan itu juga bersyarat, iaitu mampu, merdeka, Islam, berakal dan baligh.

Haji dari segi bahasanya adalah mengunjungi tempat yang mulia. Daripada segi istilah syarak pula haji adalah mengunjungi Baitullah al-Haram di Mekah untuk mengerjakan ibadat tertentu, pada masa tertentu dengan syarat-syarat tertentu.

Nabi SAW menyambut orang yang pergi haji dengan kata-kata baginda SAW: Semoga Allah menerima hajimu, mengampuni dosamu dan mengganti perjalananmu. (Riwayat Ad Dainuri).

Sementara umrah pula daripada segi bahasanya ialah ziarah. Manakala menurut istilah syarak adalah menziarahi Baitullah al-Haram untuk melakukan ibadat tertentu pada bila-bila masa mengikut syarat-syarat tertentu.

Dalam hal ini, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa melaksanakan haji di rumah ini (Baitullah Al-Haram), tidak rafats (tidak mengeluarkan kata-kata yang menimbulkan berahi atau tidak senonoh) dan tidak berbuat fasik, maka dia kembali seperti pada hari dilahirkan ibunya." (riwayat Bukhari)

Oleh DR. AMINUDIN MANSOR
Bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu, UKM.
Sumber: Utusan

0 comments: