Nuff Atas

24 September 2013

Urutan Legakan Sakit Kepala



Ramai tidak tahu bahawa 99 peratus urutan pada otot tepi leher atau dalam bahasa saintifiknya dipanggil Sternocleidomastoid mampu mengurangkan gejala tersebut

Jadi, mengapa perlu sapu minyak angin pada bahagian kepala? Kenapa tidak cuba sapu pada otot tersebut.

Perkara ini dihuraikan oleh Ahli Terapi Senaman dan Urutan Sukan, Diane Sera Farhanah Sedik, yang turut menjelaskan bahawa sakit kepala yang diabaikan boleh menghasilkan simpulan otot. Simpulan tersebut katanya, boleh menjadikan sakit kepala berlarutan lebih lama.


"Simpulan otot inilah yang menyebabkan sakit kepala biasanya terletak di leher dan bahagian atas belakang. Ini (simpulan otot) juga boleh terjadi hasil daripada titik punca di bahagian-bahagian hujung kaki yang menyebabkan kaki lenguh," katanya.

Menurut Diane Sera, titik punca itu menyebabkan otot menjadi lebih pendek, tegang dan ketat.

Ini mengehadkan fungsi dan pergerakan otot yang menyebabkan tubuh lemah, pengurangan peredaran darah dan kesakitan.

"Apabila cedera, kebanyakan tisu sembuh. Tetapi otot belajar untuk mengelakkan kesakitan.

"Memori otot ini boleh menghasilkan sakit yang tidak dijangka selepas kecederaan telah berlaku, terutamanya pada masa tekanan fizikal dan emosi.

"Titik punca adalah gambaran di mana teknik terapi boleh digunakan di situ untuk melegakan kesakitan kepala secara keseluruhan.

"Teknik ini telah diperkenalkan oleh Dr. Janet Travell dan David Simons malah diiktiraf oleh Akademi Pengurusan Sakit Amerika sebagai modul untuk rawatan sakit kepala," ujar Diane Sera yang turut menjadi tenaga pengajar senaman di Zaki Khan Dynamic Sdn. Bhd.

Jelasnya, kebarangkalian kejayaan dalam merawat sakit kepala dengan teknik urutan yang betul adalah tinggi.

Katanya, terapi dengan mengenal pasti titik punca adalah untuk sakit kepala peringkat pertengahan.

"Sebagai contoh, sakit kepala belakang mata boleh datang dari titik punca aktif yang terletak di bahagian atas belakang leher anda. Kesakitan daripada otot ini dijangka meningkat kepada bahagian tengah kepala, dijana melalui tengkorak, dan berpindah ke belakang orbit (mata), ini dinamakan sakit di dalam tengkorak," jelasnya.

Sakit kepala mata kabur

Menurut Diane Sera lagi, gejala sakit kepala dan sakit leher ataupun kabur penglihatan boleh berlaku disebabkan oleh titik punca yang aktif dalam otot leher belakang dan tepi.

"Pengaktifan dan pengekalan titik punca dalam otot ini sering disebabkan oleh mengangkat beban berat secara tiba-tiba dan kedudukan postur badan yang bengkok dalam jangka masa yang lama.

"Satu lagi penyebab sakit kepala yang teruk adalah titik punca dalam simpulan otot di hadapan sebelah leher. Terdapat dua bahagian yang sternal dan berhubung dengan tulang selangka. Titik punca di setiap bahagian boleh menimbulkan rasa sakit.

"Kesakitan ini dapat dirasai di atas mata (migrain optik), di dalam telinga, pipi, tekak, belakang dan atas kepala," kata Diane.

"Apabila titik punca dikenalpasti, tekanan atau urutan perlahan digunakan. Pada mulanya, urutan atau tekanan pada titik punca berkenaan dilakukan dengan lembut.

"Rasa sakit yang dirawat akan berkurangan perlahan-lahan.

"Proses pengurutan pada titik punca dan regangan pada otot mampu mengurangkan kesakitan dan mengembalikan fungsi normal," katanya lagi.

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Sumber: Utusan

0 comments: