18 Oktober 2013

Arafah ~ Tapak Perhimpunan Jutaan Umat Islam


SELAIN berdoa, suasana di Padang Arafah juga mengingatkan umat Islam mengenai kewujudan hari pembalasan di Padang Mashyar.

WUKUF di Padang Arafah merupakan rukun kedua daripada enam rukun ibadah haji. Ibadah wukuf yang bermaksud berhenti seketika di bumi Arafah dalam apa jua keadaan merupakan kemuncak dalam menunaikan fardu haji.

Semasa wukuf, jemaah haji akan bermuhasabah bagi menilai kekurangan, kelemahan, menyedari dosa yang seterusnya memohon keampunan Allah SWT.


Wukuf juga merupakan satu rukun haji untuk mengingati kembali peristiwa Nabi Adam AS dan Hawa yang diturunkan ke bumi kerana mengingkari perintah Allah setelah terpedaya dengan tipu daya iblis.

Jabal Rahmah di Padang Arafah merupakan tempat pertemuan mereka setelah 200 tahun terpisah. Padang Arafah juga tempat Nabi Adam AS dan Hawa memohon ampun daripada Allah SWT selama bertahun-tahun.

Arafah terletak 22 kilometer di bahagian tenggara Masjidil Haram, Mekah dan dianggap sebagai kawasan Tanah Haram. Dianggarkan kira-kira 1.5 juta umat Islam dari seluruh dunia mengerjakan ibadah haji di Mekah pada tahun 2013 ini.

Jemaah haji berwukuf di Arafah bermula waktu Zuhur pada 9 Zulhijjah sehingga sebelum terbit fajar 10 Zulhijjah. Selepas itu jemaah akan berangkat ke Muzdalifah untuk mengutip batu kecil bagi ibadah melontar di Mina dan bermalam di situ pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Keadaan cuaca panas terik di Padang Arafah memberi peringatan awal kepada umat Islam mengenai keadaan di padang Mahsyar.

Tempat penting

Umat manusia tanpa mengira bangsa, pangkat atau kedudukan akan dihimpunkan di Padang Mahsyar untuk menerima pengadilan berdasarkan amalan baik atau buruk semasa di dunia.

Padang Arafah yang berkeluasan 10.4 kilometer persegi itu, kelihatan banyak khemah yang didirikan untuk penginapan para jemaah.

Walaupun keadaan Padang Arafah hanya sebuah kawasan luas yang kering-kontang, ia merupakan salah satu tempat yang penting dalam sejarah umat Islam.

Khutbah atau wasiat terakhir Rasullah SAW sebelum Baginda wafat kepada seluruh umat Islam juga disampaikan pada 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Padang Arafah.

Di Padang Arafah merupakan salah satu lokasi yang paling mustajab umat Islam berdoa. Di situ, Allah SWT akan mendengar dan memperkenankan permohonan doa hamba-Nya.

Sumber: Kosmo

0 comments: