11 Oktober 2013

Hukuman Kesalahan AES Dalam Sistem KEJARA

Foto
Kadar baru saman AES ini adalah berasaskan prinsip 'lebih lama anda tangguh, lebih tinggi anda bayar'.

Berkuat kuasa Januari 2014, pesalah yang disaman menerusi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dikenakan mata demerit Keselamatan Jalan Raya (KEJARA), selain boleh dikenakan kompaun maksimum sehingga RM300 jika lewat membayar saman.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Ismail Ahmad, berkata jika mendapat 15 mata demerit dalam tempoh setahun, lesen memandu mereka boleh digantung. Bagaimanapun, menurutnya, jika mereka membayar saman dalam tempoh tiga bulan, mata demerit tidak akan dikenakan.


Sebagai contoh, beliau berkata, bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat dan melebihi had laju, pesalah akan dikenakan lapan mata demerit. Penyelarasan hukuman itu dijangka dilakukan selepas proses pengambilalihan AES dan sistem KEJARA oleh kerajaan selesai.

Katanya, sistem itu diperkenalkan untuk menggalakkan pesalah menyelesaikan saman dengan cepat dan secara tidak langsung dapat meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.

Mengenai kompaun maksimum RM300, beliau berkata, ia hanya akan dikenakan jika mereka membayar saman selepas tempoh 30 hari daripada tarikh notis dikeluarkan, manakala yang membayar dalam tempoh satu hingga 14 hari hanya perlu membayar RM150 dan yang membayar dalam tempoh 15 hingga 30 hari, sebanyak RM200.

"Misalnya, bagi kesalahan melanggar lampu isyarat, kadar kompaun dalam tempoh 14 hari ialah RM150 dan jika bayaran tidak dijelaskan dalam tempoh dua minggu selepas itu kadar dinaikkan kepada RM200.

"Seterusnya, jika kompaun itu tetap tidak dijelaskan dalam tempoh 31 hingga 60 hari maka kadar akan dinaikkan sebanyak RM300," katanya

Ismail menegaskan, jika saman itu tidak dibayar dalam tempoh yang ditetapkan iaitu sekurang-kurangnya tiga bulan, pemilik saman itu akan dihadapkan ke mahkamah.

Beliau berkata, bayaran tersebut adalah berasaskan kepada prinsip 'lagi lama anda tangguh, lagi banyak anda bayar (the more you delay, the more you pay).

Kompaun kekal RM300

Ismail berkata, kadar berkenaan hanya untuk kesalahan pemanduan melebihi satu kilometer hingga 40 kilometer sejam daripada had laju yang ditetapkan serta melanggar lampu isyarat merah.

Bagi kesalahan yang melebihi 40 kilometer sejam daripada had laju, kadar kompaun kekal RM300 tanpa mengambil bila mereka membuat bayaran.

“Kadar baru saman AES ini adalah berasaskan prinsip ‘lebih lama anda tangguh, lebih tinggi anda bayar. Bagi saman AES yang dikeluarkan antara 18 September 2013 hingga 9 Oktober 2013, tempoh pembayaran 14 hari dikira mulai 10 Oktober, 2013.

“Bagaimanapun, ia hanya berkuat kuasa bagi saman dikeluarkan mulai 18 September 2013. Saman sebelum itu masih pada kadar tetap tetapi bergantung keputusan kerajaan kelak,” katanya.

Beliau menjelaskan, saman boleh dibayar melalui Sistem MySIKAP JPJ.

Beliau berkata, JPJ akan melaksanakan projek perintis sistem mySIKAP di Melaka dan Perlis mulai 21 Oktober 2013 ini.

"Pelaksanaan sistem yang dibangunkan sejak 2010 itu adalah untuk menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan perlaksanaan urusan secara online sehingga 85 peratus menjelang 2015.

"Sekiranya projek itu berjaya, sistem tersebut akan diperluas ke semua pejabat JPJ negeri dan cawangan seluruh negara setelah mesyuarat penilaian membenarkannya," katanya.

Sumber: BHarian [2013/10/11], Utusan [11/10/2013], Kosmo [11/10/2013]

0 comments: