24 Oktober 2013

Limpahan Empangan Punca Banjir Kilat Di Cameron Highlands


PEMANDANGAN kemusnahan di Lembah Bertam.

CAMERON HIGHLANDS, 23 Oktober, 2013, tiga terbunuh (dua daripadanya lemas manakala seorang lagi akibat serangan jantung) dalam kejadian banjir kilat selepas air Sungai Bertam melimpah ekoran pelepasan air empangan Sultan Abu Bakar, Ringlet di sini awal hari tersebut.

Bencana itu berpunca dari air yang dilepaskan Empangan Hidro Elektrik Sultan Abu Bakar yang terletak 1.3 kilometer dari tempat kejadian sehingga mengakibatkan air melimpahi tebing Sungai Bertam.

Kejadian pada pukul 1 pagi itu turut menyebabkan seorang wanita Indonesia hilang dipercayai dihanyutkan arus deras dan seorang lelaki cedera.


Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Mohd Zahari Wan Busu berkata arus deras dan banjir kilat itu memusnahkan kira-kira 80 rumah dan 100 buah kenderaan di kawasan penempatan Lembah Bertam itu.

Dua yang mati lemas ialah lelaki Bangladesh dikenali sebagai Jahangir, 30-an, dan wanita Indonesia yang hanya dikenali sebagai Kesmat, 46. Satu mayat ditemui di dalam sebuah rumah dan satu lagi di bawah runtuhan rumah yang lain.

Lelaki yang mati akibat serangan jantung ialah Tan Tuck Choi, 51. Dia mati dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Kalsom di sini, awal pagi Rabu.

Mohd Zahari berkata mangsa yang masih hilang dipercayai dihanyutkan arus deras dikenali sebagai Jarwati, 17, manakala lelaki yang cedera Ho Kim Way, 38, kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

"Ho cedera ketika cuba menyelamatkan diri dalam kejadian itu," katanya.

Kawasan yang terlibat dalam kejadian itu menempatkan rumah penduduk dan rumah setinggan berhampiran kebun sayur. Berikutan kejadian itu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Lembah Bertam ditutup hari itu.

Terdahulu Mohd Zahari berkata air empangan di Ringlet itu terpaksa dilepaskan bagi mengelak empangan itu pecah berikutan hujan lebat yang berterusan sejak 7 petang selasa hari sebelumnya.

Pelepasan air empangan pertama dibuat pada 12 tengah malam diikuti pada jam 1 pagi dan seterusnya pada 2.45 pagi yang menyebabkan air di Sungai Bertam melimpah secara mendadak dan mengakibatkan banjir kilat.

Beliau berkata berikutan kejadian itu, sebanyak 54 orang dari 12 keluarga dipindahkan ke dewan orang ramai Ringlet.

Sementara itu Timbalan Penguasa Balai Bomba Zon 3 Pahang Yusmaizi Zulkifli berkata paras air normal di empangan itu ialah 3.498 meter dan pelepasan air dilakukan ketika paras air mencecah 3.508 meter.

Sumber: BERNAMA [23/10/2013]

EMPANGAN MELIMPAH
Keadaan Lembah Bertam sekitar tebing Sungai Bertam dekat Ringlet, Cameron Highlands selepas dilanda banjir lumpur.

Pelepasan Air Bagi Elak Bencana Lebih Besar

Pelepasan air secara terkawal di Empangan Sultan Abu Bakar terpaksa dilakukan bagi mengelak bencana lebih besar melanda Lembah Bertam.

Pengurus Besar Stesen-Stesen Janaelektrik Cameron Highlands Mustafa Hashim berkata jika perkara itu tidak dilakukan, keempat-empat pintu alur limpah empangan itu akan terbuka secara automatik dan mengakibatkan banjir lebih buruk.

TNB telah memaklumkan kepada pihak keselamatan dan ketua kampung Lembah Bertam pada Selasa malam iaitu semasa paras air di empangan itu mencecah paras 3,505 kaki iaitu paras yang memerlukan pihak berkuasa memulakan proses pemindahan penduduk.

"Sebuah pintu alur limpah telah dibuka pada jam 12.05 tengah malam semalam apabila paras air mencecah 3,509.6 kaki. Ini adalah di luar jangkaan," katanya.

Sumber: BERNAMA [24/10/2013]

Siren amaran dibunyikan sejam sebelum air lepaskan

Siren amaran dibunyikan selama satu jam mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi membolehkan penduduk mengosongkan kediaman masing-masing sebelum air empangan di Ringlet, Cameron Highlands dilepaskan.

Penolong Ketua Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Datuk Soiman Jahid berkata mengikut SOP, penduduk seharusnya berwaspada apabila siren dibunyikan tanpa henti bagi mengosongkan kawasan kediaman kerana limpahan dari empangan boleh menyebabkan banjir kilat.

"Selain itu, pihak polis juga membuat rondaan sambil menggunakan pembesar suara untuk memaklumkan kepada penduduk berpindah serta-merta demi keselamatan dan mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa," katanya.

"Sebelum pelepasan air yang pertama pada 1 pagi, pihak berkuasa empangan telah membunyikan siren," katanya.

Soiman menjelaskan setiap empangan mempunyai SOP sendiri dan lazimnya penduduk akan dimaklumkan segera oleh pihak berkuasa empangan jika berlaku limpahan air di empangan.

Beliau berkata pada setiap musim tengkujuh, air di empangan akan melimpah sekiranya ia tidak dilepaskan ke saliran tertentu dan ini boleh mengakibatkan bencana besar.

Sumber: BERNAMA, Utusan [24/10/2013]

Pelepasan air empangan ikut peraturan 

Pelepasan air menerusi alur limpah di empangan Sultan Abu Bakar, Cameron Highlands awal pagi tsersebut adalah mengikut prosedur operasi yang telah ditetapkan.

Menurut kenyataan Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini, air telah dilepaskan secara terkawal sebagai langkah mengelak seluruh kawasan Lembah Bertam dilanda banjir.

Hujan lebat dan banjir kilat di sekitar Ringlet yang berterusan pada hari sebelumnya menyebabkan air melimpah ke Tasik Ringlet melepasi paras maksimum.

"TNB telah mengambil segala langkah yang perlu termasuk bekerjasama dengan pihak keselamatan, pihak berkuasa tempatan dan Ketua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lembah Bertam, sebelum melepaskan air secara terkawal," menurut kenyataan itu.

Sumber; BERNAMA, Utusan


KEADAAN beberapa kenderaan dan kediaman yang rosak selepas banjir di Lembah Bertam, Cameron Highlands.

Mangsa tak sangka air empangan punca banjir

Penduduk di pekan Lembah Bertam tidak menyangka limpahan air yang dilepaskan dari Empangan Hidro Elektrik Sultan Abu Bakar telah mengakibatkan kawasan tersebut dilanda banjir lumpur sehingga meragut tiga nyawa awal pagi itu.

Rata-rata mereka memberitahu, tindakan pihak pengurusan melepaskan air dari empangan yang terletak 1.3 kilometer dari penempatan mereka itu adalah perkara biasa dan tidak pernah mengakibatkan limpahan air yang teruk seperti kali ini.

Menurut mereka, air dari empangan yang melimpah sehingga ke Sungai Bertam meningkat secara mendadak menyebabkan mereka panik namun sebahagian besar daripada penduduk sempat menyelamatkan diri.

Seorang penduduk yang kediamannya turut rosak dalam kejadian itu, Maimunah Din, 64, berkata, dia terdengar siren amaran dari Empangan Hidro Elektrik Sultan Abu Bakar kira-kira pukul 12.30 tengah malam tersebut iaitu petanda air dari empangan tersebut akan dilepaskan.

Menurutnya, pada awalnya dia tidak begitu menghiraukan siren berkenaan kerana ini merupakan perkara biasa setiap kali air dari empangan tersebut mahu dilepaskan.

Dia yang berasa tidak sedap hati menjenguk keluar rumah dan ternampak air deras dari arah hulu sungai.

"Walaupun cemas, saya kuatkan semangat menyelamatkan dua cucu saya, Mohd. Riqki Aiman Mohd. Saiful, 5, dan Dayana Norkamian yang berusia setahun setengah keluar dari rumah.

"Saya bersyukur kerana akhirnya kami berjaya menyelamatkan diri. Ini kali kedua banjir berlaku di sini akibat pelepasan air dari empangan ini pada tahun 1988, namun kali ini paling teruk," katanya.

Sumber: Utusan

Lokasi Lembah Bertam tidak selamat didiami

Lokasi penempatan di sekitar kawasan Lembah Bertam tidak selamat untuk didiami kerana terdedah dengan risiko limpahan air tinggi, kata Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, risiko limpahan air tinggi terdedah kerana pintu empangan akan terbuka secara automatik jika paras air menunjukkan tahap bahaya.

"Jika limpahan air berlaku risiko mungkin lebih teruk dan penduduk sekitar akan terdedah dengan pelbagai kemungkinan yang lebih buruk lagi," katanya.

Beliau berkata, apa yang penting Prosedur Operasi Standard (SOP) perlu dilakukan untuk mengelak tragedi sama berulang kerana bencana boleh berlaku bila-bila masa.

Sumber: BERNAMA, BHarian

SOP Pelepasan Air Di Empangan Sultan Abu Bakar Perlu Dikaji Semula

Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah Prosedur Operasi Standard (SOP) pelepasan air di empangan hidroelektrik Sultan Abu Bakar perlu dikaji dan diperbaharui bagi mengelak tragedi banjir kilat berulang.

Baginda bertitah SOP itu perlu diperkemaskan antaranya amaran pelepasan air perlu dibuat lebih awal supaya penduduk dapat bertindak lebih cepat untuk mengelak perkara tidak diingini berlaku.

"Jangan tunggu paras air di empangan mencecah 3.5 meter baru nak lepaskan (air). Jika nak lepaskan perlu sedikit demi sedikit dan kalau boleh ia (lepaskan air) dilakukan lebih awal...jangan tunggu dah malam, orang dah tidur baru nak bertindak (lepaskan air)," titah baginda ketika melawat tempat kejadian itu pada hari Khamis.

Tengku Abdullah bertitah jika perkara itu tidak diberi perhatian serius, saluran air mungkin bertakung dan banjir yang lebih teruk akan berlaku.

"Bukan saja boleh jadi banjir tetapi akan mendatangkan penyakit berjangkit ekoran sampah sarap yang dibuang ke dalam sungai," titah baginda.

Ditanya bagaimana baginda melihat pembangunan di Cameron Highlands, Tengku Abdullah bertitah ia perlu dipulihkan semula kerana banyak aktiviti penerokaan berlaku di kawasan itu.

"Saya mengaku kerajaan negeri juga tidak cukup penguatkuasaan, jadi saya berharap mereka (pihak yang terlibat) tidak sewenang-wenangnya melakukan penerokaan haram kerana ia boleh menjejaskan alam sekitar," titah baginda.

Baginda bertitah semua pihak perlu bertanggungjawab menjaga Sungai Bertam dengan sebaiknya.

"Empangan yang dibina seawal tahun 60-an itu mempunyai air bersih tetapi sekarang air sudah jadi macam 'teh tarik'...penduduk digalakkan menjaga kebersihan sungai," titah baginda.

Sumber: BERNAMA [24/10/2013]

Penduduk mohon pihak berkuasa bina tembok, parit elak banjir lumpur

Pihak berkuasa diminta membina tembok penampan arus deras serta saliran air yang lebih luas dengan segera bagi mengekang kejadian banjir lumpur daripada menimpa penduduk Kampung Lembah Bertam.

Ketua Kampung Lembah Bertam, Wong Fook Shai, berkata langkah itu perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Beliau berkata pembinaan tembok itu mampu mengekang arus deras sungai Bertam yang membawa lumpur disebabkan pelepasan air di Empangan Sultan Abu Bakar di sini.

"Saya fikir pihak berkuasa perlu buat tembok selepas itu bina parit serta lebarkan sungai, jika tidak masalah banjir ini akan lebih teruk kerana bila banjir ia akan membawa lumpur dan memusnahkan kebun penduduk," katanya.

Beliau berkata Kampung Lembah Bertam yang berkeluasan 100 hektar telah beberapa kali mengalami kejadian banjir lumpur dan tragedi kali ini merupakan yang terburuk dalam sejarah kampung berkenaan.

Margaret Roslin, 48, berkata beliau mendengar siren amaran kira-kira pukul 12 tengah malam yang menandakan akan berlaku pelepasan air di empangan.

Katanya beliau tidak menyangka siren yang dibunyikan sebanyak dua kali itu akan membawa malapetaka bagi dirinya dan keluarga.

"Saya dengar siren kedua dan saya terus membawa anak-anak saya keluar. Rumah saya merupakan yang paling hadapan dan saya sempat menyaksikan arus deras menghayutkan kediaman saya," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang memberitahu setakat 3 petang ini, seramai 87 mangsa ditempatkan di pusat permindahan itu terdiri daripada 21 keluarga.

Sumber: BERNAMA, BHarian

Kebun Sayur Kampung Lembah Bertam Ranap

Seorang pengusaha terkejut dan sedih apabila kebun sayur yang diwarisi daripada keluarganya sejak 30 tahun lepas, ranap dalam kejadian banjir kilat di Kampung Lembah Bertam, Ringlet.

Mangsa Khor They Keng, 42, berkata kebun sayur itu musnah dalam sekelip mata tanpa sempat beliau berbuat apa-apa.

"Saya dimaklumkan oleh abang saya pada pukul 1 pagi bahawa banjir kilat telah melanda kawasan kebun saya. Saya fikir ia tidak teruk. Apabila saya pergi melihat rupa-rupanya lumpur yang dibawa arus deras telah meranapkan tanaman saya," katanya.

Khor berkata beliau membuat laporan polis mengenai malapetaka yang menimpanya itu dan menganggarkan kerugian yang dialami kira-kira RM200,000.

Beliau berkata sayur-sayuran dari kebun berkeluasan setengah hektar itu untuk pasaran Lembah Klang dan akibat kejadian itu pasti punca rezekinya akan terjejas.

Sementara itu, seorang penguasa kebun bunga yang mahu hanya dikenali sebagai Wong, 34, berkata beliau bukan sahaja mengalami kerugian akibat kemusnahan kebun bunganya bahkan turut mendakwa kehilangan seorang pekerja yang dihanyutkan arus deras.

Beliau yang mengusahakan kebun bunga seluas lima hektar bagaimanapun belum dapat menganggarkan kerugian yang dialaminya setakat ini.

Sumber: BERNAMA [24/10/2013]

Tragedi Lembah Bertam: Salah siapa?

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Awam, UTM, Prof Madya Dr Sobri Harun berkata, sepatutnya, tiada kediaman dibina berhampiran kawasan empangan. Tidak mustahil kejadian sama berlaku lagi selepas ini, tetapi jika tiada kediaman di kawasan berhampiran, impak kemusnahan dapat dikurangkan.

"Ambil contoh Empangan Pedu-Muda di Kedah yang tidak mempunyai penempatan di kawasan berhampiran. Jika berlaku kejadian sebegini, sekurang-kurangnya kemusnahan dan kemalangan jiwa dapat diminimumkan," katanya.

Menurut laporan akhbar, jarak empangan daripada Lembah Bertam hanya 1.3 kilometer (km) dan disebabkan ini, air yang dilepaskan daripada Empangan SAB masih lagi berada pada paras tinggi ketika ia ‘melanggar’ kediaman penduduk.

Jika kediaman dibina lebih jauh, paras ketinggian air itu pasti jauh lebih rendah dan tidak menyebabkan banyak kemusnahan.

Sumber: BHarian [25/10/2013]

0 comments: