13 Oktober 2013

Pameran 1001 Inventions


Mesin terbang ciptaan Abbas Ibn Firnas yang boleh dilihat di 1001 Inventions yang sedang berlangsung di Pusat Sains Negara.

MENGHIDUPKAN kembali kegemilangan ciptaan tamadun Islam sebagai perintis kemajuan sains dan teknologi dunia sejak ribuan tahun dahulu, Pusat Sains Negara dengan kerjasama Science Discovery Sdn. Bhd menganjurkan pameran 1001 Inventions.

Pameran 1001 Inventions: Kegemilangan Tamadun Islam adalah satu pameran bertaraf antarabangsa yang mengumpulkan lebih 60 bahan replika peralatan ciptaan sains Islam itu terbuka untuk kunjungan ramai di Pusat Sains Negara sehingga Februari 2014.

Orang ramai turut berpeluang menyaksikan lima zon interaktif yang dihasilkan semula daripada beberapa ciptaan zaman kegemilangan Islam termasuk dalam bidang perubatan, kejuruteraan, astronomi, geologi, matematik dan seni bina.


Pengarah urusan 1001 Inventions, Ahmed Salim berkata, pameran yang dipilih sebagai pameran jelajah terbaik dunia oleh Museum and Heritage Excellence Awards di London itu dibawakan ke negara ini bagi menunjukkan pengaruh ciptaan tamadun Islam yang diguna pakai sehingga ke hari ini.

"Pameran ini merupakan pameran pendidikan yang berkesan dalam mendedahkan kembali sejarah kegemilangan Tamadun Islam yang sebenarnya telah mendahului ciptaan moden Barat, malah dijadikan rujukan," katanya.

Antara pameran yang terdapat dalam 1001 Inventions seperti mesin terbang yang dihasilkan oleh pakar sains, Abbas Ibn Firnas, jam gajah, mesin kejuruteraan moden al-Jazari, bidang perubatan dan pakar bedah dan pengaruh tamadun Islam dalam sistem pendidikan, nombor dan huruf.

Pameran 1001 Inventions ini dibuka setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang. Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi 03-7804 5122.

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD
Sumber: Utusan

0 comments: