SEBAHAGIAN anggota keluarga yang membantu kerja-kerja pemindahan jenazah dari kubur yang digali semula di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Badak, Segamat.
Beberapa waris kepada jenazah yang ditemui dalam keadaan sempurna semasa kerja penggalian dan pemindahan di Tanah Perkuburan Islam Batu Badak, di Segamat menerima dengan reda apa yang berlaku. Waris tersebut mahu orang ramai mengambil iktibar daripada kejadian tersebut sebagai renungan hidup.
Hamisah Kassim, 67, anak kepada Allahyarham Mehran Jaafar berkata, ibunya meninggal dunia tujuh tahun lalu ketika berumur 83 tahun dan tidak menafikan ketika hayat allahyarham seorang yang alim dan suka membantu orang tanpa mengharapkan sebarang balasan.
“Saya juga masih ingat sikap ibu yang tidak suka menyusahkan orang lain termasuk anak-anak dan ibu juga hanya akan bercakap dan bersuara mengenai perkara yang dirasakan penting sahaja,” katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak berhampiran tanah perkuburan Islam Batu Badak.
Arwah juga sentiasa menunaikan solat di awal waktu. Dia juga akan membaca Al-Quran setiap hari walaupun adakala sibuk dengan tugasnya menguruskan rumah tangga.
Menurutnya, apa yang berlaku kepada jenazah ibunya itu adalah kehendak Allah SWT terhadap hamba-Nya dan seharusnya dijadikan sebagai renungan kepada mereka yang masih hidup.
Arwah amal baca al-Quran ketika hidup
Jenazah Mehran adalah antara 12 mayat yang ditemui dalam keadaan sempurna serta berbau harum dalam kerja pemindahan ke tanah perkuburan Islam yang baharu di Kampung Alai, Segamat untuk memberi laluan kepada pembinaan Lebuh Raya Segamat-Tangkak.
Hamisah yang tinggal tidak jauh dari tanah perkuburan tersebut memberitahu, seorang lagi warisnya yang ditemui dalam keadaan sempurna adalah abang iparnya, Ahmad Raof yang meninggal dunia ketika berusia lewat 60an lapan tahun lalu.
Saya tidak dapat memastikan apakah kedua-dua mereka (ibu dan abang ipar) hafal al-Quran, tetapi setahu saya, mereka berdua memang membaca al-Quran hampir setiap hari. Tapi apa yang saya dengar jenazah orang yang hafal al-Quran selalunya tidak mereput," katanya.
“Tetapi setahu saya mereka berdua memang selalu membaca Al-Quran hampir setiap hari dan dari apa yang saya dengar mereka yang menghafal Al-Quran jenazahnya tidak akan dimamah Bumi dan saya pun tidak dapat mengesahkan adakah mereka tergolong dalam golongan tersebut” katanya.
Arwah Ahmad Raof merupakan bekas pesara di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua dan pernah menjadi wartawan sambilan.
Jaafar Mohd. Said, 78, waris kepada Mohd. Said Ahmad dan Yusuf Mohd. Said, masing-masing bapa dan abangnya, berharap jenazah yang ditemui dalam keadaan baik itu sebagai salah satu petanda bahawa jasad mereka dimuliakan oleh ALLAH SWT dan mengharapkan kesemua jenazah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
“Saya pun masih terkejut apabila mendapati kain kapan mereka masih berada dalam keadaan elok meskipun telah lama meninggal dunia.
“Arwah ayah meninggal ketika berusia 78 tahun dan abang saya pada umur 63 tahun. Sukar untuk saya mentafsirkan apa yang berlaku kerana semua ini merupakan urusan ALLAH SWT dan kita sebagai hamba yang beriman harus mempercayainya terutama perkara-perkara ghaib ini. Saya bimbang jika apa yang berlaku ini boleh mendorong kita kepada sifat riak dan takbur.
Tapi apa yang boleh saya perkatakan kedua-dua waris saya ini semasa hayatnya memanglah seorang yang warak dan taat kepada ajaran agama serta selalu membaca al-Quran setiap ada masa terluang," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Badak, Segamat pada 9 November, 2013.
Menurut Jaafar, arwah bapanya pernah menjadi Penghulu Mukim Gemereh ketika hayatnya dan meninggal dunia ketika berusia 78 tahun sekitar tahun 1970-an.
Menyifatkan Mohd. Said sebagai bapa yang penyabar dan tidak pernah marah, Jaafar berkata, arwah juga suka menolong orang yang dalam kesusahan dan sifat itu diwarisi oleh abangnya, Yusuf yang kemudian mengambil alih jawatan Penghulu Mukim Gemereh sebelum meninggal dunia ketika berusia 63 tahun, tujuh tahun lalu.
Beliau turut menyatakan harapan agar pihak beranggapan baik kepada semua jenazah yang dipindahkan, selain meminta agar tidak ada segelintir individu yang melakukan perbuatan terkutuk seperti menurun nombor ekor dan sebagainya.
Jenazah sempurna, kubur bau wangi
Sekumpulan ahli keluarga yang membantu kerja-kerja menggali semula Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Badak di sini semalam terkejut apabila mereka menemui 12 jenazah termasuk seorang guru Al-Quran yang masih lagi sempurna.
Lebih mengejutkan, kesemua jenazah itu yang digali semula untuk dipindahkan bagi memberi laluan pembinaaan Lebuh Raya Segamat-Tangkak-Muar sejauh 63 kilometer sudah pun dikebumikan antara lapan hingga 11 tahun lalu.
Penyelia Tanah Perkuburan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Jamaluddin Sapuan berkata, kesemua jenazah itu ditemui dalam keadaan sempurna, tidak ubah seperti hari pertama ia dikebumikan di tanah perkuburan berusia lebih 100 tahun itu.
Beliau yang terlibat menyelia penggalian dan pemindahan 150 jasad di tanah perkuburan tersebut bagaimanapun berkata, kejadian tersebut bukanlah sesuatu yang pelik.
“Ia membuktikan kekuasaan Allah terhadap hamba-Nya yang terpilih. Banyak perkara tersirat daripada kejadian ini. Majoriti jenazah dalam keadaan baik, masih ada daging yang tidak reput,” katanya.
Beliau yang sudah 22 tahun menggali kubur berkata, selepas dikeluarkan, kesemua jenazah itu dikafankan semula dengan kain yang baharu dan bersih.
Katanya, ia kemudian dimasukkan ke dalam keranda untuk dikebumikan semula di tanah perkuburan baharu di Kampung Alai, kira-kira dua kilometer dari tapak lama.
Jamaluddin berkata, bau wangi turut dihidu di sekitar kawasan perkuburan yang menempatkan 350 buah kubur sejak hari pertama kerja tersebut dijalankan.
Beliau pernah menemui jasad yang langsung tidak terusik meskipun ia sudah 30 tahun dikebumikan sejak 30 tahun lalu.
“Kes yang terbaharu ini boleh menjadi iktibar dan pedoman kepada kita yang masih hidup,” jelasnya.
Sumber: Kosmo [09112013]
350 kubur dipindah secara berperingkat
Sebanyak 350 kubur Islam di atas tanah yang terlibat pembinaan lebuh raya Segamat-Tangkak akan dipindahkan secara berperingkat ke lokasi baru bermula 8 November, 2013.
Pegawai Daerah Segamat, A Rahim Nin berkata, dua tanah perkuburan di Batu Badak, Segamat dan satu di Gemereh terlibat dalam proses pemindahan.
“Kubur-kubur lama ini akan ditempatkan di tanah perkuburan baru di Kampung Alai. Sebelum ini, kami mendapat persetujuan dan kebenaran daripada Mufti Johor," katanya.
A Rahim berkata, agensi kerajaan di daerah ini bersetuju termasuk Pejabat Daerah Segamat, Pejabat Kesihatan Daerah Segamat, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Katanya, waris terlibat pemindahan juga dihubungi dan diberitahu Majlis Agama Islam Johor (Maij).
“Maij juga melantik kontraktor berpengalaman untuk melakukan urusan pemindahan,” katanya.
Sementara itu, kontraktor, Jamaluddin Sapuan berkata, kerja-kerja dijangka mengambil masa sehingga sebulan dan bergantung kepada keadaan cuaca.
“Kalau musim hujan, kerja-kerja penggalian tidak dapat dilakukan dengan lancar kerana bimbang tanah yang digali runtuh dan menyukarkan kerja mencari tulang-tulang.
“Pekerja saya yang terlibat dalam kerja ini seramai 15 orang dan saya jangkakan setiap hari 30 kubur yang akan dipindahkan.
“Keluasan tanah kubur yang baru di Kampung Alai adalah seluas 1.2 ekar dan cukup untuk menampung kesemua 350 kubur ini malah boleh digunakan oleh penduduk tempatan jika ada kematian,” katanya.
Sementara itu, bekas Ketua Kampung Gemereh Empat, Mohsin Ahmad, 75, berkata, kubur-kubur di Batu Badak itu sudah berusia lebih 100 tahun dan kebanyakannya kubur lama.
“Kubur-kubur di sini telah ada sejak saya kecil dan merupakan kawasan perkuburan lama sebelum tidak digunakan lagi setelah kawasan perkuburan ini penuh,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
0 comments:
Catat Ulasan