12 November 2013

Terowong Kerajaan Uthmaniyah Jadi Kenyataan


Seorang pekerja memeriksa keadaan di stesen Uskudar Marmaray sebelum majlis perasmiannya di Istanbul pada 29 Oktober 2013 lalu. - AFP

PADA 1845, pemerintah empayar Uthmaniyah, Sultan Abdulhamid II tampil dengan idea untuk membina terowong di dasar laut merentasi Selat Bosphorus di Turki bagi menghubungkan benua Asia dan Eropah.

Namun rancangannya itu tidak kesampaian ekoran Perang Dunia Pertama, sekali gus memaksa kerajaan Uthmaniyah membatalkan projek mega terbabit.

Kini selepas 150 tahun berlalu, Turki menjadi tumpuan dunia apabila Perdana Menteri Turki, Reccep Tayyip Erdogan merasmikan projek terowong kereta api bawah laut pertama di dunia yang menghubungkan dua benua, dikenali sebagai Terowong Marmaray, sekali gus menyaksikan impian Sultan Abdulhamid II menjadi kenyataan.


Erdogan mengilhamkan idea Sultan Abdulhamid II itu ketika beliau menjadi Datuk Bandar Turki pada 2004, dan akhirnya fasa pertama projek tersebut dirasmikan dalam satu majlis gilang-gemilang pada 29 Oktober lalu dengan disaksikan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, dan Presiden Somalia, Hassan Sheikh Mohamud dan Presiden Turki, Abdullah Gul.

Terowong Marmaray, nama yang diambil sempena nama Laut Marmara, manakala ‘ray’ bermaksud landasan kereta api dalam bahasa Turki, dianggarkan menelan kos RM12.8 bilion, dengan jarak sepanjang 13.6 kilometer merentasi Selat Bosphorus dan dibina 60 meter di bawah paras laut.



Projek itu menyediakan perkhidmatan kereta api yang mampu menampung kira-kira 1.5 juta penumpang setiap hari, dengan purata 75,000 penumpang setiap jam dari kedua-dua arah.

Malah dengan siapnya sistem kereta api yang dibina dengan kerjasama Turki-Jepun itu mampu menghubungkan benua Asia dan Eropah hanya dalam tempoh empat minit perjalanan.

Meskipun projek terowong terbabit masih belum siap sepenuhnya dan dijangka mengambil masa selama beberapa tahun lagi untuk disiapkan, namun penduduk Turki bangga dengan projek mega yang dilaksanakan oleh Erdogan itu yang membawa manfaat besar.

Dengan wujudnya kemudahan itu, proses perdagangan di Laluan Sutera dimodenkan dan dipermudahkan lagi melalui perkhidmatan kereta api yang lebih pantas, berbanding penggunaan jambatan yang sesak dan perkhidmatan feri.



Malah ia juga membuka perdagangan yang lebih luas antara negara Eropah dan China dengan menggunakan perkhidmatan kereta api yang disediakan.

Selain itu, masalah kesesakan yang dihadapi kira-kira dua juta pengguna yang menggunakan tiga buah jambatan yang merentasi Selat Bosphorus pada setiap hari, dapat dikurangkan sebanyak 20 peratus dengan pembinaan terowong terbabit.

Kementerian Kewangan memberikan kontrak pembinaan projek berkenaan kepada konsortium Turki-Jepun yang diketuai oleh syarikat pembinaan Taisei.

Antara syarikat pembinaan lain yang turut terlibat dalam projek berkenaan ialah Kumagai Gumi dari Jepun, Gama Endustri Tesisleri Imalat ve Montaj dan Nurol Construction and Trade dari Turkey.

Bagaimanapun, pembinaan terowong itu mencetuskan kontroversi apabila Erdogan dituduh menggunakan projek berkenaan sebagai kempen politik.

Kumpulan pembangkang mendakwa Erdogan mempercepatkan tarikh perasmian Terowong Marmaray sebagai modal kempen menjelang pilihan raya perbandaran pada Mac tahun depan.

Selain itu, beberapa kumpulan anti-kerajaan turut mengambil kesempatan mengecam Erdogan dengan melemparkan tuduhan bahawa projek mega itu menyebabkan ramai penduduk terpaksa berpindah dan memusnahkan alam sekitar.

Susunan MOHD. HASRIQ AMIRUDDIN
Sumber: Utusan

Terowong bawah laut terdalam di dunia


DIANGGARKAN seramai dua juta orang menggunakan Jambatan Bosphorus yang sesak setiap hari.

Laluan terowong bawah laut Bosphorus bernilai 3 bilion euro (RM12.89 bilion) dibina di bawah bandar Istanbul yang menghubungkan benua Eropah dan Asia.

Ia merupakan antara projek mega yang dicadangkan sebagai laluan kemasukan utama ke bandar negara yang berteraskan kerajaan Islam.

Terowong sejauh 13.6 kilometer (km) yang bakal dilengkapi dengan tiub terowong itu disifatkan oleh pegawai kerajaan mereka sebagai yang paling dalam di dunia dengan 60 meter di bawah dasar laut.

Pembinaan projek itu juga dijalankan sempena dengan tarikh ulang tahun ke-90 pembentukan negara Turki moden.

Terowong ini adalah sebahagian daripada projek besar Marmaray yang turut melibatkan usaha naik taraf laluan kereta api lama di kawasan pedalaman bagi mewujudkan laluan sepanjang 76 km sebagai penghubung kepada dua benua berkenaan.

TEROWONG ini adalah sebahagian daripada projek besar Marmaray yang turut melibatkan usaha naik taraf laluan kereta api lama di kawasan pedalaman.

Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan yang juga bekas Datuk Bandar Istanbul mengumumkan perancangan ini pada tahun 2004 sebagai antara projek pembinaan mega bagi menangani masalah kesesakan bandar yang didiami lebih 16 juta orang itu.

Projek tersebut turut mendapat pembiayaan utama daripada sebuah bank dari Jepun untuk program Kerjasama Antarabangsa dengan sumbangan sebanyak AS$1 bilion (RM3.2 bilion).

Pembinaan terowong yang dilabelkan oleh pentadbiran Erdogan sebagai projek abad ini sepatutnya siap sekitar tahun 2008, namun ia tertangguh selepas siri penemuan arkeologi utama di situ.

Sejumlah 40,000 objek purba ditemui dekat lokasi kira-kira 30 bangkai kapal pada era pemerintahan empayar Byzantine yang merupakan armada terbesar pada zaman pertengahan.

Namun, siri penemuan di luar jangkaan ini sebenarnya mengecewakan Erdogan apabila beliau pernah merungut bahawa isu artifak itu mengganggu rancangannya mengubah landskap Istanbul.

Isu pengangkutan merupakan masalah besar di Istanbul. Dianggarkan seramai dua juta orang menggunakan Jambatan Bosphorus yang sesak setiap hari.

Datuk Bandar Istanbul, Kadir Topbas percaya pembinaan terowong yang menghubungkan bahagian Asia dan Eropah di negara tersebut mampu menyelesaikan masalah dengan kapasiti 150,000 penumpang sejam.

Sumber: Kosmo

0 comments: