07 November 2013

Tasik Ringlet Dipenuhi Mendapan

Mendapan, sampah perangkap maut

Tasik Ringlet makin tenat, 60% dipenuhi mendapan

INI adalah bahagian pertama rencana dua siri mengenai Tasik Ringlet yang sudah semakin tenat sehingga mengakibatkan banjir lumpur dan kematian baru-baru ini.
 
Banjir lumpur di Lembah Bertam, Cameron Highlands, yang mengorbankan empat nyawa pada 23 Oktober, 2013 lepas, sewajarnya membuka mata ramai pihak terutama penduduk setempat bahawa Tasik Ringlet sudah semakin "tenat".
 
Tasik buatan manusia ini, yang menakung air untuk menjana elektrik di Empangan Hidroelektrik Sultan Abu Bakar, sebenarnya sudah tidak lagi dapat menampung kapasiti seperti ia mula beroperasi 50 tahun lalu.


Kelodak, pasir dan sampah sarap yang dibawa dari hulu sungai juga membuatkan tasik seluas 0.5 kilometer persegi ini hilang sebahagian daripada fungsi keduanya, iaitu menebat banjir.
 
Dalam kejadian 1 pagi itu, banjir lumpur melanda Lembah Bertam, Ringlet apabila air sungai melimpah susulan pelepasan air Empangan Sultan Abu Bakar. Akibat insiden itu, empat maut, termasuk seorang yang meninggal dunia kerana serangan jantung. Ia turut memusnahkan 80 kediaman dan kira-kira 100 kenderaan.
 
AIR KERUH, BERKELADAK
 
Tinjauan BERNAMA dari udara di kawasan itu mendapati air tasik dan sungai-sungai yang mengalir ke dalamnya keruh berwarna seperti teh tarik, tanda ia penuh dengan lumpur dan kelodak.
 
Selain itu, lereng-lereng bukit di sekeliling kawasan yang teruk dilanda banjir lumpur dua minggu lepas kebanyakannya telah ditarah secara agresif untuk pembangunan.
 
Di hulu sungai, kelihatan kebun-kebun sayur dan tanaman lain serta pembukaan tanah giat berjalan, sebahagiannya kelihatan tidak terkawal.
 
Dari udara juga kelihatan beberapa buah jentera berada di tepi sungai untuk mengeluarkan kelodak, pasir dan sampah manakala bot-bot kecil membersihkan permukaan tasik daripada sampah sarap.
 
Hakikatnya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) membelanjakan lebih RM180 juta sejak lima tahun lalu untuk membersihkan Tasik Ringlet dan Empangan Hidroelektrik Sultan Abu Bakar.
 
Kira-kira 350,000 meter padu keladak dikeluarkan dari Tasik Ringlet setiap tahun. Namun, usaha itu tidak mampu mengatasi jumlah pengumpulan mendapan di tasik berkenaan yang dianggarkan 500,000 meter padu setahun.
 
Sejumlah RM300,000 lagi dibelanjakan setiap tahun untuk membersihkan permukaan dan dasar tasik daripada sampah sarap yang mencecah 200 metrik tan setahun.
 
MENDAPAN DAN SAMPAH SARAP
 
Sambil menelusuri kawasan tasik dan empangan itu, BERNAMA diberitahu bahawa dua pertiga (60 %) daripada Tasik Ringlet mengandungi mendapan dan ini bermakna hampir 27 meter kedalaman tasik itu dipenuhi dengan kelodak dan pasir serta sampah sarap yang separa timbul.
 
Menerima aliran air dari empat batang sungai iaitu Sungai Ringlet, Bertam, Habu dan Tenom, Tasik Ringlet dianggarkan mempunyai kapasiti takungan 4.6 juta meter padu air.
 
Namun kini tidak lebih daripada 9.0 meter sahaja ketinggiannya yang berair, bermakna kapasiti tasik itu berkurangan sehingga ke paras hampir 2.0 juta meter padu.
 
Penerokaan tanah untuk pembangunan dan pertanian yang giat dijalankan di Cameron Highlands terutama di lereng-lereng curam dan bukit menyebabkan hakisan dan ini memburukkan lagi keadaan, menjadikan masalah mendapan di Tasik Ringlet semakin kritikal.
 
Pasir dan tanah daripada hakisan itu memasuki sungai-sungai dan mengalir ke tasik lalu menyebabkan kedalaman sungai dan tasik semakin cetek akibat mendapan yang lama kelamaan membukit.
 
Jika dikumpulkan jumlah mendapan ini, saiznya boleh dianggarkan seluas sembilan padang bola dengan ketinggian hampir 6.0 meter bersamaan dengan kira-kira 500,000 meter padu pengumpulan mendapan kelodak setahun.
 
RISIKO BANJIR
 
Pengurus Besar Stesen-stesen Janaelektrik Cameron Highlands, Bahagian Penjanaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Mustafa Hashim berkata: "Apabila hujan turun dengan lebat, risiko limpahan air sungai dan empangan boleh berlaku pada bila-bila masa.
 
"Hujan lebat berpanjangan serta mendapan kelodak, pasir dan sampah sarap meningkatkan risiko ini.
 
"Ketika banjir baru-baru ini, keadaan diburukkan lagi oleh alur masuk terowong bawah tanah ke unit penjanaan yang tersumbat," jelas Mustafa, yang sebelum ini bertugas di Empangan Kenyir, Terengganu.
 
Pada hari kejadian, paras air tasik naik dengan drastik iaitu 1.96 kaki (kira-kira 0.6 meter) sejam, dan ia adalah 13 kali ganda berbanding musim tengkujuh sebelum ini.
 
Akibatnya, air daripada empangan tasik terpaksa dilepaskan secara manual melalui satu pintu alur limpah bagi mengelakkan kejadian lebih buruk sekiranya air dilepaskan secara automatik menerusi keempat-empat pintu alur limpah.
 
SKIM HIDROELEKTRIK
 
Skim Hidroelektrik Cameron Highlands, yang mula beroperasi pada 1959, terdiri daripada dua skim yang bercantum menjadi satu iaitu skim hidroelektrik Cameron Highlands di Pahang dan skim hidroelektrik di Batang Padang, Perak.
 
Menggunakan jenis sistem 'run-of-the-river', skim ini mendapat punca-punca air melalui alur-alur masuk sepanjang sungai dan kawasan tadahan di Cameron Highlands dan Batang Padang.
 
Sungai-sungai utama yang mengalir di sepanjang skim hidroelektrik Cameron Highlands ini iaitu sungai - Pla’aur, Telom, Terla, Ikan, Kodol, Kial, Bertam, Ulu Merlah, Habu, Kilat, Ulong dan Ringlet.
 
Air daripada Sungai Ringlet, Bertam, Habu dan Tenom akan memenuhi Tasik Ringlet melalui terowong bawah tanah sepanjang 11 kilometer, memasuki alur masuk Bertam untuk disalurkan ke stesen janaelektrik Sultan Yussuf di Batu 19 Cameron Highlands.
 
Air berkenaan disalurkan ke Empangan Jor sebelum mengalir melalui terowong bawah tanah Menglang sejauh 14.5 kilometer sehingga ke stesen janaeletrik Sultan Idris II. Stesen terakhir ialah di stesen janaelektrik Odak di Batu 7, Cameron Highlands. - Bernama

Oleh Hazlinda Hamzah
Sumber: BernamaSinar Harian [5 November 2013]

Mendapan Jejas Keupayaan Tasik Ringlet Takung Air

Ini adalah bahagian kedua rencana dua siri mengenai Tasik Ringlet dan langkah yang diambil oleh Tenaga Nasional Berhad untuk mengatasi masalah mendapan di tasik berkenaan.

Pengaliran air turut membawa bersama sampah sarap dan mendapan menyebabkan tahap kebolehtakungan air di Tasik Ringlet berkurangan dengan ketara berikutan kadar sedimentasi yang tinggi.

Keadaan ini menyebabkan tasik buatan manusia, yang menakung air untuk menjana elektrik di Empangan Hidroelektrik Sultan Abu Bakar, bagaikan bom jangka yang boleh meledak kerana ia sudah tidak mampu lagi menampung kapasiti air yang banyak terutamanya ketika musim hujan melanda.

Pengurus Besar Stesen-stesen Janaelektrik Cameron Highlands, Bahagian Penjanaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Mustafa Hashim berkata perkara itu telah dibincangkan bersama dengan agensi-agensi berkaitan dan risiko berlakunya. limpahan air dari Empangan Sultan Abu Bakar boleh terjadi pada bila-bila masa.

"Selain itu, risiko juga besar bila skrin alur masuk ke terowong stesen janaelektrik Sultan Yussuf tersumbat akibat longgokan sampah yang terlalu banyak seperti sisa tanaman, plastik dan tali antaranya," jelas Mustafa, yang bertugas di Cameron Highlands sejak 2011.

ALIRAN AIR TERSUMBAT

Air yang mesti mengalir melalui skrin alur masuk setinggi enam meter dan lebar 12 meter sebelum ke terowong di stesen janaelektrik, ada kalanya tersekat, sekaligus menghalang penyaluran air tasik ke terowong untuk penggunaan penjanaan elektrik.

Katanya usaha pembersihan sampah di skrin alur masuk sering dilakukan tetapi hasil yang diperoleh tidak 100 peratus berjaya, ditambah pula dengan kos pembersihan yang tinggi.

Satu daripada cara pembersihan ialah "raking" iaitu sistem pembersihan secara manual untuk menarik sampah daripada kawasan skrin alur masuk ke terowong apabila pihak stesen mendapati paras air yang melalui skrin menurun.

Sistem pembersihan yang menggunakan penyelam berpengalaman, biasanya dilakukan pada waktu malam, kerana empangan ini beroperasi secara sistem 'peaking', iaitu tidak membenarkan pembersihan dilakukan semasa penjanaan elektrik waktu puncak.

"Pengawasan skrin untuk memastikan sama ada skrin tersumbat atau tidak dilakukan di bilik kawalan di stesen janaelektrik Sultan Yussuf di Batu 19. Paras air tasik dan skrin alur masuk dipantau petugas mengikut giliran pada setiap masa," katanya.

PENGOREKAN MENDAPAN

Selain itu, Mustafa berkata pengorekan pasir, selut dan sampah dilakukan di tiga lokasi utama iaitu di hadapan skrin alur masuk Bertam, di muara Sungai Ringlet dan muara Sungai Habu dengan Sungai Bertam.

Bagi memastikan air mengalir deras, empangan-empangan kecil dibina untuk menyekat mendapan dan pasir daripada memasuki tasik dengan hasil pengorekan di empangan kecil itu dibawa ke tempat pelupusan mendapan di Sungai Jasin, tidak jauh dari kawasan tasik.

Kerja-kerja pembersihan dengan pengorekan dan "raking" melihat pihak TNB mengeluarkan perbelanjaan tinggi, dengan RM80 juta dibelanjakan untuk kos pengorekan utama mendapan kelodak, iaitu sekali pada setiap lima tahun. RM20 juta lagi dibelanjakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan tahunan.

Tinjauan Bernama mendapati kerja pengorekan pasir dari dalam sungai dijalankan dan timbunannya yang membukit di tebing sungai membuktikan bahawa keadaan sungai sememangnya sudah nazak; dicemari mendapan selain warnanya yang sangat keruh.

TEBING SUNGAI

Sebenarnya, jalur tanah bersebelahan kedua-dua tebing sungai sudah diwartakan sebagai tanah rizab sungai, sebagaimana termaktub menurut Seksyen 62 Kanun Tanah Negara.

Jaluran tanah dirizabkan itu bertindak sebagai penampan di antara sungai dan tanah bersebelahan, bertujuan melindungi sungai daripada aktiviti tidak diingini yang boleh menjejaskan fungsi sungai.

Keluasan jaluran tanah rizab bergantung kepada kelebaran sungai yang mengalir di tengah-tengahnya. Tanah rizab sungai itu tidak sepatutnya diduduki mahupun dibina struktur sementara atau kekal, dan ditanam dengan sebarang tanaman untuk memastikan keselamatan manusia terjamin terutamanya bila hakisan sungai dan musibah banjir melanda.

Namun realiti di kawasan berkenaan berbeza keadaannya kerana tebing sungai sebelum kejadian banjir lumpur di Lembah Bertam kerana wujud aktiviti menanam sayur dan penempatan manusia di sekitarnya.

Air Sungai Bertam yang mengalir ke dalam Tasik Ringlet sepanjang lebih 25 kilometer dari hulu ke hilir sungai dan didapati lebih enam kilometer tanah bersebelahan sungai itu berpenghuni dan terdapat aktiviti manusia.

"Air sungai di sini penuh dengan bahan yang mencemari kejernihannya dan saya rasa hanya 30 peratus kandungan sungai itu air.

"Selebihnya mendapan kelodak dan pasir. Itu sebabnya warna air sungai dan keadaannya tidak dapat dikelaskan sepertimana sungai-sungai lain di negara ini," komen seorang lelaki yang bekerja tidak jauh dari Habu, ketika ditemui Bernama.

LANGKAH ATASI MASALAH

Mendapan yang melitupi kedalaman dasar asal Tasik Ringlet itu mengakibatkan Empangan Hidroelektrik Sultan Abu Bakar tidak dapat menjana elektrik sepenuhnya mengikut kapasiti.

Pada malam kejadian paras air di empangan didapati hanya kurang satu meter daripada paras maksimum dan sekiranya air mencecah paras maksimum empangan, pasti ia membawa risiko lebih besar.

Menyedari masalah banjir yang boleh membawa banyak kesan buruk kepada kehidupan dan harta benda, kerajaan bertindak pantas bagi mengatasi masalah seumpamanya berulang.

Kerajaan dalam Bajet 2014, yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Naib Tun Razak pada 25 Okt, meluluskan peruntukan sebanyak RM40 juta bagi melebarkan dan mendalamkan Sungai Bertam.

Oleh Hazlinda Hamzah
Sumber: BERNAMASinar HarianBHarian

Cameron Highlands Perlu Perhatian Khas

Cameron Highlands perlu diberi perhatian khas berikutan lokasi dan persekitarannya untuk manfaat semua pihak, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel.

Beliau berkata sebagai kawasan yang memiliki banyak pusat jualan dan pemasaran, Cameron Highlands perlu diurus dengan baik dengan memberi perhatian terhadap keperluan penduduk tempatan dari segi perumahan serta infrastruktur unggul seiring lanskapnya yang begitu istimewa.

Justeru, Palanivel mencadangkan bahawa perumahan serta rekreasi diwujud di kawasan lebih rendah dan penempatan semula perniagaan yang tidak mesra alam atau pembangunan.

"Jika orang ramai dan komuniti perniagaan bekerjasama, kita boleh membawa Cameron Highlands ke tahap yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata pembangunan persekitaran yang sihat akan memberi manfaat kepada perniagaan dan penduduk tempatan dalam jangka panjang.

"Kalau boleh, semua aktiviti pertanian perlu dipindah ke kawasan lembah kerana langkah ini akan memberi peluang kepada bukit-bukau dan sungai untuk sembuh serta kembali seperti keadaan asal," katanya.

Palanivel berkata amalan pertanian yang baik mesti seiring pembangunan.

"Kita mesti meletakkan Cameron Highlands kembali ke landasan sebagai lokasi percutian terhebat selain mengekalkan reputasinya sebagai satu daripada destinasi pelancongan terbaik di rantau ini," katanya.

Sumber: BERNAMA

0 comments: