Nuff Atas

06 November 2013

Lebih Dua Ribu Laman Web Disekat Atas Pelbagai Sebab



Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat 2,753 laman web yang melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan undang-undang lain dalam tempoh Januari hingga Oktober 2013 ini.

Ketua Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaan Industri SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 2,611 ialah laman 'Phishing' (laman web bank palsu); kandungan lucah (103); dan kandungan yang melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (10).

Turut disekat 15 laman web yang melanggar Enakmen Jenayah Syariah; Akta Rahsia Rasmi (dua); Kanun Keseksaan (dua); Akta Hasutan (satu); dan lain-lain (sembilan).


"Setakat ini, SKMM sedang menyiasat 10 laman web," katanya.

Zulkarnain berkata Kerajaan melalui SKMM sentiasa bekerjasama dengan polis dan agensi penguatkuasa lain di dalam dan luar negara dalam penguatkuasaan undang-undang penyalahgunaan media sosial di negara ini.

Sepanjang Januari sehingga Oktober 2013 ini, beliau berkata Jabatan Penguatkuasaan dan Siasatan (JPS) SKMM menerima 268 aduan yang disiasat di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Daripada jumlah aduan yang diterima, 108 aduan adalah laporan polis yang dirujuk kepada JPS. Jenis aduan yang dirujuk oleh PDRM ialah kandungan palsu 35 peratus, sumbang (23 peratus), mengancam (14 peratus), jelik (15 peratus), lucah (10 peratus) dan lain-lain yang bukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (11 peratus)," katanya.

Beliau berkata aduan yang paling banyak diterima SKMM ialah berhubung akaun palsu atau penyamaran, termasuk penyalahgunaan maklumat dan data peribadi, penyebaran fahaman atau ajaran sesat dan 'love scam'.

Sementara itu, Zulkarnain berkata undang-undang sedia ada seperti Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, Akta Perkhidmatan Pos 2012, Akta Tandatangan Digital 1997 dan Akta Perdagangan Strategik 2010 untuk menangani jenayah siber dan penyalahgunaan laman sosial adalah mencukupi.

Namun beliau berkata SKMM menghadapi cabaran dalam penguatkuasaan dan pendakwaan, khususnya dalam pembuktian kes jenayah siber.

"SKMM juga berdepan dengan pengendali laman sosial yang enggan membekalkan maklumat kerana individu yang melanggar peruntukan undang-undang di Malaysia tidak semestinya menjadi satu kesalahan di negara pengendali laman web itu.

"Selain itu, SKMM juga berdepan dengan cabaran mengesan individu yang menyalahguna media sosial dengan menggunakan wifi percuma di tempat awam kerana penyedia perkhidmatan tiada log transaksi," katanya.

Selain mendapatkan maklumat lengkap mengenai akaun seperti alamat URL, beliau berkata SKMM perlu membuat analisa forensik ke atas alat-alat elektronik seperti telefon bimbit dan komputer riba yang membolehkan siasatan dijalankan.

Sumber: Bernama, BHarian [2013/11/06]

0 comments: