03 November 2013
Watak Fiksyen Sains Star Wars Ke Layar Wayang Kulit
SATU pembaharuan. Layar wayang kulit akan menampilkan buat julung kali karakter angkasa lepas - Sangkala Vedah (Darth Vader), Perantau Langit (Skywalker), Tuan Puteri Leia (Princess Leia Organa) dan Si P Long (C-3PO).
Karakter daripada siri filem 'Star Wars' ini akan menggantikan watak-watak yang mempelopori wayang kulit selama ini - Ramayana - Hanuman, Sri Rama, Sita Dewi, Maharaja Rawana dan Laksamana daripada epik Silam India Hikayat Rama.
Semua ini adalah hasil gandingan kreativiti dan wawasan dua insan seni yang masing-masing mempelopori animasi moden dan tradisional.
Chuo Yuan Ping, 40, pemilik syarikat animasi di ibu negara dengan kerjasama tok dalang tersohor wayang kulit Kelantan, Muhammad Dain Othman, 61, membawa nafas baru kepada seni persembahan tradisional ini.
Kedua-dua mereka amat berharap watak-watak baru ini dapat memikat hati generasi muda dan memastikan kesinambungan warisan wayang kulit.
Chuo yang lebih dikenali mesra sebagai Tintoy berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang ditemui di Galeri Wayang Kulit Tradisional Kelantan di Kampung Morak, Kebakat, milik Muhammad Dain di Tumpat.
BENTUK ANIMASI HUMOR
Menceritakan pengalaman pertama ketika cuba menghasilkan watak filem Star Wars dalam bentuk wayang kulit, Tintoy berkata, beliau dibantu oleh dua rakannya iaitu seorang pereka animasi dan pemilik kilang percetakan untuk merekabentuk serta mencetak watak-watak itu dalam bentuk dua dimensi (2D).
"Namun timbul masalah untuk mencetaknya dalam bentuk 2D kerana tiada kepakaran menghasilkan patung menggunakan belulang seperti yang digunakan dalam permainan wayang kulit asli.
"Bagaimanapun, seorang rakan bersetuju untuk membantu dengan mencetak kedua-dua watak itu menggunakan kepingan plastik di kilang miliknya dengan setiap patung mengambil masa kira-kira lima jam untuk disiapkan," katanya.
Berikutan penerimaan yang baik selepas menceritakan hasratnya itu kepada Official Star Wars Malaysia Fan Club, Tintoy mara ke peringkat seterusnya untuk cuba menghasilkan filem Star Wars itu dalam bentuk wayang kulit.
Mengakui timbul rasa takut semasa percubaan pertamanya itu kerana dibimbangi akan mencemari seni asli wayang kulit, Tintoy kemudian ke pejabat Tourism Malaysia di Kuala Lumpur untuk membuat kajian sebelum membeli sebuah buku nukilan Pak Dain berkenaan permainan tradisional itu.
"Pada masa yang sama, Pak Dain (Muhammad Dain) turut menambah saya sebagai kenalan dalam laman sosial Facebook dan saya gembira kerana Pak Dain turut menyokong idea untuk menghasilkan kembali filem itu dalam bentuk permainan wayang kulit," katanya.
Pereka animasi, Chuo Yuan Ping, giat menyiapkan watak-watak wayang kulit versi Star Wars di Galeri Wayang Kulit Tradisional Kelantan di Kampung Morak, Kebakat, Tumpat, Kelantan.
Gandingan dua artis
Bermula dari situ, kedua-dua mereka memilih tajuk 'Peperangan Bintang: Harapan Baharu' yang diterjemah daripada tajuk asal siri terbaharu 'Star Wars : A New Hope' ke dalam Bahasa Melayu dan mula mencipta beberapa watak, jalan cerita dan muzik latar bagi penghasilan wayang kulit edisi Star Wars itu.
Proses pembuatan wayang kulit Star Wars itu masih dikekalkan iaitu menggunakan patung yang dibuat daripada kulit lembu atau kambing yang telah dikeringkan (belulang), manakala muzik latar juga menggunakan peralatan tradisional seperti gedombak, gendang, serunai dan gong.
Sehingga kini, lima watak berjaya disiapkan oleh Tintoy dan Pak Dain iaitu Sangkala Vedah (Darth Vader), Perantau Langit (Skywalker), Tuan Puteri Leia (Princess Leia Organa), Si P Long (C-3PO), Hulubalang Empayar (Storm Troopers) serta sebuah Kapal Angkasa Pemusnah Bintang (Star Destroyer Space Ship), manakala durasi pertunjukkan animasi wayang kulit berkenaan mengambil masa antara satu jam setengah dan dua jam.
Pertunjukan itu direkod untuk dijadikan filem animasi wayang kulit dengan prebiu pertama selama 15 minit akan dipertonton pada seminar Jaringan Usahawan Nusantara Sedunia pada 9 Okt di ibu negara.
TIDAK CEMARI PERMAINAN ASAL WAYANG KULIT
Sementara itu, Pak Dain yang juga bekas Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Kelantan berkata wayang kulit Star Wars itu tidak menyalahi ciri-ciri dominan pertunjukan tradisional itu yang diamal sejak turun-temurun.
"Terdapat lima ciri dominan dalam permainan wayang kulit iaitu muzik, bahasa atau dialog, persembahan, pendalangan dan karakter atau watak. Apa yang kami buat adalah mengubahsuai satu daripada elemen cerita dalam pertunjukan itu dan kita panggilnya sebagai cerita asing.
"Cerita asing adalah cerita yang tidak terdapat dalam cerita pokok, malah sangat berlainan kerana watak dan muziknya berbeza. Kedua-dua elemen itu boleh berubah mengikut citarasa tok dalang berdasarkan keadaan semasa. Namun, tok dalang perlu kreatif untuk tidak mencampuraduk elemen yang terdapat dalam cerita pokok ke dalam cerita asing.
"Contohnya cerita asing dalam permainan wayang kulit asli adalah Hikayat Merong Mahawangsa. Ia langsung tiada kaitan dengan Hikayat Seri Rama dengan cerita pokok dan watak yang digunakan juga sangat berbeza", kata tok dalang asli terakhir ke-13 itu, yang mendapat pengijazahan daripada hierarki dalang wayang kulit asli sekitar 1980-an.
PELBAGAI WAYANG KULIT
Di Malaysia sahaja terdapat empat jenis persembahan wayang kulit iaitu Wayang Kulit Melayu, Wayang Kulit Gedek, Wayang Kulit Purwa atau Wayang Kulit Jawa dan Wayang Kulit Kelantan atau Wayang Kulit Siam. Kesemua empat jenis wayang kulit ini hanya boleh ditemui di Semenanjung.
Bagaimanapun, wayang kulit menerima sambutan dingin daripada generasi muda, dan diharapkan usaha Tintoy dan Pak Dain untuk membawanya ke format digital dapat memikat hati golongan muda dan memastikan kesinambungan warisan persembahan wayang kulit.
Oleh Mohd Fakri Awang Lah dan Muhammad Ashraf Syafiq Mazlan
Sumber: BERNAMA, Utusan
Labels:
Kesenian
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments:
Kreatif tu.. bagus2.
Catat Ulasan