04 November 2013

Cegah Kemalangan Di Taman Permainan



TAMAN Permainan Kanak-kanak (TPK) yang dibina di hampir semua kawasan perumahan di seluruh negara sering menjadi punca keluhan ibu bapa ekoran tahap keselamatan yang meragukan.

Meskipun tiada statistik rasmi mengenai kecederaan di TPK, maklumat daripada blog kesihatan ortopedik menganggarkan, 17 peratus kes patah tulang dalam kalangan kanak-kanak berlaku ekoran kemalangan di TPK.

Malah, Setiausaha Bahagian Pembangunan Strategik, Kementerian Wilayah Persekutuan, Tiew Hai San sendiri meluahkan kebimbangan terhadap TPK yang dibina sebagai komponen kawasan kediaman tetapi kemudian terbiar tanpa pengawasan dan diselenggara oleh pemaju, pemilik atau operator.


Tahap keselamatan

Kementerian telah meluluskan satu dasar baharu berkaitan TPK bulan lalu untuk tiga wilayah yang dinaungi iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Ia bertujuan membolehkan kanak-kanak bermain dalam persekitaran yang lebih selamat dan kurang risiko kemalangan.

Peraturan yang dikenali sebagai Dasar Keselamatan Taman Permainan Kanak-kanak itu akan mentranformasikan TPK selaku komponen kawasan hijau, sekali gus melestari kawasan hijau ketiga-tiga wilayah tersebut.

Selain meningkatkan tahap keselamatan dan memanjangkan hayat peralatan permainan di TPK, dasar itu bertujuan memastikan penyelenggaraan TPK Wilayah Persekutuan adalah seragam dan dilakukan secara proaktif setiap enam bulan iaitu mengikut piawaian MS966:2001.

Antara peraturan paling penting dalam dasar itu ialah menyediakan permukaan jatuh bersesuaian, menyediakan zon penggunaan yang mencukupi, mengenal pasti dan menghapuskan ciri bahaya TPK serta pengawasan ibu bapa atau penjaga.

Menurut Hai San, bahan permukaan yang tidak sesuai menjadi punca utama kemalangan di TPK. Ini kerana permukaan jatuh yang tidak cukup lembut untuk menyerap hentakan meningkatkan risiko kecederaan apabila kanak-kanak terjatuh.

"Pemaju perlu memastikan lapisan permukaan TPK yang lembut dengan permukaan urai berkedalaman 30 sentimeter tanpa takungan air dan bersih daripada sampah," kata beliau pada Seminar Kebangsaan Pengurusan Kawasan Hijau di Putrajaya.

Antara permukaan yang sesuai termasuklah serat kayu proses, serpihan kayu, pasir, kerikil kekacang atau lapik getah sama ada getah asli, tiruan atau mayang.

Beliau juga menggariskan zon penggunaan iaitu radius lebar permukaan jatuh yang mengelilingi peralatan perlulah cukup luas khususnya untuk gelongsor dan buaian.

"Gelongsor yang berketinggian 1.82 meter atau kurang mesti mempunyai zon penggunaan selebar 1.82 meter, manakala gelongsor yang lebih tinggi iaitu antara 1.82 meter hingga 2.4 meter mestilah mempunyai zon penggunaan yang sama lebar dengan ketinggian platform gelongsor," jelasnya.

Zon penggunaan yang lebih luas juga diperlukan untuk buaian biasa kanak-kanak yang berumur antara lima hingga 12 tahun. Begitu juga buaian tempat duduk bertutup untuk kanak-kanak kecil.

Beliau memberitahu, lebar zon penggunaan untuk kedua-dua bahagian depan dan belakang tempat duduk buaian hendaklah dua kali ganda lebih luas berbanding ketinggian pengikat atau penyangkut buaian, manakala zon penggunaan di bahagian struktur buaian mestilah 1.82 meter.

Satu lagi peraturan penting yang ditekankan dalam dasar pembinaan TPK baharu Wilayah Persekutuan adalah menghapuskan ciri bahaya TPK.

Kementerian turut mengenal pasti pelbagai ciri bahaya pada peralatan permainan yang berpotensi menyebabkan kemalangan di TPK. Antaranya termasuk unjuran perkakas yang terjojol seperti lebihan skru yang menonjol melebihi dua bulatan bebunga daripada permukaan nat.

Ciri bahaya lain yang boleh berlaku di TPK adalah terjerut. Apabila pakaian atau perkakasan leher tersangkut atau terbelit dengan peralatan permainan dan pemerangkapan yang berlaku apabila kepala kanak-kanak tersangkut semasa mereka memasukkan kaki dan badan ke dalam ruang pembukaan yang biasanya terdapat di platform gelongsor.

"Kanak-kanak juga boleh terjatuh apabila tersadung di tapak konkrit rosak, akar, tunggul pokok dan batu, malah peralatan yang pecah atau berbucu tajam boleh menyepit dan memenyetkan jari mereka," tambah Hai San.


IBU bapa dinasihatkan supaya mengawasi anak-anak ketika berada di taman permainan.

Selesaikan aduan

Kementerian mahu memastikan pemilik TPK hanya menyediakan peralatan yang sesuai dengan menggariskan beberapa jenis peralatan yang tidak patut disediakan di TPK seperti buaian berat. Misalnya, buaian berbentuk binatang atau buaian jenis peluncur dengan tempat duduk berganda.

Strategi keselamatan yang tidak kurang pentingnya ialah menggalakkan pengawasan ibu bapa memandangkan sekitar 40 peratus kemalangan TPK boleh dielakkan sekiranya ibu bapa mengawasi anak mereka.

Beliau berharap ibu bapa memainkan peranan dalam memastikan TPK yang dikunjungi adalah selamat dan mengawasi anak bermain sepanjang masa.

"Ibu bapa perlu memastikan anak berpakaian sesuai jika bermain di TPK, pakaian dan aksesori rantai berloket, skirt labuh atau seluar yang terlalu pendek kurang selamat dan memudahkan anak tercedera," tegur beliau.

Beliau juga berharap agar ibu bapa tidak membenarkan anak membawa permainan seperti basikal, papan luncur, kasut roda yang boleh menyebabkan kanak-kanak lain terjatuh dan cedera.

Strategi keselamatan lain yang perlu dipatuhi oleh pemilik TPK adalah memastikan jarak bersesuaian terhadap susun atur peralatan permainan, menyediakan penghadang dan penghalang platform, papan tanda dan penyelenggaraan TPK secara berterusan serta mengganti TPK lama yang telah tamat jangka hayatnya.

Hai San memberi penekanan khusus terhadap penyelenggaraan kerana aspek ini sering diabaikan oleh pemilik TPK sedangkan jika ia dilakukan secara berterusan ia boleh menjamin keselamatan pengguna.

"Lagipun aduan awam terhadap aspek ini sangat tinggi, malah sehingga 40 aduan setiap bulan di Kuala Lumpur sahaja. Ini menyebabkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu membelanjakan sehingga RM4juta setahun bagi menyelesaikan aduan itu," jelas Hai San.

Sebagai respon terhadap dasar terbaharu itu, Perbadanan Putrajaya (PPj) menyediakan Pelan Mitigasi Profil Risiko PPj bagi mewujudkan kakitangan terlatih dan bertauliah dalam bidang keselamatan dan penyelenggaraan peralatan TPK.

Hai San memberitahu, DBKL dan Perbadanan Labuan (PL) sedang menggubal pelan itu.

Sumber;  BERNAMAKosmo

0 comments: