21 Januari 2014

4G ~ Komunikasi Generasi Keempat



Teknologi terbaharu 4G memberi peluang kita berhubung dengan lebih pantas.

Teknologi komunikasi pada hari ini menjadi satu anjakan paradigma kepada banyak industri dan merentas segenap bidang, apatah lagi ia menjadi satu keperluan dan tidak dapat dipisahkan dengan pengaliran data dari satu ke satu lokasi lain.

Sebab itu munculnya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang mana data dan infrastruktur tersebut, kedua-duanya merupakan satu analogi mudah antara lebuh raya dan kenderaan yang melaluinya.

Medium komunikasi memang pelbagai antaranya gelombang radio, Internet wayarles atau tanpa wayar yang akhirnya membentuk satu jaringan saling berkepentingan dan berkait rapat antara satu sama lain.


Oleh itu perkembangan teknologi komunikasi boleh dianggap sangat signifikan dengan perkembangan industri lain tetapi pengguna hari ini memerlukan lebih daripada sekadar penyediaan infrastruktur komunikasi canggih dan luar jangka.

Maka dengan sebab itu, ICT juga berevolusi sejajar dengan perkembangan semasa mengikut keperluan dan sebab itu permintaan pengguna lebih daripada sekadar penghantaran data dan maklumat dengan platform utamanya ialah gajet pintar.

Jika dilihat pada masa dahulu, komunikasi adalah terhad di rumah dimana talian tetap digunakan. akan tetapi pada masa kini, komunikasi boleh dilakukan di mana sahaja dengan menggunakan teknologi selular seperti selular GSM (Sistem Global Untuk Telekomunikasi Mudah Alih) , HSDPA dan yang terbaru adalah LTE.

Teknologi- teknologi tersebut berkembang sejajar dengan penggunaan gajet canggih khususnya atau telefon pintar dengan pelbagai aplikasi.

Teknologi ini juga membolehkan pengguna untuk mengakses Internet pada kadar kelajuan sehingga 100 megabitsesaat (Mbps) bergantung kepada teknologi yang digunakan.



Apakah yang dimaksudkan dengan LTE yang diperkatakan kini apabila kita membincangkan mengenai aplikasi telefon pintar dan komunikasi.

Perkembangan telefon pintar yang menggunakan teknologi selular khususnya 3G dan 4G menjadi seakan satu keperluan ketika ini.

Teknologi tersebut juga merupakan sebahagian daripada segmen komunikasi yang penting dan berevolusi daripada satu generasi (1G) kepada 4G ketika ini.

Sebahagian besar pengguna mungkin agak ketinggalan apakah latar belakang dan elemen yang terkandung dalam komunikasi selular tersebut bermula 1G hingga 4G.

Seorang pakar komunikasi tempatan, Prof. Dr Tharek Abdul Rahman berkata, komunikasi 1G merujuk kepada teknologi selular generasi pertama yang diperkenalkan pada 1980an

Teknologi 1G menggunakan sistem analog yang mana pengguna boleh menerima dan membuat panggilan telefon di mana sahaja selagi mempunyai liputan dari pemancar radio selular.

Sebelum telefon selular diperkenalkan, panggilan telefon hanya boleh dibuat di rumah atau di pejabat.

"Contoh sistem tersebut yang digunakan di negara ini adalah ATUR 450, ART 900 dan Mobifon 800 dan penggunaan sistem ini terhad kepada suara sahaja," ujarnya.

Seterusnya ialah teknologi 2G iaitu teknologi selular generasi kedua yang diperkenalkan dalam dekad 1990an. Teknologi 2G menggunakan sistem digital yang mana prestasinya lebih baik berbanding 1G.

Contoh sistem tersebut yang digunakan di Malaysia adalah GSM. Tetapi penggunaannya adalah untuk suara sahaja.

Beliau bagaimanapun berkata, GSM telah ditambah baik kepada sistem yang dinamakan General Packet Radio Services (GPRS) bagi membolehkan penghantaran data di buat melalui sistem selular.

Dengan penggunaan GPRS, penghantaran dan penerimaan data boleh dibuat melalui sistem selular dengan kelajuan sehingga 100 kilobit sesaat (kbps) dan dinamakan sebagai 2.5G.

Daripada GPRS, sistem tersebut telah ditambahbaik lagi ke EDGE atau Enhanced Data for GSM Evolution dan dinamakan sebagai 2.75G dan boleh menghantar dan menerima data sehingga 384 kbps.

Sistem 2G menggunakan teknologi TDMA (Time Division Multiple Access)

Mengenai 3G, beliau berkata, ia merupakan teknologi selular generasi ketiga yang diperkenalkan dalam pada 2000.

Menurut Tharek, kelebihan 3G ialah ia boleh digunakan untuk suara dan data sehingga kelajuan 2Mbps.

Teknologi 3G juga membolehkan kita membuat panggilan video selain suara dan data dan merupakan piawaian yang global berbanding dengan 1G atau 2G.

"Sebagai contoh jika kita ke Jepun atau Korea, panggilan telefon tidak boleh dibuat dengan menggunakan teknologi 2G, sebaliknya teknologi 3G membolehkan kita membuat panggilan telefon ke seluruh dunia,"€™ ujarnya.

Perkembangan seterusnya ialah Sistem 3G juga yang dipanggil WCDMA atau Wideband Code Division Multiple Access.

Sistem tersebut telah ditambah baik kepada High Speed Downlink Packet Access (HSDPA) dan High Speed Uplink Packet Access (HSUPA).

HSDPA boleh mencapai kelajuan sehingga 14 Mbps dan HSUPA boleh mencapai kelajuan sehingga 5Mbps.

Seterusnya, penambahbaikan telah dibuat yang mana kelajuan telah mencapai sehingga 28Mbps yang dinamakan sebagai HSPA + (High Speed Packet Access). 3G mengunakan teknologi yang dinamakan CDMA (Code Division Multiple Acces).

Beliau seterusnya menjelaskan, 4G merupakan teknologi selular generasi keempat yang menggunakan teknologi Evolusi Jangka Panjang (LTE).

Kelajuan teknologi LTE boleh mencapai sehingga 100Mbps. Teknologi yang digunakan oleh LTE adalah OFDMA (Orthogonal Frequency Division Multiple Access).

Menurut Tharek, LTE merupakan evolusi dari HSPA+. Selain kelajuan yang tinggi, teknologi tersebut dapat menampung lebih ramai pengguna berbanding dengan 3G iaitu lebih kurang tiga kali ganda.

Selain itu, kos penggunaan data adalah lebih murah dengan kelajuan yang lebih tinggi.

Kesimpulannya, perbezaan antara 2G, 3G dengan 4G adalah kelajuan capaian data atau capaian Internet adalah jauh lebih tinggi.

Sebagai contoh kelajuan capaian internet bagi 3G adalah tiga kali ganda lebih laju dari 2G. Kelajuan capaian data bagi 4G adalah tiga kali ganda dari 3G. Hari ini Teknologi LTE teloah berkembang termasuk ke negara ini.

Sebagai contoh, sebuah syarikat telekomunkasi tempatan pada tahun lalu melancarkan LTE dengan kelajuan 10 kali ganda dan dipasang di beberapa bandar besar di negara ini.

Kira-kira 300 kawasan bakal dipasang dan mula berfungsi bermula suku ke tiga tahun lepas ini dan mensasarkan hampir 1,500 kawasan menjelang pada tahun 2015 dengan kos melibatkan hampir RM300 juta dalam masa tiga tahun proses pemasangan.

Syarikat pengeluar telefon pintar juga berlumba-lumba mengeluarkan produk yang menyokong LTE sejak beberapa tahun lepas.

Sumber: Utusan

0 comments: