22 Januari 2014

Perkenal Kaedah Fakih Bantu OKU Baca Al-Quran



Sejurus menamatkan kursus dalam bidang pendidikan khas, beliau tekad mahu menjadi `mata dan telinga’ anak istimewa.

Itulah titik permulaan Guru Agama Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temerloh Jaya, Pahang, Nor Aziah Mohd Daud, membabitkan diri dalam dunia anak istimewa secara serius.

Penampilan beliau sama seperti wanita bekerjaya lain, cuma mungkin dedikasinya terhadap tugas menjadikan beliau lebih istimewa.


Kaedah Fakih bantu OKU baca al-Quran

Kerana tekadnya ingin berkhidmat kepada anak kelainan upaya (OKU) itulah beliau berjaya membangunkan kaedah khas menggunakan bahasa isyarat dikenali sebagai Kaedah Fakih pada 2009 bagi membolehkan pelajar menghadapi masalah pendengaran atau pekak membaca al-Quran.

Kecintaan itu juga ditumpahkan dalam bentuk dedikasi tanpa mengharapkan balasan dan kerana itu beliau sanggup menempuh perjalanan sejauh 140 kilometer saban minggu, meninggalkan keluarga di Temerloh, untuk mencurahkan khidmat di ibu kota.

Destinasinya adalah Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (Yayasan Faqeh), Universiti Malaya (UM), bagi melaksanakan peranannya sebagai perunding dan memantau perjalanan program pengajian agama dan al-Quran untuk anak istimewa.

Pada masa sama, peluang ke UM digunakan untuk menyudahkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang Quran dan Sunnah.

Foto
Nor Aziah bangun Kaedah Fakih bantu anak istimewa baca al-Quran

Jadi kurikulum

Menurut cerita Nor Aziah, beliau mula membangunkan Kaedah Fakih selepas mendengar keluhan beberapa pelajarnya yang hanya boleh memandang, memegang dan mendakap al-Quran, tetapi tidak dapat membacanya.

Bertitik- tolak daripada pengalaman itu, Nor Aziah mula meneroka kaedah pengajaran dan pembelajaran al-Quran demi berkongsi keindahan kalam Allah dengan anak istimewa.

“Bagaimanapun, waktu itu, ia sekadar kaedah untuk saya jalani bersama pelajar saya saja.

“Tapi sebagai guru pendidikan khas, saya akui pendidikan agama dan pengajian al-Quran paling sukar diajar kerana tiada methologi khas,” katanya yang mula mengajar pelajar istimewa ketika bertugas di Sekolah Kebangsaan Bandar Temerloh.

Pengubah suai, pelaksanaan dan pembangunan Kaedah Fakih dilakukan sedikit demi sedikit sehinggalah pada 2009, beliau didatangi pegawai dari kementerian yang menghidu keberkesanan kaedah itu dalam pembelajaran anak pekak dan bisu.

Akui Nor Aziah, rakan pendidik dan pentadbiran SMK Temerloh Jaya memberikan kerjasama sangat baik, malahan mereka sama-sama mengubah suai Kaedah Fakih sehingga ia diterima untuk digunakan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) - Pendidikan Khas bermula 2011.

Foto
Nor Aziah membimbing anak OKU membaca al-Quran.

Menang pingat emas

Kejayaan mencipta kaedah itu juga membolehkan Nor Aziah memenangi pelbagai anugerah antaranya Guru Inovasi Kebangsaan sempena Hari Guru Kebangsaan 2010 dan Johan Anugerah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi Zon Timur.

Tidak hanya itu kerana melalui inisiatif penyelidik di Pusat Penyelidikan al-Quran (CQR), program membabitkan Kaedah Fakih turut diiktiraf antaranya Anugerah Ibnu Sina, pingat emas bagi program i-Fakih (aplikasi iPad) dan terbaru, pingat emas di The British Invention Show 2013 (BIS 2013), London.

“Bersama CQR, saya turut bersama-sama terbabit menjayakan Projek Rintis Fakih bersama UM dengan matlamat menghasilkan kurikulum yang boleh diguna pakai sekolah agama untuk mengajar agama kepada kanak-kanak OKU.

“Dengan kerjasama CQR juga saya mengeluarkan Quran Fakih, sebahagian lagi sumbangan saya untuk golongan istimewa,” katanya.

Bangun kaedah terapi al-Quran didik bayi OKU

Tidak menjadikan kejayaan pelaksanaan Kaedah Fakih sebagai penamat bakti Nor Aziah untuk anak istimewa kerana kini beliau sedang membangunkan kaedah terapi Quran khusus untuk anak yang lahir dengan masalah pembelajaran seperti sindrom down, celebral palsi, hiperaktif (ADHD), autisme dan disleksia.

Ibu kepada Nur Aliyah Shofiyah, 14, berkata, al-Quran adalah untuk semua manusia dan seperti manusia normal yang mencari ketenangan dengan membaca al-Quran, begitu jugalah keperluan ayat suci itu untuk anak istimewa.

“Jika kita ada masalah, anak itu juga sama dan menyedihkan kerana mereka berada dalam dunia sendiri yang tiada siapa fahami. Justeru, kami menggunakan pendekatan bacaan al-Quran sebagai usaha membantu menenangkan mereka.

Rangsangan ayat suci

“Siapa sangka, pada peringkat awal, ada pelajar yang langsung tiada hubungan mata dengan guru, tapi lama-kelamaan, melalui rangsangan ayat suci al-Quran, mereka berubah, senang diurus malah kelihatan cukup tenang. Saya sendiri cukup terpesona dengan keajaiban Allah,” katanya.

Akui Nor Aziah, walaupun lahir tidak sempurna, bila mereka memahami al-Quran, mereka juga boleh diajar asas fardu ain dan solat.

“Jadi terbukti seperti tubuh yang perlukan makanan, jiwa juga perlukan al-Quran sebagai makanan rohani. Ia fitrah dan keperluan dalam pembentukan jiwa dan sahsiah setiap insan,” katanya mengharapkan kesedaran masyarakat menerima kehadiran golongan istimewa.

Harapannya juga adalah untuk melihat Kaedah Fakih diguna pakai di seluruh dunia dan diterjemah dalam bahasa yang lebih indah.

Profil: Nor Aziah Mohd Daud
Profesyen : Guru agama pendidikan khas di SMK Temerloh Jaya, Pahang
* Naib Presiden, Yayasan Faqeh
* Sekretariat Jurubahasa Bahasa Isyarat Muslim Malaysia.
* Suami : Mohd Nor Zakaria, peniaga.
* Anak : Nur Aliyah Shofiyah.

INFO: Antara anugerah dimenangi Kaedah Fakih
* Pingat emas di The British Invention Show 2013 (BIS 2013), London, Barbican Centre pada 26 Oktober ini.
* Pingat emas Quran Typography pada Persidangan Ketiga Inovasi Islam 2013, USIM I-Inova 2012 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
* Anugerah Khas Persatuan Inovator dan Saintis Muda Indonesia 2012.
* Pingat emas dan Anugerah Khas Ibnu Sina di i-INOVA 11, 2011.

Oleh Siti Nur Almizan Aripin
Sumber: BHarian [2013/11/22]

0 comments: