19 Mei 2014

Mengenali Sejarah 5,000 Tahun Pembuatan Roti


Logo Syarikat di hadapan pintu masuk Bandar Roti High5 di Seksyen 21, Shah Alam, Selangor.

SEJARAH pembuatan roti sungguh panjang, hampir menjangkau 5,000 tahun. Dari zaman Mesir purba ke Zaman Besi, Zaman Roman dan Zaman Viking, seterusnya Revolusi Perindustrian hinggalah ke hari ini.

Setiap era membawa pembaharuan dari segi mutu bijian, proses mengisar, membakar, membentuk serta tekstur roti yang dihasilkan.

Namun, tidak semua orang mengetahuinya, malah perubahan era yang dilalui dengan teknik pembuatannya jika tidak dipertontonkan, hanya akan menjadi sejarah yang dibaca melalui buku.


Atas dasar itu juga, Pengarah Urusan Kumpulan Silver Bird Group, Datuk Jackson Tan Han Kook, telah melahirkan suatu idea yang begitu bermanfaat dan menjadi kenangan kepada generasi masa kini dan akan datang.

Pemilik syarikat pembuatan roti High5 itu telah merencanakan sebuah impian yang telah lama diidamkan supaya generasi kini mengetahui asal usul pembuatan roti.

Menurut Jackson, ini adalah salah satu usaha tanggungjawab sosial korporat Silver Bird dalam mempromosikan pembelajaran sepanjang hayat.

‘‘Ia bukan sekadar bandar roti pertama di dunia, tetapi sebagai warisan kepada pembuatan roti dari zaman primitif hingga ke zaman kini yang memberi kenangan kepada pelawat.

‘‘"Di samping itu, saya juga mahu masyarakat mengetahui khasiat yang terkandung di dalam makanan yang sihat ini yang merupakan makanan kedua terpenting selain nasi,"’’ katanya.

Justeru, sebuah bandar roti pertama di dunia telah direalisasikan pada 25 Mei 2005 di sebelah kilang Silver Bird dengan perbelanjaan RM100 juta di Seksyen 21, Shah Alam, Selangor.

Bandar Roti High5 itu direalisasikan setelah dua tahun diadakan penyelidikan. Ia suatu lokasi yang menarik dilawati dan sesuai bagi semua peringkat umur. Selain menjanjikan pengalaman yang menyeronokkan, ia juga dapat menambah pengetahuan seisi keluarga.

Ia juga sebagai tarikan pelancong terkini di Selangor dan Malaysia amnya.

Teknologi

‘‘Dengan menggabungkan penggunaan sistem teknologi yang terbaik, Bandar Roti High5 menawarkan pengembaraan melalui sejarah roti yang menceritakan perubahan pembuatan roti dari satu zaman ke satu zaman yang perlu dialami sendiri.

‘‘Sejarah roti diceritakan dalam bentuk mural warna-warni dan paparan interaktif agar dapat menimba pengalaman yang sebenar dan secara langsung.

“Aroma roti segar lagi enak yang baru dikeluarkan dari ketuhar memberi sentuhan yang membuatkan lawatan ke Bandar Roti High5 satu kenangan manis yang sentiasa segar dalam ingatan,’’ katanya.

Setiap pelawat dibawa menyelami pengalaman dari zaman Mesir purba ke Zaman Besi, Zaman Roman dan Zaman Viking, seterusnya Revolusi Perindustrian hinggalah ke hari ini.

Di samping itu, pelawat boleh mengenali pencipta sandwich iaitu Earl Sandwich, seorang bangsawan zaman King George, diberi sanjungan kerana memperkenalkan sandwich yang digemari ramai sehingga hari ini.

Lebih menarik lagi, kunjungan ke Bandar Roti juga meliputi lawatan yang menyeronokkan ke sekitar kilang. Pelawat dapat melihat keluasan kilang bakeri yang tersergam dan terbesar di Asia Tenggara pada hari ini dan bersiar-siar menyusuri jambatan setinggi 268 meter sambil meninjau proses membuat roti menggunakan teknologi terkini.

Dalam lawatan itu, pengunjung akan berkunjung ke kedai roti zaman dahulu dan melihat pelbagai aneka roti dari seluruh dunia.

Selain itu, pelawat pasti kagum melihat alat gergasi yang digunakan untuk membuat roti, seperti pengadun dan ketuhar. Begitu juga dengan terowong masa yang mempamerkan pelbagai jenis roti zaman akan datang yang lebih kecil saiznya tetapi mempunyai khasiat yang sama dengan yang normal.

Dalam pada itu, pelawat berpeluang melihat peralatan antik berharga yang digunakan untuk membuat roti. Peralatan ini belum pernah dipamerkan untuk tatapan ramai.

Antaranya, ialah Mesin Pengasas yang direkabentuk oleh pengasas syarikat, Tan Chin Suan, pada tahun 1960-an.

Setiap pelawat mestilah melalui temujanji dahulu dan tempahan boleh dibuat melalui laman web: www.high5breadtown.com atau telefon (03-51922888). Kadar bayaran yang dikenakan ialah RM15 untuk dewasa, pelajar (RM15), kanak-kanak (RM12) dan orang tua (RM12).

Bandar ini dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 6 petang kecuali hari Rabu dan Ahad.

Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI
Sumber: Utusan

0 comments: