14 Jun 2014

Asid Benzoik Pengawet Selamat?


Buah Delima mengandungi kandungan antioksida yang tinggi yang dapat melawan radikal bebas daripada merosakkan sel dalam badan kita.

MAKANAN tinggi antioksidan membantu mempercepatkan penyingkiran asid hippuric. Makanan yang dikeluarkan dari kilang untuk tujuan komersil dan dijual kepada orang ramai perlu memenuhi kriteria utama iaitu ia memiliki hayat penyimpanan (shelf life) yang panjang.

Secara umum maksud hayat penyimpanan ialah jangka masa sesuatu bahan / barangan masih boleh digunakan, selamat untuk dimakan atau masih boleh diperdagangkan. Pada bungkusan makanan yang dikeluarkan oleh kilang 'shelf life' boleh didapati dengan meneliti istilah tamat tempoh (expiry date).

Jika tamat tempoh yang dinyatakan seperti Disember 2016, maka makanan tersebut boleh bertahan dari tempoh ia dikeluarkan hingga tarikh tamat tempoh tersebut. Untuk mengetahui tempoh sebenar ketahanan sesuatu makanan ialah tarikh tamat tempoh tolak tarikh pengeluaran.


Bagaimanapun ketahanan sesuatu produk walaupun dibungkus rapi bergantung kepada faktor tertentu. Selagi ia masih berada dalam bungkusan maka hayat ketahanannya adalah lama. Apabila bungkusan telah dibuka maka hayat ketahanannya akan berkurangan walau pun ia mengandungi pengawet.

Sesetengah produk makanan termasuk makanan tambahan contohnya dalam bentuk jus yang dibotolkan akan tahan (tidak rosak) selama berminggu-minggu asalkan botol ditutup dengan sempurna dan disimpan dalam peti ais yang sempurna suhu dinginnya.

Keadaan sama berlaku kepada makanan lain juga contohnya gel yang dibungkus dalam sachet yang memang direka untuk sekali makan untuk setiap uncang.

Makanan atau makanan tambahan seperti ini perlu dihabiskan setiap kali bungkusan dibuka. Pertama kerana sudah tertentu pihak pengeluar makanan tambahan tersebut mereka pengambilan satu uncang sebagai dos optimum.

Kedua ialah apabila bungkusan dibuka dan bahan yang tertinggal walaupun ditutup rapi serta disimpan dalam peti ais namun nilai nutriennya dikhuatiri akan merosot.

Bakteria baik - jahat

Pengawet bukan sahaja menjadi bahan biasa ditambah dalam pengeluaran bahan makanan terproses, malah ia juga ditambah ke dalam makanan tambahan. Pengawet ditambah ke dalam jus kesihatan. Ia ditambah ke dalam sediaan gel tidak kira gel apa pun.

Menurut pakar formulasi produk sebuah syarikat pengeluar makanan tambahan, selain bahan asas, pengawet amat diperlukan dalam pembuatan produk makanan tambahan. Antara pengawet yang biasa digunakan ialah asid benzoik dan garamnya iaitu natrium benzoat.

Secara faktanya asid sorbik adalah jauh lebih selamat daripada asid benzoik. Bagaimanapun asid sorbik yang lebih selamat sebenarnya membawa maksud ia hanya berupaya menjadikan sesuatu makanan tahan lebih lama pada tahap yang lebih rendah berbanding asid benzoik.

Pakar formulasi produk dalam syarikat tersebut menolak untuk hanya menggunakan asid sorbik atau garamnya iaitu natrium sorbat sahaja sebagai pengawet tanpa menggunakan asid benzoik.

Menurut pakar tersebut, asid benzoik perlu digandingkan dengan asid sorbik bertujuan menjadikan produk tahan lama berbanding penggunaan asid benzoik secara bersendirian atau asid sorbik secara bersendirian.

Pakar tersebut yang berkelulusan sarjana muda dalam bidang teknologi pemakanan dan bekerja hampir sepuluh tahun sebagai pakar formulasi produk di syarikat tersebut berkata, kedua-dua asid sorbik dan asid benzoik bertindak secara sinergi dalam menjadikan sesuatu produk makanan tambahan tahan lama.

Tambahnya, penggunaan asid sorbik semata-mata tanpa menggunakan asid benzoik menyebabkan makanan tambahan hanya tahan untuk beberapa minggu. Sebaliknya menggunakan asid sorbik dan asid benzoik secara bersama akan menyebabkan sesuatu makanan tambahan tahan bertahun-tahun.

Penggunaan asid benzoik dan garamnya menerima kritikan hebat daripada pelbagai persatuan dan orang perseorangan.

Alasan mereka ialah asid benzoik yang masuk ke dalam tubuh bersama makanan yang dimakan dipercayai akan merosakkan sel termasuk DNA. Ia juga dipercayai mengganggu keharmonian flora usus yang terdiri daripada populasi bakteria baik dan bakteria jahat.

Pengambilan makanan yang mengandungi asid benzoik atau garamnya dipercayai menjadikan populasi bakteria baik-jahat menjadi tidak seimbang. Populasi bakteria baik akan terjejas yang akan mengakibatkan bakteria jahat membiak di luar kawalan. Ketidakseimbangan bakteria baik-jahat ini akan mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan.

Sebaliknya menurut golongan yang mempertahankan penggunaan asid benzoik, peratusan yang digunakan dalam makanan adalah rendah. Kadar yang rendah dipercayai tidak memudaratkan keseimbangan populasi bakteria baik-jahat.

Berasas tumbuh-tumbuhan

Golongan pengkritik berkata, oleh kerana asid benzoik disintesis daripada bahan petroleum maka sudah tertentu terdapat bahan kimia pencemar atau bersifat karsinogen (menyebabkan kanser) yang menyertainya.

Mereka yang mempertahankan penggunaan asid benzoik pula berkata sebarang pengawet digunakan dalam makanan adalah terdiri daripada gred makanan.

Maksudnya ialah kadar bahan pencemar atau bersifat karsinogen biasanya berada dalam julat yang dibenarkan. Jadi, adakah asid benzoik selamat dimakan termasuk yang ditambah dalam produk makanan tambahan?

Sebenarnya asid benzoik terdapat dalam pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan. Tumbuh-tumbuhan membina asid benzoik dengan mengubah asid cinnamic.

Seterusnya tumbuh-tumbuhan membina sebatian berguna daripada asid benzoik seperti sebatian yang membantu mempertahan kehidupannya (mencegah serangan mikrob atau serangga), mengawal tumbesaran dan menarik perhatian agen pendebungaan.

Asid gallic iaitu sejenis antioksidan yang berkuasa merupakan detivatif asid benzoik. Beberapa jenis asid methoxybenzoic ditemui saintis namun sifat terapeutik untuk manusia masih belum diketahui.

Jadi, kesimpulannya jika ia wujud secara semula jadi dalam tumbuh-tumbuhan di mana bahagian tertentu tumbuh-tumbuhan seperti buah dan daun adalah makanan kita maka penggunaan asid benzoik sebagai pengawet adalah selamat. Ia selamat selagi ia ditambah menurut had yang dibenarkan.

Dalam tubuh, asid benzoik diubah kepada asid hippuric. Asid hippuric akan dibuang daripada tubuh sepenuhnya dalam air kencing.

Kajian mendapati pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran membantu mempercepatkan pembuangan asid hippuric.

Jadi pemakan makanan yang mengandungi asid benzoik harus menjalani gaya hidup sihat termasuk makan makanan berkhasiat dengan nilai antioksidan yang tinggi.

Oleh: DR. BAHRAIN SAMAH, MD (AM ), RH (AHG)
sumber: Sinar Harian

0 comments: