15 Jun 2014

Kunyit Kuatkan Sistem Imun Tubuh


KHASIAT kunyit sebagai herba dalam bidang perubatan telah lama diakui.

KUNYIT atau nama sainstifiknya Curcuma longa adalah termasuk dalam salah satu tanaman rempah yang banyak terdapat di wilayah Asia terutamanya di India dan juga di Nusantara. Hakikatnya kunyit merupakan salah satu anugerah Tuhan kepada umat manusia yang perlu disyukuri kerana kepelbagaian khasiat yang ada pada tumbuhan herba itu.

Kunyit atau dikenali sebagai curcumin merupakan sejenis rempah yang digunakan dalam masakan. Kunyit yang merupakan tumbuhan herba lazimnya digunakan sebagai rempah ratus dalam masakan masyarakat Asia. Jika di Malaysia, rempah kunyit sering digunakan dalam masakan gulai bagi memberikan warna kuning dan sebagai bahan pengawet.


MASAK lemak cili api merupakan salah satu masakan tradisi di Negeri Sembilan yang turut digemari sebahagian besar rakyat Malaysia.

Jika di kampung-kampung, kaum wanita lebih gemar menggunakan kunyit hidup atau kunyit segar, tetapi di bandar-bandar, kebanyakannya memilih penggunaan serbuk kunyit.

Sama ada kunyit hidup atau dalam bentuk serbuk, kedua-duanya tetap berfungsi untuk menyerlahkan warna kekuningan masakan tersebut.

Walaupun kunyit lebih popular sebagai pelengkap masakan, namun sebenarnya kunyit kaya dengan pelbagai khasiat yang sangat menakjubkan.bahan masakan ini juga dikenali sebagai salah satu penyembuh semula jadi paling mujarab. Kegunaan kunyit telah bermula selama 2,500 tahun dahulu. Rempah tersebut dengan perlahan telah memperlihatkan sifat perubatan sejak berabad lamanya.


FUNGSI kunyit dalam masakan dan turut dijadikan bahan penyembuh perubatan tradisional Melayu.

Kehebatan herba ini terletak pada ekstrak pigmennya yang memberikan warna kuning kepada kunyit. Pigmen yang dikenali sebagai curcumin itu mempunyai pelbagai khasiat dan digunakan dalam perubatan tradisional sebagai penawar beberapa jenis penyakit.

Kajian menunjukkan curcuminoid mempunyai sifat anti oksida, anti radang dan menurunkan takat kolestrol. Ia merupakan sejenis perencat COX-2 semula jadi bagi melegakan kesakitan dan juga adalah agen anti kanser. Para saintis juga mencatatkan curcuminoid menyokong metabolisme gula darah yang sihat dan memberikan harapan untuk melawan diabetis.

Dalam 688 kajian, lebih daripada 400 yang telah dikemukakan mengesahkan sifat anti karsinogenik, anti-radang dan anti oksida yang menakjubkan pada kunyit. Institut Kesihatan Nasional Amerika Syarikat mempunyai empat ujian klinikal untuk menguji tindakan curcuminoid terhadap kanser kolorektum, pankreas, mieloma berganda dan Alzheimer.

Pencegah Penyakit

Sejak kebelakangan ini, kunyit mulai mendapat tumpuan ramai kerana keupayaannya dalam pencegahan banyak penyakit. Penyelidikan menunjukkan curcuminoid (komponen aktif dalam kunyit ) boleh digunakan untuk mencegah pelbagai jenis penyakit seperti kanser kolorektum, Alzheimer, arthritis dan gangguan kulit.

“Apa yang lebih menakjubkan tentang curcumin ialah ia bersifat anti radang dan antioksidan yang berkesan untuk menghalang penyakit daripada berlaku.

Lantaran itu, ia sangat baik untuk individu yang mahu mencapai tahap kesihatan yang optimum,” ujar Bodeker yang aktif menulis berkaitan perubatan tradisional dan alternatif dalam pelbagai makalah kesihatan.

Sebagai Penyembuh

Pengkaji herba dari Universiti Oxford, Prof. Gerard Bodeker berkata, kunyit merupakan salah satu daripada bahan penyembuh penyakit terbaik di dunia dan telah lama digunakan secara meluas terutamanya di Asia.

Ramai yang tidak menyedari bahawa curcumin merupakan salah satu daripada bahan penyembuh terbaik dan ia banyak digunakan dalam sistem perubatan herba Cina dan India.

“Bagaimanapun, melalui pelbagai kajian dan penyelidikan yang dijalankan, fungsi kunyit kini turut diperakui oleh pakar-pakar dan hospital terkemuka di Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Eropah,” jelas penulis buku Health From The Rainforest ini lagi.

“Jika anda ke Jawa, Indonesia, kunyit masih lagi digunakan untuk pelbagai kegunaan dalam kehidupan rakyatnya dan ia tidak berlaku di negara ini.

“Justeru, tradisi penggunaan kunyit untuk tujuan kesihatan perlu dihidupkan kembali,” katanya.

Menurut kepercayaan masyarakat tempatan, kunyit mempunyai pelbagai khasiat kepada tubuh badan manusia. Kunyit dipercayai berupaya mengubati penyakit-penyakit seperti asma, kekejangan, hipertensi, sesak nafas, hidung berair, batuk, resdung, gangguan hati, tiada selera makan, sakit sendi, diabetes dan luka.

Pun begitu, masyarakat hari ini terlupa bahawa kunyit banyak digunakan dalam perubatan tradisional Melayu.

Ini termasuk menghilangkan gatal-gatal, kesihatan dalaman wanita, herba untuk wanita selepas bersalin.

Curcuma longa bukan sekadar merawat simptom-simptom kecil alahan atau herba untuk wanita selepas bersalin sebaliknya fungsi universal merangkumi semua golongan.

Jelasnya, kunyit perlu dilihat sebagai herba yang bukan semata-mata untuk perubatan tradisional tetapi mempunyai potensi untuk dimajukan sebagai penawar pelbagai penyakit.

Menguatkan Imunisasi

Selain itu, kunyit juga berfungsi sebagai bahan aktif utama yang mampu menguatkan sistem imunisasi atau pertahanan badan daripada serangan penyakit. Demikian kata Bodeker yang juga penulis buku bertajuk Health and Beauty from The Rainforest.


UJIAN klinikal menunjukkan pengambilan kunyit lebih baik berbanding ubat.

“Kunyit merupakan bahan yang mampu menguatkan sistem imunisasi badan daripada serangan penyakit tertentu.

“Hasil kajian yang dilakukan oleh sebuah universiti terkemuka di Barat menunjukkan, penduduk India mempunyai sistem pertahanan badan yang lebih baik berbanding penduduk di Amerika Syarikat. Ini disebabkan pengambilan kunyit dalam masakan seharian mereka,” katanya.

Cegah Kanser

Menurut pengkaji herba dari Universiti Oxford, Profesor Gerard Bodeker, kunyit mengandungi bahan aktif yang dikenali sebagai curcumin yang berperanan mencegah penyakit berprofil tinggi seperti kanser payudara, prostat dan mengurangkan kolesterol dalam badan.

“Curcumin bersifat antioksidan dan ia juga mampu menguatkan sistem imunisasi dalam badan seseorang bagi mengelak serangan penyakit jika diambil secara berterusan.

“Penyebab kanser yang terdiri daripada radikal bebas boleh dineutralkan oleh fungsi antioksidan yang terdapat dalam herba unik ini,” jelas Bodeker yang berpengalaman melakukan kajian tentang khasiat kunyit sejak 10 tahun lalu.

Tambah beliau, radikal bebas adalah bahan kimia yang meresap ke dalam darah sekali gus merosakkan sel-sel di dalam badan.

Curcuma longa mengandungi komponen bioaktif politenol membantu untuk mencegah tanda awal kanser dan merosakkan sel kanser yang bermutasi.

Kurkumin yang bertindak mengganggu proses mutasi sel kanser ini menyebabkan sel-sel tersebut tidak dapat mengembang atau menjadi lembab dan kurang aktif terutamanya kanser payudara dan prostat.

Selain itu, pakar perubatan daripada Pusat Kanser Texas itu turut memaklumkan bahawa curcumin atau kunyit mempunyai keupayaan antioksidan yang mampu meneutralkan radikal bebas yang menjadi akar umbi kepada penyakit kanser.

Rawatan Kecantikan

Tambahnya, kunyit mempunyai pakej yang cukup lengkap dalam penjagaan badan manusia iaitu untuk menjaga kesihatan dan kecantikan yang menjadi idaman setiap orang.

Bodeker telah melakukan kajian tentang herba dan perubatan tradisional lebih 20 tahun dan mengkaji tentang herba kunyit kira-kira sedekad.

Bodeker turut memaklumkan bahawa pengambilan kunyit juga mampu mencantik dan menghaluskan kulit.

Hal ini kerana bahan antioksidan yang terdapat dalam kunyit mampu menjadikan kulit lebih awet muda dan halus sekiranya diambil secara konsisten.

Tambah menarik, walaupun kunyit diambil setiap hari secara berterusan, ia tidak akan meninggalkan sebarang kesan buruk kepada tubuh badan manusia.

“Kunyit merupakan satu bahan yang tidak akan memberi sebarang kesan negatif terhadap tubuh badan sekiranya diambil secara berlebihan seperti bahan lain,” tambah Bodeker lagi.

Sementara itu, dalam kalangan masyarakat India, kunyit begitu dikenali sebagai ubat pembersih dalaman badan dan mencantikkan kulit. Malah, amalan meminum rebusan air kunyit juga dipercayai mampu memberi kesihatan dalaman yang baik terutama buat wanita.

Tambah pakar perubatan dari Pusat Kanser Texas, Amerika Syarikat itu, sebiji pil daripada ekstrak curcumin seolah-olah mengambil 20 sudu teh serbuk kunyit.

Mencegah Alzheimer

Penulis buku bertajuk Health and Beauty from The Rainforest itu juga banyak mengulas tentang khasiat-khasiat herba yang terdapat di Malaysia.

Tambah Prof. Gerard, kunyit membantu dalam peneutralan radikal bebas ini dengan mencegah kesan pemusnahan pada tahap lebih awal yang menjadi punca penyakit Alzheimer.

Ujarnya lagi, kunyit turut terbukti mampu mencegah penyakit Alzheimer. Alzheimer merupakan sejenis gangguan otak yang teruk mempengaruhi keupayaan seorang untuk melakukan aktiviti seharian melibatkan bahagian otak yang mengawal pemikiran, ingatan dan bahasa.

Hasil ujian klinikal menunjukkan bahawa kunyit mempunyai kandungan bisdemethoxycurcumin, demethoxycurcumin dan curcumin.

“Cantuman ketiga-tiga komponen ini membentuk curcuminoids atau curcuminoid yang mampu menjadi agen semula jadi untuk memperlahankan perkembangan Alzheimer,” katanya.



Sebagai Penahan Sakit

Pengkaji herba dari Universiti Oxford, Prof. Gerard Bodeker berkata, curcumin adalah antara bahan penyembuh terbaik dalam dunia perubatan tradisional dan moden.

Ujar beliau, curcumin telah terbukti berkesan dijadikan sebagai ubat penahan sakit kerana ia berupaya mengawal keradangan secara dalaman.

Curcumin juga berfungsi untuk melawan radang yang menyebabkan bengkak, angin, sakit-sakit sendi dan sengal badan.

“Curcumin bukan sahaja melegakan keradangan atau kesakitan malah ia juga mampu membina semula tulang rawan yang rosak serta memulihkan sendi.

“Kuasa antioksida dalam curcumin juga mampu membaiki kerosakan oksidatif yang berpunca daripada keradangan,” katanya.

Dalam kajian ke atas pesakit artritis di Eropah, pakar perubatan mendapati khasiat curcumin boleh dibandingkan dengan ubat tahan sakit moden seperti phenylbutazone.

Malah, didapati penghidap artritis merasakan kurang sakit pada waktu pagi, mampu berjalan dengan lebih lama dan bengkak berkurangan.

Malah, individu yang mengalami sakit-sakit artritis disebabkan oleh radikal bebas, kunyit melalui warna kuning yang dihasilkan atau curcumin merupakan bahan utama yang meringankan beban kesakitan.

Selain itu, curcumin juga membantu mengurangkan risiko serangan jantung dan strok.



Sakit sendi

Katanya, kunyit sering kali digunakan secara tradisional dalam mengawal keradangan sendi dan belakang yang berpunca daripada kerosakan rawan.

Rawan adalah tisu kuat yang fleksibel sifatnya dan ada di seluruh tubuh. Kerosakannya bukan setakat menjejaskan pergerakan individu, malah kehidupan seharian.

Ujar Bodeker, hasil ujian klinikal menunjukkan, curcumin lebih berkesan mengawal sakit sendi dan belakang berbanding ubatan antiradang lain yang mengandungi bahan kimia berbahaya.

“Hasil kajian, pesakit yang mengambil kunyit selama lapan minggu mempunyai pengurangan gejala kesakitan sebanyak 44 peratus berbanding mereka yang mengambil ubat-ubatan antiradang iaitu hanya 42 peratus sahaja.

“Ini jelas menunjukkan kunyit lebih baik berbanding ubat-ubatan biasa. Ia juga tidak meninggalkan kesan sampingan seperti pengambilan ubat yang mengandungi bahan kimia,” katanya.

Kawal Diabetes

STATISTIK menunjukkan bahawa diabetes menduduki tangga keenam sebagai punca kematian utama di Amerika Syarikat.

Malah, Perangkaan Persekutuan Diabetes Antarabangsa mendedahkan kira-kira 285 juta penduduk dunia kini menghidap diabetes.

Di Malaysia pula, bagi setiap 400 saat atau enam minit, terdapat satu kes diabetes yang didiagnosis. Malah, kematian disebabkan penyakit ini berlaku dalam setiap 30 minit.

Hakikatnya, bilangan penghidap diabetes di negara ini semakin meningkat dan dijangka mencecah 2.5 juta orang menjelang tahun 2030.

Jika tiada sebarang kawalan atau kempen dilakukan, tidak mustahil penyakit ini akan menjadi pembunuh nombor satu rakyat Malaysia.

Berdasarkan kajian klinikal kemanusiaan yang disiarkan dalam Jurnal Penjagaan Diabetes dan Jurnal Persatuan Diabetes Amerika, diabetes mellitus jenis 2 (T2DM) sebenarnya boleh dikawal secara efektif melalui penggunaan ekstrak kunyit.

Menurut pengkaji herba dari Universiti Oxford, Profesor Gerard Bodeker, kunyit atau nama saintifiknya Curcuma longa mempunyai khasiat dalam mengawal penyakit diabetes.

“Jurnal Biokimia Pemakanan mengesahkan bahawa herba kuno ini mampu mengubah diabetes jenis 2 yang dikaitkan dengan penyakit jantung iaitu komplikasi berbahaya akibat penyakit ini.

“Kajian terhadap pengurangan bentuk mendapan lemak di dalam arteri yang berisiko untuk pesakit diabetes jenis 2 mendapati bahawa ekstrak curcumin yang terkandung dalam herba kunyit boleh menjadi pencegah terbaik.

“Sepanjang enam bulan siri kajian ini dilaksanakan, ia mendedahkan penglibatan ekstrak kunyit iaitu curcumin berupaya menghalang pembentukan mendapan lemak pada permukaan dalaman arteri yang menghalang pengaliran darah,” ujar Bodeker.

Apa yang pasti, seseorang itu menghidap diabetes jenis 2 akibat kegagalan pankreas menghasilkan insulin yang mencukupi manakala diabetes jenis 1 pula berlaku apabila pankreas pesakit itu langsung tidak berfungsi.

Insulin merupakan sejenis hormon yang dikeluarkan oleh pankreas yang menukar gula daripada makanan yang dimakan ke dalam sel-sel badan.

Sementara itu, statistik pada tahun 2010 mencatatkan 23,800 kematian akibat diabetes di Malaysia. Malah, pada tahun yang sama, seramai 1.8 juta rakyat di negara ini dikenali pasti menghidap diabetes dengan majoriti daripada mereka menghidap diabetes jenis 2.

Tambah Bodeker, kunyit sangat dikenali sebagai bahan penyembuh menerusi bahan aktif yang terhasil daripada warna kuning herba itu.

“Banyak kajian telah membuktikan bahawa tahap glukosa dalam badan pesakit diabetes berkurangan dan penghasilan insulin bertambah apabila mereka mengambil suplemen daripada ekstrak curcumin secara konsisten.

Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa campuran kunyit dan kayu manis ternyata berpeluang mengubati penyakit diabetes.

"Ramuan tersebut dapat melipat gandakan kebolehan kerja insulin untuk menguraikan glukosa.

"Kunyit juga dapat membantu mengawal masalah obesiti. Ini secara langsung dapat mencegah penyakit yang berpunca daripada kegemukan seperti diabetes," jelasnya.

Bagi masyarakat Melayu, kunyit diminum sebagai jamu terutamanya ibu selepas bersalin. Tujuannya untuk mengecutkan rahim dan mencuci darah. Manakala masyarakat Cina percaya isi kunyit boleh melancarkan peredaran darah, menghilangkan kesan lebam dan darah beku. Di Thailand kunyit digunakan untuk merawat bisa patukan ular tedung.

“Disebabkan itu, masyarakat Malaysia khususnya harus menyedari kepentingan pengambilan kunyit dalam kehidupan. Meskipun, ia sering digunakan di dapur, tetapi hakikatnya khasiat kunyit begitu besar untuk dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya,” ungkap Bodeker.

Sumber Asal Artikel:

Artikel Oleh MOHD.SHAZWAN YUSOP
Sumber: Kosmo (Artikel1), Kosmo (Artikel2)

Artikel 3 Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
Sumber: Uusan

Artikel 4: Kosmo [20062014]
Artikel 5: Kosmo [27062014]

Artikel 6: Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH,
Sumber: Utusan [29062014]

0 comments: