20 Oktober 2014
Murah Hati ~ Ambil Kesempatan Atau Beri Peluang?
BENARKAH sikap bermurah hati, kadangkala akan memberikan kesan negatif kepada kita? Hal ini membuatkan orang yang bermurah hati akan menjadi ragu-ragu untuk membuat kebaikan dan membantu, kerana bimbang orang akan mengambil kesempatan daripada kebaikannya.
Memang banyak orang menyebut, jika kita terlalu bermurah hati orang akan cenderung, 'mengambil kesempatan,' tetapi apa kata kita ubah tanggapan negatif itu kepada 'memberi peluang.' Iaitu kita memegang prinsip, bermurah hati dengan niat 'memberi peluang.'
Sebagai manusia yang serba kekurangan dan lemah, yakni bukan memiliki sifat mulia seperti sifat Allah, Yang Maha Pemberi dan Yang Maha Pemurah, kalau kita memberi pun mesti ada hadnya. Sebab kalau kita memberi kepada orang yang meminta tanpa had, kelak akan sampai kepada tahap, hati kita sudah hilang rasa keikhlasan.
Hal ini kerana kita akan berasa orang 'mengambil kesempatan,' dan pada waktu itu semua pemberian kita tidak membawa apa-apa pahala pun kepada kita. Kerana inilah kelemahan manusia. Kita bukan Allah, yang semakin banyak dan kerap hamba-Nya meminta dan merayu kepada-Nya, semakin Dia suka.
Bagi menghilangkan rasa berkira-kira dan ragu-ragu untuk memberi, cuba bayangkan dan ingatkan diri sendiri, bahawa suatu hari nanti kita akan mati. Apabila kita mati semua harta dan wang ringgit tidak dibawa pergi. Diabadikan sekujur jasad kita di dalam kubur menghadap Ilahi.
Jom auditlah diri kita, adakah kita masih sayang akan harta dan wang ringgit kita, atau kita mahu menjadikannya sebagai 'alat' untuk mengumpul pahala di akhirat nanti.
Kisah seorang hamba Allah yang menghadapi sakratulmaut, mungkin boleh dijadikan iktibar dalam persoalan membina sikap bermurah hati, dan melupuskan perasaan kekeliruan antara tanggapan 'mengambil kesempatan' dengan 'memberi peluang.'
Ketika menghadapi sakratulmaut itu, hamba Allah itu asyik menyebut dua perkara. Pertama, baharu dan buruk. Kedua, banyak dan sedikit.
Rupa-rupanya yang dimaksudkan oleh hamba Allah itu ketika sakratulmautnya adalah kalau dia tahu bersedekah itu besar pahalanya; dia akan memberi sedekah barang-barang yang baharu bukan yang buruk dan dia akan bersedekah dengan kadar yang banyak dan bukan sedikit. Maknanya apabila kita hendak memberi, berilah apa yang kita suka dan sayang, bukan memberi apa yang sudah tidak kita gunakan lagi, serta bermurah hatilah dengan memberi sebanyak mungkin yang kita mampu.
Apabila kita hendak memberi, usahlah kita berfikir sama ada orang yang meminta itu mahu mengambil kesempatan ke atas kita ataupun tidak? Kalau dia menipu kita bermakna dialah yang berdosa.
Sebenarnya di dunia ini manusia ada tiga jenis. Pertama, manusia yang buta mata hati, yang menganggap orang meminta-minta itu menyusahkan dan tidak tergerak langsung hatinya untuk memberi.
Kedua, manusia yang suka menghukum orang atas nilaian luarannya, biarpun baru pertama kali menemuinya. Iaitu apabila dia melihat orang yang meminta-minta itu, dia membuat nilaian sendiri, contohnya dia akan berkata, "Mengapa dia malas bekerja? Sepatutnya dia bekerja supaya dia tidak meminta-minta daripada orang."
Ketiga, manusia yang tidak berkira. Iaitu manusia, yang apabila datang orang yang meminta kepadanya, dia tidak banyak soal terus memberi dengan ikhlas, bersangka baik dan berharap dengan pemberiannya itu orang yang meminta-minta itu akan berubah.
Hal ini berlaku kepada ulama zaman Rasulullah dahulu. Pertama, dia bersedekah kepada seseorang yang disangkanya orang susah, tetapi rupa-rupa orang itu seorang yang kaya. Kedua, ulama ini telah bersedekah, tetapi kali ini dia bersedekah kepada pelacur. Ketiga, ulama itu telah bersedekah kepada pencuri yang disangkakannya pengemis.
Namun begitu, ulama itu tidak pernah mengungkit dan menyesali sikapnya yang terlalu pemurah hati itu, tanpa usul periksa memberi kepada mereka yang menadahkan tangan kepadanya. Dia hanya berserah kepada Allah, tanpa mengharapkan pujian dan penghargaan manusia. Yang diharapkannya hanya reda Allah, dan jauh sekali untuk dia menyesali perbuatannya.
Tetapi, dengan izin Allah ketiga-tiga orang yang menipunya itu berubah; orang kaya yang menyamar menjadi peminta sedekah itu bertukar menjadi orang kaya yang pemurah, wanita pelacur yang menjadi peminta sedekah itu berhenti menjadi pelacur, dan pencuri yang menyamar menjadi peminta sedekah itu tidak mencuri lagi.
Pengajaran yang kita dapat daripada peristiwa ulama pada zaman Rasulullah itu adalah, kalau kita bersedekah, usahlah mengira siapa yang meminta. Walaupun, yang meminta itu seorang yang bukan Islam, berilah kepadanya jika kita mampu.
Ingatlah, mungkin dengan bermurah hati memberi kepada orang bukan Islam itu, kita menjadi duta Islam, yang akan memperlihatkan kepadanya, betapa baiknya umat Islam ini. Sesungguhnya, manusia akan lebih mengingati apa yang kita lakukan kepadanya daripada apa yang kita cakapkan kepadanya.
Hal ini kerana, kita mesti menghormati dan menjaga perasaan semua makhluk, apatah lagi kepada sesama manusia, tanpa mengira umur dan kedudukannya. Kalau kita bertemu orang tua, kita menghormatinya kerana pengalamannya. Kalau kita bertemu orang muda kita menghormatinya, kerana kurang dosanya berbanding dengan kita yang sudah berumur dan sudah lama hidup.
Hal ini kerana manusia tidak dapat lari daripada melakukan dosa. Kalau kita menemui orang bukan Islam kita menghormatinya, kerana jika dia diberi hidayah oleh Allah, dia lebih mulia daripada kita. Hal ini kerana dia ibarat bayi yang baru lahir belum ada dosa, berbanding dengan kita yang menjadi Islam baka (Islam sejak lahir).
Percayalah, tidak ada kebaikan yang kita lakukan sebagai hamba-Nya, yang Allah tidak kembalikan kebaikan kepada kita. Biarlah Allah yang mengadili kehidupan kita, dan elakkan kita berprasangka buruk seperti yang dianjurkan Islam pada zaman Rasulullah yang menjadi teladan hidup kita.
Oleh sebab itu, ubah cara kita memandang isu 'mengambil kesempatan' ke atas orang yang tinggi budi dengan sifat bermurah hati itu, dengan tanggapan 'memberi peluang' kepada orang yang memerlukan. Seperti pepatah Cina yang menyatakan 'jangan bagi ikan, tapi beri kail.'
Contohnya, kalau kita seorang yang berduit, beri peluang kepada seseorang itu menjana pendapatan, dengan cara memberinya modal untuk berniaga. Kita juga boleh biaya dia belajar menjahit, dan setelah boleh menjahit dia boleh mendapat duit dengan cara mengambil upah menjahit. Hal itu lebih baik daripada kita bermurah hati memberinya sehelai dua baju untuk dipakainya.
Oleh Dr. Muhaya Mohamad
Sumber: Utusan
Labels:
Motivasi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan