15 September 2011

Sindiket Penipuan Perbankan Internet Tumpas

Awas!! Penipuan Perbankan Internet mengambil wang anda tanpa pengetahuan anda!! 
Bagaimana Modus Operandinya??


KAD SIM yang dirampas berhubung siasatan kes penipuan memindahkan wang secara haram menggunakan internet.

Polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan wang melalui Internet yang didalangi warga Afrika dengan tertangkapnya tujuh anggota kumpulan penjenayah itu di Seksyen 14, Petaling Jaya, dekat sini baru-baru ini.

Siasatan mendapati kumpulan sindiket terbabit yang mula beroperasi mulai awal tahun ini terlibat dalam 12 kes penipuan, membabitkan kerugian berjumlah hampir RM242,321.14.

Mereka yang ditangkap ialah masing-masing seorang lelaki warga Sierra Leonne, Jordan dan Pakistan serta empat rakyat tempatan termasuk tiga wanita berusia 20 hingga 27 tahun.

Siasatan polis mendapati kebanyakan suspek yang ditangkap mahir dalam bidang teknologi maklumat termasuk lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Rangkaian serta Kejuruteraan Awam dari kolej swasta di ibu negara tetapi menyalahgunakan ilmu pengetahuan itu untuk melakukan jenayah siber di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan (gambar) berkata, modus operandi (MO) kumpulan sindiket terbabit adalah mendapatkan maklumat perbankan Internet mangsa seperti nama pengguna, nombor laluan dan nombor telefon pengguna menggunakan taktik ‘phishing’.

‘Phishing’ adalah perbuatan mendapatkan maklumat peribadi melalui kiosk seperti nama pengguna, kata laluan dan maklumat kad kredit dengan menyamar sebagi individu sah dalam komunikasi elektronik.

Menurut Syed Ismail, suspek memperoleh maklumat mangsa yang dimuat turun melalui perisian yang dipasang pada kiosk dalam bank yang menjalankan perbankan Internet.

“Sindiket kemudian membuat panggilan kepada pemilik akaun atau telefon dengan menyamar sebagai pekerja syarikat telekomunikasi dan memberitahu kononnya talian telekomunikasi yang digunakan oleh mangsa akan mengalami gangguan perkhidmatan selama kira-kira dua jam kerana kerja-kerja menaik taraf.

“Setelah menelefon mangsa, mereka akan datang ke mana-mana cawangan syarikat telekomunikasi yang berkaitan untuk mendapatkan kad SIM gantian tanpa pengetahuan pemilik sebenar,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Bukit Perdana di sini hari ini.

Syed Ismail berkata, suspek akan memperdayakan pekerja syarikat telekomunikasi dengan mengemukakan laporan polis palsu yang direka sendiri dengan menyatakan kononnya mereka telah disamun dan kehilangan telefon serta kad pengenalan.

Selain laporan polis palsu, katanya, anggota sindiket juga akan mengemukakan salinan kad pengenalan dan menyamar sebagai pemilik telefon berdaftar dengan syarikat telekomunikasi itu dengan mengekalkan butir-butir pengenalan diri mangsa tetapi meletakkan gambar mereka.

“Mereka turut memalsukan surat memberi kuasa yang kononnya telah ditandatangani oleh pemilik telefon yang berdaftar dengan syarikat telekomunikasi tersebut,” katanya.

Menurut Syed Ismail, dokumen palsu dikemukakan itu menyakinkan pekerja syarikat telekomunikasi terbabit untuk menyerahkan SIM kad gantian yang akan digunakan oleh suspek bagi mendapatkan kod kuasa transaksi (TAC) wang dari akaun mangsa, malah maklumat itu turut disalahgunakan untuk memohon kad kredit menggunakan nama mangsa.

Beliau berkata, di peringkat seterusnya, sindiket akan membuat pemindahan wang dari akaun mangsa ke akaun pihak ketiga iaitu milik anggota kumpulan sindiket melalui perbankan Internet ataupun perkhidmatan Western Union tanpa pengetahuan mangsa.

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari Bahagian Jenayah Siber dan Multimedia JSJK Bukit Aman diketuai, Asisten Komisioner Kamarudin Md. Din telah menjalankan siasatan dan berjaya memberkas tujuh suspek di beberapa lokasi di kawasan Millenium Square, Seksyen 14, Petaling Jaya pada Sabtu dan kelmarin.

“Polis turut merampas beberapa barang yang digunakan oleh sindiket dalam kegiatan penipuan itu termasuk satu komputer bersama unit pemprosesan pusat (CPU), kad kredit dipercayai dicuri, buku akaun simpanan bank, kad sim dan mikro pelbagai syarikat telekomunikasi, komputer riba, thumb drive, salinan kad pengenalan serta laporan polis palsu,” katanya.

Sumber: Utusan

3 comments:

syahirooAhmad berkata...

penjahat siber~

Unknown berkata...

mcm2 cara nak buat jahat kan...

Tanpa Nama berkata...

Ilmu org beri salah guna. Bknnya nak guna ilmu yg ada tu untuk cri duit dgn betul. Satu lagi, aku tak puas hati sungguh dengan warga asing ni. Mai negara orang buat onar. Benci sungguh aku dgn puak2 awang hitam ni.