05 November 2014

Pendidikan Awal Pengurusan Kewangan



Ramai ibu bapa beranggapan dunia kanak-kanak tidak perlu didedahkan dengan pengetahuan berkaitan kewangan kerana mereka masih kecil dan belum cukup dewasa untuk memahami nilai wang.

Bagi mereka, apa yang penting semasa proses tumbesaran minda anak ketika itu adalah menerokai sebaiknya segala perihal berkaitan pembelajaran asasi seperti mengajar mengenal huruf, mewarna dan mengeja.

Justeru, pelbagai bahan bacaan dan medium interaktif berkaitan dengannya yang dilihat bersesuaian membantu perkembangan positif anak mereka dicari dan dibeli untuk dijadikan rujukan.


Malahan, ibu bapa juga melengkapkan diri mereka dengan bermacam-macam kemahiran mendidik supaya dapat membentuk anak yang cintakan ilmu pengetahuan sekali gus cemerlang akademik.

Bagi mereka, yang penting adalah berjaya dalam pelajaran kerana itu lebih menjamin masa hadapan anak.

Adakah benar kanak-kanak tidak sesuai diajar mengenai "literasi kewangan"?

TANGGAPAN SALAH

Terdapat tanggapan bahawa "literasi kewangan" kepada anak sudah cukup sekadar membuka akaun simpanan sahaja.

Mereka percaya langkah itu berupaya menyemai dan mendidik anak mengenai pengurusan kewangan.

"Tanggapan anak tidak matang jadi tidak perlu didedahkan pengetahuan kewangan adalah salah sama sekali. Mereka perlu dididik sejak awal kerana akan membantu membuat keputusan tepat.

"Pendedahan kewangan tidak hanya membuka akaun simpanan, tetapi mendidik mereka sebaiknya termasuklah mendisiplinkan budaya menyimpan", kata Dr Mohamad Fazli Sabri.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata adalah sewajarnya ibu bapa mula memberi penekanan kepada perkara tersebut.

Pelbagai kajian dalam mahupun luar negara mengesahkan kepentingan pendidikan awal pengetahuan kewangan sebaiknya bermula di peringkat kanak-kanak.

Malahan, Amerika Syarikat dan United Kingdom telah lama menerapkan pengajaran subjek berkenaan di sekolah kerana mempercayai ia mempunyai impak positif menggalakkan tingkah laku kewangan sihat masa hadapan.

TIDAK TAHU URUS

"Ada sesetengah yang melepaskan tanggungjawab kerana merasakan pengurusan perbelajaan akan dipelajari apabila anak meningkat dewasa. Itu betul, tidak dinafikan.

"Tetapi, mereka juga perlu diajar sejak kecil mengenai penggunaan wang dengan sebaiknya, perbelanjaan dan simpanan yang mampu membentuk asas kemahiran kewangan apabila meningkat dewasa", jelas beliau.

Hal ini wajar diberi keutamaan khususnya apabila melihat budaya berhutang yang kian berleluasa sehingga merebak dalam kalangan murid sekolah.

Semakin membimbangkan, apabila terdapat trend peningkatan golongan muda diistyiharkan muflis.

Data Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) menunjukkan 23,397 individu yang diisytiharkan muflis sepanjang tahun 2007 sehingga September 2013 adalah dalam lingkungan umur 25 hingga 34 tahun.

Antara faktor utama dikenalpasti ialah kurang tahap pengetahuan pengurusan kewangan menjadi satu daripada punca menghadapi masalah kewangan dan terjebak hutang.

Contohnya, kebanyakan generasi muda mula berhutang apabila mereka di institusi pengajian tinggi mahupun pada awal pekerjaan. Disebabkan kurangnya pengetahuan kewangan, ada antaranya tersalah percaturan perbelanjaan.

Paling teruk, sehingga ada sanggup berhutang semata-mata ingin memenuhi tuntutan gaya masa kini berbanding keperluan.

IBU BAPA KELAM KABUT

Memetik kajian Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC), kira-kira 47 peratus pekerja muda berusia bawah 35 tahun dibebani hutang serius iaitu lebih 30 peratus daripada gaji bulanan mereka digunakan untuk membayar hutang.

Faktor dan hasil kajian ini adalah paparan jelas bahawa generasi muda negara terdedah kepada keadaan kewangan membimbangkan, yang menunjukkan pendidikan awal kewangan adalah amat relevan.

"Disebabkan itulah, saya tegaskan bahawa membuka akaun simpanan sahaja tidak mencukupi. Ini kerana, anak belajar melalui persekitaran termasuklah cara ibu bapa berbelanja.

"Masalahnya, segelintir ibu bapa pun tidak mengurus kewangan secara betul kerana beberapa kajian sebelum ini mendapati mereka kurang pemahaman mengenai prinsip asas kewangan sehingga mengamalkan perbelanjaan tidak berhemah", katanya.

Ada pula yang kelam-kabut dalam pengurusan kewangan yang akhirnya menjadi ikutan anak kerana ibu bapa adalah agen sosialisasi utama mereka mempelajari mengenai perbelanjaan.

Antaranya ibu bapa tidak menjelaskan kepada anak mengapa mereka menggunakan kad kredit, tidak menyediakan bajet kewangan keluarga dan mana hutang baik dan sebaliknya.

Mereka akhirnya membuat andaian sendiri dan menanam persepsi penggunaan kad kredit dan berhutang adalah normal sedangkan tanpa pengawalan boleh memudaratkan, katanya.

PERKARA MUDAH

"Bukanlah kita suruh ajar yang berat mengenai pengurusan kewangan. Ikut umur kanak-kanak ini. Contohnya pada peringkat umur empat hingga enam tahun sudah boleh memahami konsep apa itu wang, perbezaan keperluan dan kehendak.

"Mereka juga sudah boleh memahami matlamat jangka pandek dan jangka panjang (penyimpanan) serta konsep meminjam dan memulangkan sesuatu. Seseorang anak suka bertanya, jadi bagi peluang kepada mereka". katanya.

Banyak aspek kehidupan seharian yang boleh mendedahkan mereka kepada pengetahuan tersebut dan boleh diaplikasikan dalam sesebuah keluarga.

Antaranya, perbincangan mengenai percutian keluarga yang mana anak ini boleh dilibatkan sekali dalam perancangan bajet. Misalnya, ibu bapa boleh mengagihkan tugas seperti meninjau harga hotel berpatutan dan restoran.

Ini, sekali gus membawa mereka menerokai cara pengurusan perbelanjaan berhemah selain mengetahui status kewangan keluarga.

BUKU DAN KIT

Lanjutan daripada itu, akhirnya menarik minat Mohamad Fazli tampil dengan beberapa produk membantu meningkatkan pemahaman kewangan dan pola perbelanjaan sihat.

Selain menyasarkan kanak-kanak, ia juga bersifat serampang dua mata apabila turut membantu meningkatkan literasi kewangan ibu bapa dan guru.

Dikenali sebagai "Kit Bijak Wang: Anak Bijak Cerdit Duit", ia adalah cetusan inovasi antara beliau dengan kerjasama guru di Makmal Perkembangan Kanak-kanak UPM, Pusat Perkembangan Kanak-kanak, Remaja dan Keluarga (Face), Fakulti Ekologi Manusia, UPM, Nurhayatul Nira Ramli.

Berbentuk permainan interaktif ala "monopoly", ia dilengkapi dengan 16 bahan pengajaran interaktif yang disusun mengikut kesesuaian kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun.

Antaranya, Mari Kenal Wang, Matlamat Kewangan, Keperluan vs Kehendak, Simpanan, Belanja dan Bajet serta Konsep Asas Perbankan Islam.

"Seperti monopoli tetapi berbeza kerana ada memberi penekanan aspek sedekah dan pengurusan kewangan. Selain itu, ada aktiviti seperti 'puzzle' dan peluang menjadi Profesor Bijak Wang", katanya.

Kit pengajaran ini berjaya merangkul beberapa anugerah dan pengikitirafan antaranya, dua anugerah khas peringkat antarabangsa, empat pingat emas, dua perak dan satu gangsa di peringkat universiti, kebangsaan dan antarabangsa dalam beberapa pertandingan rekacipta dan inovasi.

Antaranya, International Invention, Innovation and Technology Exhibition (ITEX), Malaysian Technology Expo (MTE), The 2nd International Innovation, Design and Articulation, Universiti Teknologi MARA, Perlis dan Pameran Rekacipta dan Inovasi UPM, 2014.

Selain kit pengajaran ini yang akan dipasarkan menjelang akhir tahun ini, Mohamad Fazli dan Nurhayatul Nira turut menghasilkan buku kewangan yang mudah difahami dan menarik untuk kanak-kanak.

"Konsepnya adalah menghiburkan sambil belajar kerana kanak-kanak tidak suka benda serius. Dengan adanya penerapan awal, membantu menyejahterakan kewangan mereka pada masa hadapan", katanya.

Oleh Sakini Mohd Said
Sumber: BERNAMA, Sinar Harian

0 comments: