26 November 2014
Tujuh Petua Berucap Di Khalayak Ramai
SATU daripada perkara yang leceh dan paling dirungutkan ialah bila kena berdiri di hadapan orang ramai untuk membuat pembentangan atau berucap sebagai wakil majikan. Keberatan hati itu bukan disebabkan ‘itu kerja orang lain’ atau ‘gaji tak memadai’. Sebaliknya, ia lebih kepada soal ‘sangat segan’.
Dalam istilah saintifik, ia disebut glossophobia iaitu takut membuat ucapan di khalayak ramai. Ia berkaitan dengan sifat rendah diri melampau (inferiority complex) dan tiada keyakinan diri melakukan pengucapan awam. Tidak terkecuali ialah ketakutan melakukan kesilapan semasa bercakap atau menjawab soalan di majlis terbuka.
Lebih-lebih lagi jika audiens adalah dikalangan para sarjana, cendikiawan atau pemimpin masyarakat yang disegani. Berbicara di hadapan sarjana-sarjana misalnya kena elak guna bahasa pasar, takut kurang sekolah bunyinya nanti.
Wartawan misalnya mempunyai teknik komunikasi lebih kepada antara orang perseorangan (interpersonal). Untuk bercakap di hadapan khalayak ramai, seseorang yang kurang berpengalaman tentangnya memang kena baca balik teori pengucapan awam yang mungkin mereka pernah pelajari. Untuk mengasah bakat bercakap di hadapan khalayak, seseorang mungkin perlu selalu berlatih di hadapan cermin.
Sebagai contoh, Perhimpunan Agung UMNO merupakan satu acara besar yang akan menyaksikan sebilangan besar individu tampil di hadapan khalayak bagi menyampaikan pidato .
Acara ini bukan sekadar menjadi medan penzahiran politik yang utama di negara ini tetapi tidak kurang pentingnya platform untuk menonjolkan keterampilan bakat kepemimpinan individu terutama daripada segi buah fikiran dan teknik pidato yang terbaik.
Sebagai panduan kepada bakal-bakal pemidato terutama yang akan pertama kali naik ke pentas, berikut adalah tujuh petua pengucapan awam yang boleh diguna pakai atau dijauhi kelak:
1 Berlatih, berlatih dan berlatih – Dalam apa kerja pun, kita kena lakukannya berulang kali untuk benar-benar mahir. Pengucapan awam adalah satu seni yang boleh dipertingkatkan melalui latihan yang kerap bermula di hadapan cermin, depan isteri atau suami, rakan sepejabat dan ahli-ahli PIBG.
2 Jangan kemaruk jadi pelawak – Benar, sesuatu pidato jadi lebih ceria dan dapat menangkap perhatian jika diselitkan bahan jenaka. Tetapi berpada-pada. Jika subjek disentuh hal sangat serius seperti agama dan bangsa, elakkan berjenaka.
3 Pastikan fakta tepat – Dapatkan kandungan hujah anda daripada sumber sahih, bukan Facebook atau Wikipedia atau akhbar parti lawan. Anda tidak mahu audiens membetulkan anda di tengah-tengah anda berucap.
4 Susun ayat – guna frasa mudah dan analogi yang bersesuaian bagi memudahkan audiens memahami apa anda hendak sampaikan. Frasa anda yang tepat dan kuat, memungkinkan orang memetik kata-kata anda kelak.
5 Jangan berleter – ini label kepada corak pidato marah-marah tanpa menawarkan jalan penyelesaian. Hadirin sudah biasa dengar dan baca leteran di media sosial. Dalam perhimpunan ini, mahu dengar rumusan penyelesaian, bukan merrepak.
6 Belajar kawal nada suara – Ini sama seperti penyanyi. Permulaan mungkin lembut, memuncak pada korus. Turun naik nada suara akan mampu memaut perhatian, berbanding dengan nada lemah lembik macam orang membaca surat tuntutan LHDN.
7 Kurangkan guna istilah tinggi – Jadilah diri anda sendiri. Elakkan guna ayat seperti ‘kelestarian wahana berteraskan anjakan paradigma menerusi kemampanan ekonomi sebagai ekuiti pasca prakarsa’. Ia tidak menjadikan anda terbilang, tapi perhatian orang pasti menghilang.
Oleh: JOHARDY IBRAHIM
Sumber: Utusan
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan