Nuff Atas

16 Jun 2015

Diet Bersesuaian Cegah Batu Karang


AMALAN meminum banyak air masak dapat mencegah penyakit batu karang pada peringkat awal.

RASA sakit dan sengal-sengal dari bahagian bawah abdomen ke bahagian belakang pinggang mungkin petanda anda mengalami penyakit batu karang.

Batu karang terbentuk daripada kombinasi sebatian garam mineral yang terdapat dalam air kencing. Jika kepekatan garam itu terlalu tinggi atau berlebihan, ia boleh bertukar menjadi kristal kecil. Bagaimanapun lama-kelamaan kristal tersebut boleh menjadi semakin keras dan membentuk ketulan yang dipanggil ‘batu.’


Pakar Perunding Urologi Pusat Perubatan Tropicana, Dr. Muhilan Parameswaran berkata, golongan lelaki berusia antara 20 hingga 45 tahun lebih berisiko untuk menghidap penyakit batu karang berbanding wanita.

Katanya, faktor itu mungkin dipengaruhi diet tinggi protein yang diamalkan sebahagian besar kaum Adam itu.

“Pemakanan yang tinggi kandungan protein dipercayai boleh meningkatkan risiko mendapat batu karang. Pada masa sama, diet kurang serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin turut menyumbang kepada masalah ini,” katanya.

Menurut Muhilan, terdapat empat jenis batu karang iaitu batu kalsium, batu asid urik, batu struvite dan batu cystine.

Katanya, penyakit batu karang yang biasa dihidapi rakyat di negara ini ialah batu karang asid urik dan batu karang kalsium yang berpunca daripada pembentukan garam seperti oksalat dan fosfat.


KALSIUM organik seperti susu dan keju tidak menyumbang kepada pembentukan batu karang.

Mengulas lanjut, Muhilan berkata, batu karang boleh ditemui di bahagian atas saluran kencing meliputi buah pinggang dan ureter, selain boleh terbentuk di pundi kencing.

“Pesakit batu karang akan mengadu sakit di tempat di mana batu itu berada. Rasa sakit yang teramat sangat ini akan berlanjutan untuk beberapa jam tetapi jelas ia bukan akibat pergerakan atau masalah otot.

Kencing berdarah

“Pesakit juga mungkin mengalami tanda-tanda lain seperti demam, kencing berdarah, jangkitan kuman pada salur kencing dan lebih teruk kegagalan buah pinggang,” jelasnya.

Secara umum, pembentukan batu karang boleh dicegah menerusi pengambilan air masak dalam kuantiti yang banyak.

“Bagi individu dengan purata berat 50 hingga 70 kilogram, mereka perlu mengeluarkan kencing antara 2 hingga 2.5 liter sehari. Ini bermaksud, urin mestilah jernih seperti air dan tidak berbau,” jelasnya sambil memberitahu, penyakit itu juga boleh dielakkan dengan tidak mengambil minuman beralkohol dan bergas kerana kedua-duanya mengandungi asid fosforik yang mempengaruhi pembentukan batu karang.


BATU karang terbentuk daripada garam mineral yang terdapat dalam air kencing.

Muhilan menjelaskan, perubahan dalam pemakanan dengan diet rendah protein diperlukan untuk mencegah pembentukan batu karang.

Katanya, pesakit batu karang jenis oksalat dinasihatkan untuk menghindari makanan seperti tomato, kentang, keledek, bendi, bayam, daging kambing, coklat, kekacang, tempe dan tauhu.

Minum jus lemon

“Makanan tersebut kaya dengan oksalat dan pengambilannya hanya akan memudaratkan keadaan. Pesakit sebaliknya digalakkan meminum campuran air masak dengan perahan jus lemon kerana ia bermanfaat untuk menghalang pembentukan batu karang.

“Bagi pesakit dengan batu karang jenis fosfat, mereka digalakkan meminum banyak jus kranberi. Ini kerana, urin pesakit mempunyai pH yang tinggi (beralkali), jadi minuman berkenaan dapat meneutralkan air kencing dengan meningkatkan tahap keasidan urin,” jelasnya.

Bagi pesakit batu karang jenis asid urik, Muhilan berkata, mereka tidak boleh mengambil makanan yang tinggi protein purine seperti telur, daging merah, makanan laut dan organ dalaman termasuk lidah, hati, limpa dan sebagainya.

“Berlainan dengan pesakit batu karang kalsium fosfat, pesakit batu karang asid urik tidak boleh mengambil jus kranberi, sebaliknya hanya boleh minum air masak dan air campuran lemon,” katanya sambil menambah, jus limau gedang juga tidak baik untuk semua jenis batu karang.

Tambahnya, makanan yang mengandungi kalsium organik seperti susu dan keju tidak menyumbang kepada pembentukan batu karang.

“Ia sebenarnya bagus kepada pesakit batu karang kerana kalsium dalam saluran pencernaan mengikat oksalat daripada makanan dan menyimpannya daripada memasuki darah, dan kemudian saluran kencing di mana batu terbentuk.

“Suplemen kalsium dalam apa jua bentuk bagaimanapun bertindak sebaliknya. Kalsium jenis ini boleh meningkatkan risiko mendapat batu karang,” tegas Muhilan.

Oleh NOR IDAYU BOSRO
Sumber: Kosmo

0 comments: