Nuff Atas

12 Jun 2015

Sembilan Kunci Tadabur Al-Quran



PERNAH melihat orang menangis atau tertawa ketika membaca buku cerita?
Kuatnya hubungan perasaan antara pembaca dan apa yang dibaca menimbulkan kesan emosi mendalam, sehingga akal fikiran terpengaruh, malah ada sampai mempengaruhi perlakuan dan karakter diri.

Jika kita membaca al-Quran, adakah reaksi kita sama seperti itu?
Tujuan kita bertadabur al-Quran, untuk menghubung eratkan diri dengan kalam ALLAH, sehingga kesannya jelas nampak melalui perlakuan yang baik.


Ibn Qayyim mengatakan: "Tadabbur adalah mengasah ketajaman hati akan makna dan konsentrasi fikiran untuk merenung dan memikirkan al-Quran."

Bagi membina jalinan erat itu, berikut disenaraikan sembilan kunci tadabur iaitu:

Pertama: Mempersiapkan hati.
Hati adalah alat untuk memahami al-Quran. Wajar hamba memohon kepada Tuhan untuk dibukakan hati memahami al-Quran.

Kedua: Menetapkan tujuan.
Selalu mengingatkan diri tujuan tadabur al-Quran adalah untuk memahami pesanan peribadi disampaikan Tuhan kepada diri sendiri. Dengan niat yang ikhlas, insya-ALLAH dibukakan pintu hati mengambil hikmah di sebalik ayat-Nya.

Ketiga: Mendirikan solat.
Membaca  al-Quran dalam solat adalah metod terbaik berasai getaran mesej al-Quran.

Keempat: Mengoptimumkan waktu malam.
Persekitaran waktu malam yang aman, tenang dan damai bersesuaian dengan keadaan fikiran yang istirahat, jernih dan bersih.

Kelima: Menghafal.
Membaca al-Quran tanpa melihat mashaf dapat menguatkan konsentrasi. Walau hanya satu ayat, bacaan secara spontan lebih menusuk kalbu. Hafalan walau sedikit yang disertai renungan yang dalam akan sentiasa bermanfaat pada pembacanya sebagai teman waktu sedih atau gembira.

Keenam: Mengulang-ulang bacaan.
Bacalah ayat secara berulang-ulang agar lebih tertanam dalam hati. Puji-pujian, nikmat, azab dan kebesaran Pencipta yang disebut berulang kali meninggalkan kesan besar pada pembentukan karakter diri. Ayat kedua Surah Al-Fatihah yang bermaksud (Segala puji bagi ALLAH Tuhan sekalian alam) ini sahaja kalau dibaca berulang-ulang akan membawa diri 'terbang' mencari pelajaran di alam yang luas terbentang.

Ketujuh: Mengaitkan dengan diri.
Ambil setiap ayat al-Quran sebagai pesanan untuk diri sendiri. Ayat berkenaan musyrikin atau Bani Israel bukan sekadar menceritakan kesalahan golongan tersebut, tetapi ia sebagai peringatan kepada diri sendiri agar tidak mencontohi perangai dan perlakuan mereka.

Kelapan: Baca dengan sederhana.
Baca al-Quran secara tartil, yakni sederhana kelajuan bacaannya serta tidak terburu-buru. Bukan kuantiti bacaan yang banyak perlu dikejar, tetapi pemahaman berkualiti melalui renungan ayat demi ayat.

Kesembilan: Bertanya pada ahli  al-Quran.
Mempunyai pembimbing yang dapat memberi panduan bagaimana berinteraksi memahami makna di sebalik al-Quran. Tugasan pembimbing adalah melonjakkan lagi potensi kefahaman kepada tahap tinggi.

Tadabur menjadikan hati tetap sedar dan jauh daripada kelalaian kerana setiap ayat apabila direnung berfungsi sebagai penyedar. Ketika hati beribadah mengikut kehendak Tuhan, keperibadian dan perilaku turut tunduk mengikut acuan perintah dan larangan-Nya.

Hati yang hidup dengan al-Quran digambarkan oleh Ibn Qayyim: "Tidak ada yang lebih bermanfaat bagi hati daripada membaca al-Quran dengan tadabur dan tafakur (memikirkan). Inilah yang menghasilkan cinta, kerinduan, takut, harap, taubat, tawakal, reda, syukur, sabar, dan semua hal yang berkaitan kehidupan hati dan kesempurnaannya."

Mari kita renungkan sejenak berapa banyak waktu yang kita sediakan untuk al-Quran?
Sejauh mana kita dapat memetik hikmah daripada al-Quran?
Berapa tinggi keperibadian kita yang terbentuk melalui al-Quran?

Oleh: ARIFF JAUHAR
Sumber: Sinar Harian

0 comments: