Nuff Atas

15 Julai 2015

Ekonomi Greece Runtuh Lagi


Greece, tempat bermulanya demokrasi dan Sukan Olimpik dunia.

KRISIS hutang Greece bermula pada penghujung 2009 dan negara itu merupakan negara pertama dalam kalangan zon euro (eurozone) yang ditimpa krisis hutang. Kesan kemelesetan ekonomi, pengurusan kewangan yang lemah, boros berbelanja untuk menjadi negara berkebajikan dan rasuah merupakan antara punca kejatuhan ekonomi Greece.

Pada 2012, kerajaan Greece mempunyai hutang tertunggak paling besar dalam sejarah. Greece menjadi negara maju pertama gagal membuat bayaran balik hutang Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak €1.6 bilion pada 30 Jun 2015.

Situasi itu mencetuskan panik dalam kalangan rakyat Greece sehingga mereka bertindak mengeluarkan semua wang dalam simpanan di bank kerana bimbang bank akan ditutup. Bagi menyekat semua bank kehabisan wang, rakyat Greece hanya dibenarkan mengeluarkan simpanan sebanyak €60 (RM250) sehari.


Dengan hutang sebanyak €323 bilion (RM1.35 trilion), Greece sudah bankrap kerana negara itu tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membayar hutang tersebut.

Pilihan yang ada pada Greece kini adalah terus meminjam dengan pemiutang antarabangsa dan melakukan segala langkah penjimatan yang diminta atau memilih untuk memulakan episod baharu dengan keluar dari zon euro dan menggunakan mata wangnya sendiri.

Euro punca krisis?

GREECE menggantikan mata wang Drachma dengan Euro pada 1 Januari 2001 selepas menyertai Kesatuan Eropah (EU). Penggunaan mata wang itu telah meningkatkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara itu.

Kerajaan Greece berjaya menyertai zon euro iaitu nama rasmi bagi blok Eropah yang menggunakan mata wang Euro, selepas mendakwa defisit negara itu berada di bawah satu peratus, di bawah paras tiga peratus yang ditetapkan oleh EU dalam kriteria penyatuan Maastricht.

Sejak mata wang Euro diperkenalkan pada 1 Januari 1999, sebanyak 19 negara EU menggunakan mata wang tersebut iaitu Austria, Cyprus, Estonia, Perancis, Belgium, Finland, Jerman, Greece, Ireland, Itali, Latvia, Lithuania, Luxembourg, Malta, Belanda, Portugal, Slovakia, Slovenia dan Sepanyol.

Namun, pada 2004, Suruhanjaya Eropah (EC) mengeluarkan amaran rasmi ke atas Greece selepas mendapat tahu berlaku kerajaan Greece memalsukan data status kewangan negara itu bagi menyertai zon euro.

Ramai pihak melihat penggunaan mata wang Euro antara punca utama yang menyumbang kepada masalah ekonomi yang memberikan kesan kepada penduduk di Greece, Sepanyol dan negara-negara Eropah lain.

Ini kerana selagi EU kekal sebagai kesatuan yang longgar dan negara-negara yang bebas, mata wang Euro akan menjadi ancaman kepada ekonomi negara-negara dalam kesatuan tersebut.

Bank Pusat Eropah (ECB) yang bertanggungjawab membantu ekonomi negara-negara dalam zon euro dilihat lebih memberikan tumpuan kepada keperluan ekonomi Jerman. Ini kerana ibu pejabat ECB terletak di Jerman dan bank itu mempunyai hubungan erat dengan kerajaan Jerman.

Namun, sekiranya ECB mencetak banyak wang untuk mengeluarkan Greece dan Sepanyol daripada krisis hutang, ia akan menyebabkan kadar inflasi yang tinggi di negara yang mempunyai ekonomi sihat seperti Jerman yang kini kadar penganggurannya di bawah lima peratus, yang terendah sejak penyatuan Jerman Barat dan Jerman Timur pada 1990.

Jadi, apa sahaja polisi yang dibuat oleh ECB untuk membantu Greece dan Sepanyol akan memberikan kesan kepada negara-negara lain dalam zon euro.

Ramai penganalisis ekonomi melihat negara-negara anggota zon euro perlu mempunyai polisi yang sama supaya ada aliran kewangan yang saling melengkapi dan tidak berlaku keadaan di mana wujud perbezaan ekonomi yang terlampau besar dalam kalangan negara-negara anggota seperti yang berlaku sekarang.

Namun, untuk melihat EU menjadi satu kesatuan yang mempunyai keseragaman polisi, ia mungkin sukar berlaku dan akan mengambil masa yang amat panjang.


Perbelanjaan yang tinggi bagi menganjurkan Sukan Olimpik Athens 2004 menambah tekanan hutang kerajaan Greece.

Sukan Olimpik Tekan Kewangan

KEDUDUKAN kewangan Greece adalah tidak menentu pada 2004. Namun, negara itu tetap meneruskan penganjuran Sukan Olimpik Athens 2004.

Greece membelanjakan hampir €9 billion (RM37.7 bilion) bagi penganjurkan sukan tersebut termasuk bagi pembinaan infrastruktur. Jumlah tersebut menjadikan Sukan Olimpik Athens 2004 sebagai Sukan Olimpik termahal pernah dianjurkan pada masa itu.

Perbelanjaan yang tinggi bagi menganjurkan Sukan Olimpik Athens 2004 menambah tekanan hutang kerajaan Greece. Negara itu membelanjakan hampir €9 billion (RM37.7 bilion) bagi penganjurkan sukan tersebut. Jumlah tersebut menjadikan Sukan Olimpik Athens 2004 sebagai Sukan Olimpik termahal pernah dianjurkan pada masa itu.

Pada 2004, hutang negara itu mencecah €168 billion (RM704 bilion). Walaupun penganjuran Sukan Olimpik Athens 2004 bukan punca utama keruntuhan ekonomi Greece, tetapi ia turut menyumbang kepada krisis yang berlaku sekarang.

Ini kerana ia bukan sahaja melibatkan perbelanjaan yang besar, malah penggunaan wang awam yang tidak diperiksa dan ditampung oleh pinjaman yang tidak mapan.

Selain itu, kerajaan Greece mungkin bersalah kerana gagal memanfaatkan legasi Sukan Olimpik Athens 2004 bagi memajukan ekonomi negara itu. Ini kerana, kerajaan Greece telah melabur begitu banyak dalam pembangunan infrastruktur, kemahiran rakyat dan penjenamaan dalam penganjuran temasya pertama pertama kali dianjurkan di Olympia, Greece pada tahun 776 Sebelum Masihi.

Antara punca krisis ekonomi

1. Rasuah

Menurut EC, Greece merupakan negara paling tinggi tahap rasuah dalam kalangan EU. Agensi penguatkuasaan negara itu seperti kastam, polis dan polis marin dikatakan banyak terlibat dalam rasuah bagi penyeludupan komoditi haram yang lari daripada cukai.

2. Pembayaran kos pencen.

Greece berbelanja besar untuk membayar kos pencen kerana mempunyai populasi orang tua yang ramai iaitu 32.9 peratus. Pada masa ini, terdapat tiga orang pencen bagi setiap empat orang bekerja di Greece.

Pada 2050, dijangkakan lebih satu pertiga populasi Greece terdiri daripada mereka yang berusia di atas 65 tahun. Ini menyebabkan peningkatan perbelanjaan kerajaan untuk membayar wang pencen golongan ini dan masalah kekurangan tenaga kerja muda.

Lebih daripada 50 peratus atau €14 bilion (RM58.8 bilion) pada 2014 daripada kos membayar wang pencen diperolehi daripada bajet negara. Jumlah ini sahaja sudah melebihi tujuh peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara itu.

3. Pengangguran.

Greece mempunyai kadar pengangguran yang tertinggi dalam kalangan EU iaitu sekitar 25 peratus. Selain itu, lebih 50 peratus golongan muda di negara itu tidak bekerja dan masih tinggal bersama ibu bapa.

Golongan muda di Greece ramai menganggur kerana sukar mendapat pekerjaan di negara itu. Walaupun mereka boleh bekerja di Jerman yang ekonominya sedang berkembang pesat, namun disebabkan masalah bahasa, hanya sebahagian kecil sahaja yang berbuat demikian.

4. Tipu cukai

Ramai golongan kelas pertengahan di Greece tidak membayar cukai. Mereka sengaja mengelak membayar cukai dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang nyata cukai pendapatan. Mengikut laporan, pada 2009 sahaja, golongan yang bekerja sendiri ini mengelak cukai berjumlah €28 bilion (RM117.6 bilion).

5. Cukai rokok

Tindakan kerajaan Greece menaikkan cukai rokok menimbulkan masalah kepada rakyat Greece. Ini kerana dari segi perkapita, rakyat Greece merupakan golongan ketiga tertinggi menghisap rokok di dunia.

Kenaikan cukai rokok ini menyumbang kepada masalah penyeludupan rokok. Ini sekali gus menyebabkan negara itu kehilangan pendapatan daripada cukai rokok. Antara 2008 dan 2013, pengambilan rokok seludup meningkat sebanyak 400 peratus.

Kesan terhadap EU

SEJAK krisis hutang Greece bermula pada penghujung 2009, kebanyakan bank antarabangsa dan pelabur asing telah menjual bon dan kepentingan lain mereka di Greece. Oleh itu, apa sahaja krisis ekonomi yang berlaku di Greece tidak akan memberikan kesan kepada mereka.

Terdapat beberapa pelabur asing yang kembali melabur di Greece dengan harapan krisis ekonomi itu akan pulih, namun mereka akhirnya menyesal kerana negara itu menuju bankrap.

Ada pihak menganggap beberapa negara yang dilanda krisis hutang seperti Sepanyol, Perancis, Portugal dan Itali kurang terdedah kepada bahaya akibat krisis ekonomi di Greece kerana negara-negara berkenaan telah melakukan reformasi ekonomi.

Namun, sekiranya Greece gagal membayar balik pinjaman dan terkeluar daripada EU, ia akan membahayakan negara-negara EU lain terutamanya negara-negara yang dilanda krisis hutang. Ini kerana, keadaan itu akan mencetuskan gelombang panik para pelabur terhadap iklim ekonomi Eropah dan bertindak mengeluarkan pelaburan mereka daripada negara-negara berkenaan.

Sekiranya mata wang Euro runtuh, ini akan memberikan kesan terhadap EU yang merupakan merupakan satu-satunya kesatuan untuk mengimbangi kuasa ekonomi dan politik Amerika Syarikat (AS) selain China dan Rusia pada era perang dingin. EU yang mempunyai populasi lebih 500 juta orang mencatatkan KDNK AS$16.2 trillion (RM50.2 trilion) pada 2010 iaitu 20 peratus daripada KDNK dunia.

Bagi membantu Greece membayar pinjamannya dan melindungi zon euro daripada krisis ekonomi Greece, IMF, ECB dan EU bersatu membentuk program Troika yang memerlukan Greece melakukan penstrukturan semula terhadap kewangannya.

Greece ditimpa tragedi

GREECE berhadapan masa hadapan tidak menentu selepas lebih 60 peratus rakyat negara itu mengundi untuk menolak pelan penjimatan yang dicadangkan oleh pemiutang antarabangsa bagi mendapatkan jaminan terhadap ekonominya yang sudah bankrap dalam referendum pada Ahad lalu.

Rakyat Greece mahukan pelan penjimatan yang tidak membebankan mereka kerana pelan penjimatan yang dicadangkan oleh pemiutang antarabangsa itu pernah dilaksanakan pada 2010 dan 2012 tetapi gagal memulihkan ekonomi Greece, sebaliknya memburukkan lagi keadaan.

Ekoran itu, Perdana Menteri Greece, Alexis Tsipras perlu merundingkan pelan penjimatan yang lebih baik untuk negara itu dengan pemiutang antarabangsa.

Pemiutang antarabangsa termasuk IMF dan EU meminta Greece melaksanakan pasaran buruh yang fleksibel termasuk meningkatkan had umur minimum untuk bersara, menaikkan cukai import dan kepenggunaan, memotong elaun sektor awam, mengenakan cukai luar biasa ke atas keuntungan syarikat dan pelbagai langkah penjimatan lain.

Langkah-langkah penjimatan yang diminta oleh troika itu telah dilaksanakan pada 2010 dan 2012 tetapi gagal memulihkan ekonomi Greece, sebaliknya semakin memusnahkannya.

Tsipras menyifatkan keputusan rakyat negara itu menolak permintaan pemiutang sebagai satu kemenangan kepada demokrasi. “Kami membuktikan walaupun dalam keadaan paling sukar, demokrasi tidak akan diperas ugut,” kata Tsipras.

Seorang penduduk Athens, Yiannis Gkovesis, 26, yang mengundi menolak permintaan pemiutang, berkata, rakyat Greece sudah cukup tertekan dengan langkah penjimatan yang dibuat sebelum ini.

“Kami tidak mahu langkah penjimatan lagi. Ini telah dibuat sejak lima tahun lalu dan menyebabkan ramai jatuh miskin, kita tidak boleh ambil langkah penjimatan lagi,” katanya.

Namun, ketua menteri kewangan zon euro, Jeroen Dijsselbloem berkata, keputusan referendum itu sangat dikesali bagi masa hadapan Greece.

“Bagi pemulihan ekonomi Greece, langkah sukar dan reformasi tidak dapat dielakkan. Kami sekarang menunggu inisiatif dari kerajaan Greece,” ujarnya.

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
Sumber: Utusan

0 comments: