Nuff Atas

13 Julai 2015

Lailatul Qadar ~ Jom memburu "Bonus Akhirat"



Nilai manusia, sama ada baik atau buruk diukur dengan dua perkara sahaja. Pertama, ketakwaan kepada Allah SWT. Kedua, akhlak yang baik dengan manusia.

Kalau kita hebat macam mana sekali pun, tetapi tidak bertakwa, di akhirat nanti ketika di sisi Allah SWT, kita tidak ada nilai sama sekali. Sebab kekayaan, harta, kedudukan atau pangkat yang kita miliki di dunia, yang menjadikan nilai hidup kita tinggi di mata manusia, semuanya akan ditinggalkan apabila kita mati. Jasad kita dibawa masuk ke liang lahad hanya dengan sehelai kain kafan, hanya dosa dan pahala yang kita bawa bersama untuk menghadap Allah.

Oleh sebab itulah kita perlu merancang kehidupan kita untuk dua kehidupan, iaitu merancang corak kehidupan dan merancang corak kematian. Sebagaimana kita merancang matlamat kehidupan kita di dunia, begitu jugalah kita merancang matlamat kehidupan di akhirat.


Antara kepentingan dunia dan akhirat perlu seimbang, bahkan sepatutnya dilebihkan persediaan hidup di akhirat, kerana itulah kehidupan kekal kita, sedangkan dunia ini hanya kehidupan sementara.

Kita kini berada dalam minggu terakhir Ramadan, (bulan memohon keampunan dan bulan beribadah), yang perlu kita rancang dengan sebaik-baiknya supaya kita tidak terlepas mendapatkan "bonus akhirat" (pahala) yang Allah sediakan melalui malam lailatulqadar.

Analoginya, semua orang yang bekerja mengharapkan mendapat bonus dan ternanti-nanti berapakah jumlah bonus yang diberikan oleh majikan pada hujung tahun, sebagai balasan baik atas usaha kerja keras kita.

Demikian juga, kita akan sanggup bertungkus-lumus dan gigih bekerja untuk mendapatkan kenaikan pangkat supaya pada akhir perkhidmatan, kita mendapat tangga gaji yang tinggi. Hal ini sanggup kita lakukan dengan harapan, apabila kita bersara kita akan mendapat duit persaraan yang besar, sebagai jaminan hidup selesa selepas persaraan.

Sebagaimana kita sanggup bersusah payah berusaha untuk mendapatkan "bonus dunia", begitu jugalah sepatutnya usaha kita untuk mendapatkan "bonus akhirat", yang ditawarkan oleh Allah SWT dalam bulan Ramadan ini, melalui 10 malam terakhir Ramadan, yang menjadi kemuncak buruan orang yang beriman dan bertakwa.

Berusaha

Kajian saintifik mendapati, orang yang menulis "matlamat utama" hidupnya akan lebih berjaya mencapai cita-citanya, berbanding dengan orang yang tidak tahu apakah "matlamat utama" hidupnya.

Umpama kita bermain bola tidak ada tiang gol, maka kita menendang sesuka hati tanpa hala tuju dan sasaran untuk matlamat mencapai kemenangan. Kita sepatutnya membuat rancangan amalan kita untuk menjadi orang yang dicintai Allah sebagai matlamat utama hidup, kerana perlu berusaha untuk mendapatkan kasih Allah SWT.

Tanda Allah sayang dan menganugerahkan hidayah kepada seseorang itu adalah pertama, apabila kita suka berbuat baik. Kedua, apabila Allah kurniakan kefahaman dalam agama. Ertinya audit diri kita, kalau sukar memahami pelajaran agama, kenalah banyakkan bertaubat. Mungkin Allah tidak sayang dan reda dengan kita, kerana itu digelapkan-Nya hati kita hingga tidak tembus cahaya iman.

Ketiga, apabila akhlak kita semakin baik. Iaitu, jika semasa muda "kesedaran keegoan" kita tinggi, (panas baran, pemarah, berlagak, suka menunjuk-nunjuk, dendam dan sifat-sifat negatif yang lain). Tetapi sebaliknya, apabila usia semakin meningkat sifat kita bertukar kepada "kesedaran ketuhanan" yang tinggi, (sabar, tenang, berlembut hati, pemaaf dan sifat-sifat positif yang lain).

Jom audit diri, adakah kita semakin berubah menjadi bertambah baik atau sebaliknya.

Jadikan Ramadan ini sebagai satu transformasi untuk membangunkan keperibadian kita. Selama sebulan kita telah "disekolahkan" melalui "madrasah Ramadan", alangkah sayangnya jika segala disiplin kehidupan yang telah kita lalui dalam bulan mulia ini, tidak kita teruskan untuk bulan-bulan seterusnya.

Empat perkara penting yang dididik melalui ibadah berpuasa, yang perlu menjadi disiplin kehidupan harian kita untuk bulan seterusnya selepas Ramadan ini. Pertama, puasa mendidik kita menjaga kesihatan fizikal, dengan cara mengawal pemakanan kita. Apabila kita tidak makan pada siang hari, limpa dan organ-organ lain dalam tubuh kita akan mengeluarkan bahan glukosa yang lama disimpan dalam tubuh kita.

Selain boleh mengawal berat badan, berpuasa dapat mengawal gula dalam darah bagi pesakit diabetes, bahkan baik juga untuk pesakit jantung koronari yang boleh disebabkan oleh hiperlipidemia (tinggi kolesterol).

Kedua, puasa bagus untuk kecerdasan minda. Bagi menjaga kesempurnaan ibadah puasa, kita mengelakkan minda daripada berfikir yang negatif dengan membaca berita negatif dan sensasi, yang menjadi racun kepada minda, tetapi sebaliknya kita penuhkan minda kita dengan banyak membaca al-Quran.

Ketiga, puasa mendidik kita meningkatkan hubungan silaturahim dengan banyakkan bersedekah, lebihkan memberi daripada menerima, serta sentiasa berikhlas hati dan bersangka baik dengan orang sekeliling kita.

Keempat, puasa mendidik kita dari segi pengurusan kewangan. Antara contohnya, dengan iman kita dapat mengawal nafsu daripada membazir di bazar Ramadan dengan membeli secara berpatutan berdasarkan keperluan kita dan ahli keluarga.

Empat disiplin kehidupan yang diperoleh melalui "madrasah Ramadan" ini, memberikan kita didikan bersepadu yang bermanfaat positif dari segi fizikal dan jiwa kerohanian.

Sempena bulan keampunan ini marilah kita bersujud kepada Allah, mohon keampunan kepada-Nya; sucikan hati kita dengan istighfar dan harumkan jiwa kita dengan tasbih. Jom kita renung jawapan seorang ulama, Ibnu al-Jauzi apabila ditanya manakah yang lebih penting antara istighfar dengan tasbih.

Menurut beliau, pakaian yang kotor itu lebih memerlukan sabun daripada minyak wangi. Istighfar itu ibarat sabun, manakala tasbih umpama minyak wangi. Maknanya daripada analogi ini, hati kita yang kotor ini lebih memerlukan sabun daripada minyak wangi.

Orang yang memburu "bonus akhirat", maknanya kita telah meletakkan "matlamat utama" dalam mendapatkan sebanyak mungkin pahala melalui ibadah berpuasa dan ibadah-ibadah lain, sejak hari pertama Ramadan lagi.

Oleh: DR. MUHAYA MUHAMAD
Sumber: Utusan

0 comments: