12 September 2015

Wajah-Wajah Ceria Sambut Kehadiran Siaran TV Digital


Dekoder DTT

Projek pendigitalan sektor penyiaran nasional yang kini sedang dalam fasa ujian di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung dan Sabah seakan-akan membawa satu sinar baharu bagi sesetengah penduduk di daerah-daerah terbabit.

Apa tidaknya, mereka yang selama ini hanya dapat menonton beberapa saluran terestrial kini boleh menarik nafas lega kerana dalam sekelip mata mereka dapat menonton kesemua siaran televisyen percuma sedia ada dengan visual dan audio yang amat jelas dalam kualiti digital tanpa perlu membayar sebarang yuran langganan.

Sebelum ini, pilihan yang ada buat mereka hanyalah perkhidmatan televisyen berbayar dan bagi yang tidak berkemampuan, mereka terpaksa berpuas hati dengan siaran televisyen analog sedia ada biarpun siarannya kurang jelas malah ada juga sesetengah saluran yang siarannya langsung tidak dapat diterima di kawasan mereka.


Walaupun masih di tahap siaran ujian, penduduk terbabit memberikan maklumbalas yang amat positif mengenai pengalaman menonton televisyen menerusi teknologi Televisyen Terestrial Digital (DTT) ini yang membolehkan mereka mernerima semua siaran saluran televisyen percuma dengan kualiti terbaik berbanding hanya beberapa saluran tertentu sahaja sebelum ini.

UPIN & IPIN

Menonton TV berkualiti digital apatah lagi dengan definisi tinggi (HD) mungkin bukan merupakan sesuatu yang mengujakan lagi bagi anak-anak bandar.

Bagaimanapun, lain halnya dengan penduduk luar bandar yang selama ini hanya dapat menikmati siaran TV analog dan acapkali hanya beberapa saluran tertentu sahaja.

Kegembiraan jelas terbayang di wajah mereka terutamanya kanak-kanak yang kini berpeluang menonton lebih banyak pilihan rancangan seperti kartun dan program-program pendidikan.

Suri rumah Syahani Azidin yang menjadi salah seorang peserta siaran ujian DTT di Kampung Kuala Pahang, Pekan tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya semasa set dekoder siaran ujian dipasang di rumahnya.

"Anak-anak pasti suka bila balik sekolah petang nanti kerana dapat menonton kartun Upin dan Ipin kegemaran mereka. Sebelum ini mereka terpaksa ke rumah jiran yang melanggan siaran televisyen berbayar," kata Syahani.

Projek DTT merupakan satu agenda nasional di bawah naungan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan dipantau oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Matlamat Kerajaan menerusi DTT ialah untuk mengalih penggunaan isyarat analog dari sistem penyiaran untuk kegunaan lain dan ini sekaligus menjadikan sistem penyiaran negara digital sepenuhnya.

Spektrum analog yang amat berharga ini nanti akan diperuntukkan untuk pelbagai tujuan komunikasi lain seperti pertahanan, telekomunikasi radio dan sebagainya.

30 SALURAN PERCUMA

Transmiter ujian telah dipasang oleh MYTV Broadcasting (MYTV) selaku syarikat yang bertanggungjawab membangun dan menguruskan infrastruktur dan kemudahan rangkaian bagi perkhidmatan DTT di Malaysia mulai April 2015 lalu.

Setakat ini transmiter ujian DTT telah dipasang di stesen-stesen pemancar Bukit Pelindung di Pahang, Bukit Besar di Terengganu, Bukit Bakar di Kelantan dan terbaru di Bukit Karatong, Sabah.

Siaran ujian seterusnya akan memasuki negeri Sarawak sebelum ke Utara dan Selatan Semenanjung dan berakhir di Lembah Kelang menjelang hujung tahun ini.

Melalui fasa ujian DTT ini, penduduk yang terpilih menjadi responden boleh menikmati siaran TV1, TV2, TV3, ntv7, TV8, TV9 dan TV Alhijrah dalam kualiti digital secara percuma.

Apabila beroperasi sepenuhnya tahun hadapan, MYTV akan memancarkan sekitar 30 saluran DTT secara percuma dari hab penyiaran multimedia digitalnya yang sedang dibangunkan di Cyberjaya menerusi 60 pemancar utama dan 40 'pengisi jurang (gap fillers) di seluruh negara.

MYTV bekerjasama dengan Telekom Malaysia Berhad (TM) dalam penyediaan infrastruktur dan kemudahan rangkaian bagi perkhidmatan DTT ini.

CIRI NEGARA MAJU

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak baru-baru ini menyampaikan set-set dekoder kepada para peserta siaran ujian DTT di Kampung Likas, Kota Kinabalu.

Katanya: Projek DTT ini adalah sebahagian daripada agenda nasional kita dalam meningkatkan taraf hidup seluruh rakyat Malaysia dalam kita menuju status negara maju seperti yang digariskan dalam Wawasan 2020, di samping merupakan salah satu projek terpenting dalam Rancangan Malaysia ke-11."

Tambah beliau, rakyat boleh menikmati dan meraih pelbagai peluang gaya hidup melalui maklumat dan pendidikan yang disediakan menerusi pelbagai saluran tersebut tanpa perbezaan di mana jua mereka berada, tidak kira di bandar besar, pinggir bandar mahupun di kampung-kampung terpencil.

Televisyen, tegas beliau, bukan lagi satu lambang kemewahan tetapi menjadi satu keperluan asas dalam kehidupan seharian khususnya untuk sumber maklumat, pendidikan dan hiburan keluarga.

TREND GLOBAL

Secara global, penghijrahan digital didorong oleh keperluan memperuntukkan spektrum analog yang amat bernilai tetapi terhad untuk perkhidmatan telekomunikasi dan radio.

Pendigitalan sistem penyiaran bermula di negara-negara Kesatuan Eropah (EU) yang telah menetapkan matlamat untuk menutup siaran analog sepenuhnya tahun ini, manakala banyak negara EU yang lebih maju telah melaksanakannya sebelum 2012.

Di peringkat serantau pula, negara-negara anggota ASEAN telah bersepakat untuk menutup isyarat penyiaran analog secara berperingkat bermula dari 2015 sehingga 2020.

Ujar Salleh, "Negara-negara maju seperti di Eropah, Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand kesemuanya telah berhijrah ke penyiaran digital, sementara negara-negara serantau seperti Singapura dan Thailand juga sedang dalam proses yang sama. Malaysia tidak mempunyai pilihan selain melaksanakan DTT dan menjayakannya untuk kesejahteraan seluruh masyarakat dalam konteks sebuah negara maju."

2 JUTA UNIT PERCUMA

Menerusi kempen siaran ujian DTT, sebanyak 20,000 unit dekoder telah diperuntukkan secara percuma kepada isi rumah terpilih di seluruh negara.

Pemilihan dibuat secara bersama antara MYTV, Pejabat-pejabat Daerah serta Penghulu, Ketua-ketua Kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Kebajikan Kampung yang membantu mengenalpasti isi rumah yang layak.

Selain faktor pendapatan, mereka juga perlu memenuhi beberapa kriteria yang telah ditetapkan, antaranya tidak melanggan perkhidmatan televisyen berbayar serta kediaman yang terletak dalam lingkungan liputan siaran percubaan.

Peserta-peserta siaran percubaan ini merupakan antara dua juta isi rumah di seluruh Malaysia yang akan menerima set dekoder sebenar secara percuma apabila perkhidmatan DTT dilaksanakan sepenuhnya awal tahun 2016 hadapan.

Oleh HM Salleh
Sumber: BERNAMA

0 comments: