11 September 2015

Istimewanya Isteri



SEJAK kebelakangan ini kita sering membaca dalam akhbar dan media massa tentang keruntuhan rumahtangga masyarakat Islam. Fenomena ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan golongan bawahan malah golongan berada juga tidak dapat lari daripada permasalahan ini.

Ia juga tidak terhad dalam kalangan orang tidak mempunyai didikan agama malah kumpulan ini juga seringkali terjerat di dalam polemik ini.

Walaupun umat Islam berlumba-lumba mengerjakan kebaikan seperti bersedekah, membuat kebajikan dan mengambil berat terhadap orang lain, tetapi sebahagian daripada kita alpa untuk mengerjakan kebaikan kepada orang yang hampir dengan kita.


Sebenarnya Rasulullah SAW lebih mengutamakan melakukan kebaikan kepada orang yang hampir kepada kita seperti ahli keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga.

Perkara ini dapat dilihat daripada beberapa hadis Rasulullah yang menerangkan kepentingan memperlakukan isteri dengan sebaik-baiknya. Umpamanya, Rasulullah diriwayatkan bersabda kepada kaum lelaki yang bermaksud:

“Ingatlah, terimalah wasiatku, gauli wanita (isteri) dengan baik kerana sesungguhnya mereka adalah tanggungjawab di tangan kamu. Kalian tidak mempunyai apa-apa hak daripada mereka kecuali mereka melakukan perbuatan yang menyimpang dan keji.
Apabila mereka melakukan perkara tersebut, maka janganlah tidur bersama mereka dan pukullah mereka dengan pukulan yang tidak menyakitkan. Jika mereka patuh kepada kamu maka janganlah kalian mencari jalan menyakiti mereka. Ingatlah, sesungguhnya kamu mempunyai hak atas isteri-isteri kamu dan mereka mempunyai hak ke atas kamu.
Adapun hak kalian ke atas isteri-isteri kalian adalah tidak mengajak orang yang kamu benci tidur di atas ranjang kalian dan tidak pula mengajak orang yang kamu benci masuk ke dalam rumah kamu. Dan hak isteri-isteri kamu ke atas kamu adalah memberikan pakaian dan makanan kepada mereka dengan baik.” - Riwayat Tirmizi

Sabda Rasulullah di atas jelas memberi panduan kepada kita tatacara bagaimana pergaulan antara suami isteri harus dilakukan. Ia juga menitikberatkan hak dan tanggungjawab bersama. Malah tanggungjawab mendidik isteri yang terletak di bahu suami juga diperincikan sehingga dalam keadaan isteri melakukan perkara yang menyimpang dan keji telah diberikan garis panduan menanganinya.

Oleh yang demikian melayani isteri dengan cara yang terbaik amatlah dituntut dalam Islam. Wanita dijadikan oleh Allah daripada tulang rusuk kiri lelaki yang mempunyai signifikan amat besar. Tulang rusuk itu sebenar terlalu hampir dengan hati. Oleh itu wanita hendaklah sentiasa berada di hati lelaki (suami) untuk dicintai.

Wanita tidak dijadikan daripada kepala untuk dijunjung atau dipuja oleh lelaki, mereka juga tidak dijadikan daripada kaki untuk dipijak atau dihina. Inilah kedudukan istimewa wanita yang telah dinobatkan oleh Islam.

Tulang rusuk yang bengkok itu pula simboliknya perlu diluruskan dengan penuh hati-hati dan penuh hikmah agar tidak patah semasa diluruskan.

Dalam hadis yang lain Rasulullah juga bersabda yang bermaksud: “Seorang mukmin yang imannya paling sempurna adalah yang akhlaknya paling baik. Dan sebaik-baik kamu adalah yang baik terhadap isterinya.” - Riwayat Ahmad.

Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah bersabda maksudnya: ”Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah isteri yang solehah.” - Riwayat Muslim, Nasai Ibn Majah dan Ahmad

Jelaslah daripada dua hadis yang dinyatakan di atas ketinggian kedudukan isteri di samping suami. Hakikat ini perlulah disedari oleh golongan suami. Ini adalah kerana sebahagian suami mengambil mudah peranan isteri dan menganggap isteri perlu patuh kepada segala kehendak suami tanpa mengambil kira perasaan dan kehendak wanita itu sendiri.

Memanglah kuasa ketua keluarga itu diberikan kepada para suami namun kuasa tersebut hendaklah ditadbirkan dengan adil mengambil kira kemampuan, kesusahan dan juga kehendak isteri.

Jika kuasa ini tidak dijalankan dengan sempurna sudah tentu akan mengundang polemik antara suami isteri tersebut dan suami yang tidak menjalankan kuasa dengan sempurna sudah tentu akan dipertanggungjawabkan atas kegagalan itu. Kuasa tersebut sebenarnya bukanlah suatu keistimewaan tetapi lebih kepada tanggungjawab yang hendaklah digalas dengan sempurna.

Dalam Islam, apabila suatu keistimewaan diberikan kepada seseorang ia sebenarnya disertakan dengan tanggungjawab. Lebih besar keistimewaan diberikan lebih besar sebenarnya tanggungjawab yang dibebankan kepada seseorang.

Walaupun suami dibebankan dengan tanggungjawab, isteri juga tidak terlepas daripada peranan yang perlu dijalankan dalam sesebuah keluarga. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Demi Zat yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, tidak seorang lelaki pun yang mengajak isterinya ke katilnya (untuk disetubuhi) lalu isteri itu enggan kecuali malaikat yang di langit marah kepadanya hinggalah suami tersebut reda kepada isteri itu.” - Riwayat Muslim

Alangkah indahnya hubungan antara suami isteri yang dijelaskan oleh hadis-hadis di atas, berteraskan kepada akhlak yang digariskan oleh Rasulullah. Islam menganjurkan perbuatan baik kepada isteri dan ahli keluarga sama ada dengan memberi layanan yang baik ataupun menggembirakan hati mereka dengan memenuhi hasrat mereka yang munasabah dan di dalam kemampuan suami.

Dapatlah kita mengambil pengajaran bahawa hubungan suci suami isteri ini hendaklah berasaskan kepada piawaian hukum syarak bagi mengemudi bahtera rumahtangga agar apabila dilanda badai dan ombak bahtera rumahtangga ini tetap utuh. Itulah sebabnya perbandingan yang sering dibuat kepada pembinaan rumahtangga sebagai pembinaan sebuah masjid.

Meruntuhkan rumahtangga samalah seperti meruntuhkan sebuah masjid. Meruntuhkan sebuah masjid mempunyai implikasi besar kepada umat Islam kerana sebuah masjid yang makmur menggambarkan umat Islam yang bersatu dan berteraskan kepada syariah Islam.

Kesimpulannya, seorang suami hendaklah menghargai apa yang dilakukan oleh isterinya di dalam membentuk rumahtangga bahagia. Suami perlu mengutamakan kebajikan keluarga berbanding dengan orang lain. Suami juga bertanggungjawab mendidik isteri dengan cara yang dianjurkan oleh agama. Isteri pula harus akur bahawa suami adalah ketua keluarga dan wajib mematuhi arahan suami selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Semangat dan falsafah hadis di atas sebenarnya telah diolah kembali dan digubal di dalam Undang-Undang Keluarga Islam dan juga Undang-Undang Jenayah Syariah. Undang-undang tersebut memperuntukkan tanggungjawab dan peranan yang perlu dimainkan oleh suami isteri.

Ia juga menggariskan kesalahan-kesalahan yang boleh di hukum seperti mencuaikan isteri, nusyuz, ingkar perintah mahkamah dan lain-lain. Namun undang-undang dan mahkamah hendaklah dijadikan jalan terakhir penyelesaian kemelut rumahtangga. Didikan dan kesedaran tentang hak dan tanggungjawab adalah lebih utama berbanding aspek hukuman.

OLEH DATUK ZAINUL RIJAL ABU BAKAR  (09 September 2015)
Sumber: Utusan

0 comments: