10 Oktober 2015

Manfaat Kucing Sebagai Sahabat Kanak-Kanak


Kanak-kanak yang membesar bersama kucing lebih bersikap penyayang. – Gambar hiasan

Menurut kajian Profesor Emiritus Dr. Aaron Katcher dari Universiti of Pennsylvania, Amerika Syarikat, haiwan mampu mempengaruhi perhatian manusia kerana manusia selalu terlibat dalam menyelesaikan masalah berkaitan haiwan.

Profesor dalam bidang psikiatri itu mendakwa, apabila berada di sekeliling haiwan, seseorang itu akan lebih ceria, komunikatif, ekspresif dan tenang.

Begitu juga dengan menjadikan kucing sebagai haiwan peliharaan yang boleh mendatangkan banyak manfaat. Haiwan tersebut boleh menjadi faktor tambahan kepada keceriaan dan keamanan setiap keluarga di samping membantu anak-anak dalam pelbagai cara.


Kucing sama seperti manusia yang mempunyai perasaan dan suka dimanja atau dibelai. Hubungannya dengan manusia atau penjaga boleh diibaratkan sebagai kawan.

Disebabkan itu, secara tidak langsung, ia boleh membantu kanak-kanak khususnya untuk belajar mengenali perlakuan rakan-rakan mereka. Selain itu, ia turut menjaga hati orang di sekeliling kerana biasanya kucing suka berdampingan dengan penjaganya.

Selain itu, haiwan comel tersebut boleh membantu daripada segi psikologi kanak-kanak yang mengalami trauma kerana ia seolah-olah menjadi sahabat yang sentiasa ada untuk membantu kanak-kanak berkenaan di samping memupuk harga diri yang lebih tinggi.

Memelihara kucing juga boleh mendidik anak-anak untuk menjadi seorang yang lebih bertimbang rasa, mudah bekerjasama dan bersedia untuk berkongsi.

Kanak-kanak yang terbiasa dengan kucing akan mudah berkongsi makanan, ruang dan menjadi seorang yang penyayang.

Cegah asma

Kanak-kanak yang membesar bersama kucing kurang cenderung untuk mendapat alahan dan mereka juga tidak mengalami demam yang berpanjangan.

Terdapat beberapa bukti bahawa kucing boleh membantu mencegah penyakit asma kepada anak-anak. Ini kerana, sentuhan antara anak anda dengan kucing dapat membantu mengatasi masalah pernafasan.

Kajian yang dibentangkan oleh Fakulti Kesihatan Awam Mailman, Universiti Columbia pula menunjukkan bahawa memelihara kucing dapat melindungi kanak-kanak berusia lima tahun daripada terus mengalami gejala asma.

Dipercayai, badan kanak-kanak berjaya menghasilkan antibodi yang dapat melawan alahan yang dibawa kucing.

Pada usia tiga tahun, antibodi yang dihasilkan ini mungkin boleh menyebabkan mereka semput iaitu salah satu gejala yang dikaitkan dengan asma.

Bagaimanapun, menjelang usia lima tahun, kanak-kanak yang membesar dengan kucing di persekitarannya, didapati tidak lagi mengalami gejala tersebut.

Sumber: Kosmo

0 comments: