09 November 2018

Adab Berkongsi Kisah Peribadi di Media Sosial

PENGGUNAAN media sosial kini sudah menjadi keutamaan bagi masyarakat kita dan hampir pasti, setiap orang akan memiliki sekurang-kurangnya satu akaun media itu.

Media sosial dianggap penting dan menjadi tempat untuk menceritakan segala yang berlaku di dalam kehidupan hinggakan tanpa sedar sebenarnya apa yang diluahkan di media sosial sebenarnya sesuatu yang patut dirahsiakan daripada pengetahuan orang lain.

Bagaimana kita harus kenal pasti apa yang patut dikongsikan dan apa yang sepatutnya dirahsiakan? Terdapat lima perkara penting yang sewajarnya tidak dihebahkan menggunakan platform media sosial.

Pertamanya pelan perancangan masa depan.

Saya pasti mereka yang berkongsi pelan dan rancangan ini dalam kalangan individu bermotivasi tinggi dan ingin menggalakkan orang ramai untuk turut serta.

Namun begitu, pelan perancangan ini mungkin terdapat kelemahan di dalamnya dan jikalau anda terlepas pandang, ia boleh dilihat oleh orang ramai di media sosial.

Sebaik-baiknya adalah untuk anda berkongsi hanya dengan mereka yang rapat dan dapat memberi sumbangan dari segi idea dan pelaksanaan rancangan berkenaan.

Kedua, berkongsi hal berkaitan saham akhirat. 

Kita sering lihat perkongsian tentang aktiviti ibadat yang tular di media sosial dan saya bersetuju, ia bagus dan dapat mendorong orang ramai untuk turut serta.

Namun begitu, aktiviti persendirian (ibadat yang dihukumkan sunat) seperti solat sunat, puasa sunat Isnin dan Khamis dan apa juga sedekah yang kita lakukan haruslah disembunyikan daripada pengetahuan masyarakat supaya keikhlasan itu dapat dijaga.

Kita harus pandai menggunakan peluang yang ada untuk mengajak orang ramai untuk melakukan perkara yang baik tetapi pada masa sama, merahsiakan amal ibadat. Ia adalah rahsia antara kita dan Allah SWT sahaja.

Daripada Sa’ad Abi Waqqas RA, Rasullullah SAW bersabda; “Sesungguhnya Allah mencintai hamba yang bertakwa, hamba yang hatinya selalu merasa cukup dan yang suka mengasingkan diri.” (HR Muslim)

Keikhlasan itu sesuatu yang sangat berharga. Bayangkan anda sedang menjunjung sebuah peti emas yang terbuka dan berjalan di sekitar bandar raya yang sesak. Sudah pasti anda akan bersungguh-sungguh menjaganya. Begitu juga segala amal kita lakukan. Sudah pasti kita tidak mahu segala pahala kita itu dirompak begitu saja.

Ketiganya, rahsiakanlah mengenai perjalanan kehidupan anda. 

Terdapat beberapa perkara penting yang harus anda rahsiakan dari pengetahuan umum dan antaranya adalah cara anda menjalani kehidupan seharian.

Tidak ada faedahnya jika anda menceritakan kepada orang ramai mengenai perihal peribadi seperti taraf kewangan atau hal rumah tangga di laman sosial. Ia mungkin membuatkan orang lain berasa kurang senang dan mungkin juga ada yang akan meluat dengan apa yang dikongsikan.

Perkara seperti ini terlalu bahaya untuk pandangan mata dan pengetahuan orang lain kerana kemudaratan yang akan timbul dan ia juga mungkin disalahertikan oleh orang lain yang tidak memahami tujuan anda berkongsi.

Sejak kebelakangan ini, ramai yang mentafsir perbuatan sebegini sebagai langkah yang ‘perlu’ dilakukan dan dianggap sebagai strategi pemasaran yang efektif. Namun begitu sesuatu yang kita perlu sedar, kita tidak pernah pula lihat Bill Gates, Mark Zuckerberg dan Warren Buffett berbuat sedemikian.

Keempat, berkongsi konflik rumah tangga. 

Tidak dinafikan setiap keluarga akan ada turun naiknya dan ada kala kita memerlukan tempat untuk meluahkan segala yang terpendam.

Namun begitu, media sosial bukanlah tempatnya. Sebaliknya, anda harus merahsiakan dan tidak membuka aib keluarga daripada dilihat oleh orang ramai kerana ia akan memalukan diri sendiri di kemudian hari. Perkara seperti ini adalah sangat sensitif dan mungkin akan menghantui diri dan keluarga kita pada masa depan.

Jika memerlukan bantuan dan sokongan, mungkin kaunselor, rakan karib ataupun saudara yang hampir adalah pilihan yang lebih baik daripada meluahkannya di laman sosial.

Sekurang-kurangnya wujud interaksi dua hala dan dapat meluahkan perasaan sepenuhnya. Selain itu, terdapat lontaran idea dan perbandingan pendapat yang kondusif bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Terakhir sekali, dilarang membuka aib di media sosial. 

Memang terbukti, ia dapat membantu untuk menjadikan sesuatu perkara itu tular. Namun begitu, kita haruslah lebih beretika ketika ingin berkongsi sesuatu dan berfikir dahulu sebelum bertindak.

Kita harus lebih bijak untuk membezakan apa yang boleh dikongsikan supaya dapat dijadikan pengajaran dengan apa yang sensitif dan mungkin mendatangkan malu jika apa yang dikongsikan sesuatu yang tidak berasas. Sebaik-baiknya adalah untuk kita mengkaji dulu berita yang diterima sebelum anda menekan butang ‘share’ (kongsi).

Allah SWT berfirman yang bermaksud; “Wahai orang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu,”. (Al-Hujurat: 6)

Di dalam surah lain pula Allah SWT berfirman yang bermaksud; “Sesungguhnya orang-orang yang membawa ifk (berita bohong) adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira berita bohong itu buruk bagi kamu, bahkan ia adalah baik bagi kamu. Setiap seorang daripada mereka mendapat balasan daripada dosa dikerjakannya dan barang siapa di antara mereka yang mengambil bahagian terbesar dalam penyiaran berita bohong itu, baginya azab yang besar,”. (An Nur:11)

Oleh itu, marilah kita mengambil pengajaran dan melakukan perubahan di dalam kehidupan seharian kita termasuk di alam siber. Moga perubahan ini akan menjadikan kehidupan kita lebih harmoni dan positif.

Artikel Oleh: Mohd Shazly Khan
Kredit: Bharian (1/11/2018)

0 comments: