26 Oktober 2012

Ibadah Qurban Tanda Taat dan Taqwa



Pada setiap 10 Zulhijjah, umat Islam akan menyambut kedatangan hari kebesaran Islam Aidiladha atau hari raya korban. Pada hari itu, umat Islam mengadakan solat sunat hari raya dan menyembelih binatang ternakan seperti unta, lembu, kerbau dan kambing untuk dikorbankan.

Penyembelihan korban dilakukan selepas selesai solat Aidiladha dan masih dapat dilakukan pada hari tasyrik iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah.

Ibadah korban dibahagikan kepada dua iaitu korban khusus membabitkan penyembelihan binatang tertentu pada Aidiladha dan tiga hari selepasnya dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT, manakala korban umum ialah pengorbanan yang memberi manfaat serta kebaikan kepada orang lain.


Amalan nabi dan rasul

Korban disyariatkan oleh Allah SWT bukanlah amalan sia-sia melainkan mendapat ganjaran daripada Allah SWT. Harta benda membabitkan wang ringgit dan binatang ternakan yang dikorbankan tetap dinilai oleh Allah dan diganti dengan ganjaran pahala.

Sesungguhnya, ibadat korban menjadi amalan sebahagian nabi dan rasul yang bermula pada zaman Nabi Allah Adam apabila kedua-dua puteranya Habil dan Qabil mempersembahkan korban masing-masing kepada Allah.

Kedua-duanya diperintah Nabi Allah Adam melakukan korban kepada Allah sebagai syarat memperisterikan saudara perempuan mereka bernama Iqlimiah yang juga saudara kembar Qabil yang cantik sedangkan saudara kembar Habil bernama Layuza tidaklah sejelita Iqlimiah.

Kedua-duanya akur dengan kehendak Nabi Allah Adam dan melakukan korban seperti yang diminta. Habil mengorbankan seekor kibas gemuk berbanding Qabil yang mempersembahkan hasil tanaman berupa gandum yang sedikit serta busuk.

Ternyata korban Habil diterima Allah SWT berikutan keikhlasan dan ketakwaannya sekali gus berhak mengahwini Iqlimiah manakala korban Qabil ditolak. Kisah pengorbanan dua bersaudara ini dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran.

Firman Allah SWT: “Ceritakanlah kepada mereka kisah yang berlaku sebenarnya terhadap kedua-dua putera Adam (Habil dan Qabil), iaitu ketika kedua-duanya mempersembahkan korban masing-masing. Lalu Allah menerima korban salah seorang daripadanya mereka berdua (Habil) dan tidak diterima yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): Aku pasti membunuhmu! Berkata Habil: Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) daripada orang yang bertakwa.” (Surah al-Maidah, ayat 27)

Pengorbanan Nabi Ibrahim

Pengorbanan yang agung dan besar berlaku kepada Nabi Allah Ibrahim yang diperintah Allah menyembelih anak kesayangannya Nabi Allah Ismail. Ketaatan dan ketakwaan kepada Allah mendorong Nabi Ibrahim melaksanakan korban walaupun terpaksa menyembelih anak kesayangan.

Pengorbanan itu membuktikan Nabi Allah Ibrahim berjaya diuji Allah SWT yang diwahyukan melalui mimpi dan Nabi Allah Ismail diganti dengan seekor kibas gemuk yang disifatkan Allah sebagai sembelihan agung.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak beramal seseorang anak Adam pada Aidiladha melainkan menyembelih binatang korban yang menjadi amalan disukai oleh Allah. Sesungguhnya pada hari kiamat nanti binatang korban itu akan datang bersama tanduknya, kukunya dan bulunya dan sesungguhnya darah yang tumpah di suatu tempat akan diterima oleh Allah sebelum tumpah di atas tanah, maka perelokanlah korban kamu.” (Riwayat al-Hakim, Ibn Majah dan al-Tarmizi)

Tanda kesyukuran

Melakukan sembilan korban adalah tanda kesyukuran kepada Allah terhadap segala nikmat yang dikurniakan selain berperanan mengkifaratkan dosa serta menunjukkan simpati dan belas kasihan kepada golongan fakir miskin sekali gus mengeratkan silaturahim sesama manusia.

Menyembelih korban mestilah dilakukan berdasarkan hukum syarak. Haiwan yang disembelih tidak mengikut kaedah syarak adalah bangkai dan najis. Oleh itu, syarat ditetapkan seperti putus urat yang wajib iaitu urat halkum (salur pernafasan) dan marih (saluran pemakanan) perlu diperhatikan dengan betul.

Haiwan sembelihan yang diproses hendaklah mematuhi kehendak kebersihan dan piawaian pengendalian. Justeru, penting bagi individu Muslim dan syarikat pengurusan penyembelihan mematuhi kehendak ditetapkan Islam.

Bekas Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) Universiti Putra Malaysia (UPM), Allahyarham Prof Dr Yaakob Che Man, pernah menyatakan penyembelihan bukan sekadar memutuskan urat leher haiwan supaya daging haiwan halal dimakan tetapi merangkumi konsep pengurusan penyembelihan lebih luas dan menyeluruh membabitkan seluruh rantaian makanan bermula dari ladang hingga kepada pengguna.

Oleh: Zabidi Hitam
Sumber: BHarian

Ibadah Qorban Sebaris Solat


Sembelihan terhadap binatang kena ikut kaedah syarak ditetapkan

SABAN tahun kita bertemu dan merayakan hari raya haji atau Aidiladha yang merujuk kepada ibadah korban haiwan ternakan yang ditetapkan agama seperti unta, lembu dan kambing.

Waktu pelaksanaannya bermula selepas solat Aidiladha iaitu pada 10,11,12 sehinggalah 13 Zulhijjah.

Umat Islam menyambut hari raya haji dengan penuh kegembiraan dan syukur kerana sentiasa ada sebahagian insan yang melaksanakan ibadah korban selepas mendirikan solat hari raya.

Cuma, dalam kegembiraan menyambut Aidiladha, menikmati makanan daging korban, apakah kita pernah melaksanakan ibadah itu? Ibadah korban di dalam Islam adalah suatu lambang atau syiar Islam yang besar. Bahkan Allah SWT mensyariatkan ibadah korban ini sebaris dengan ibadah solat.

Firman Allah yang bermaksud: “Maka, solatlah kerana Tuhammu dan sembelihlah korban!” (Surah al-Kautsar: 2) Allah menyeru kepada kita dengan lafaz yang jelas dan tegas supaya kita sentiasa bersedia untuk melaksanakan amal soleh yang Tuhan syariatkan kepada kita.

Pensyariatan ibadah korban ini dikuatkan lagi dengan perbuatan Rasulullah s.a.w yang sentiasa melakukan amalan korban sepanjang tahun sehinggalah kewafatan baginda.

Hal ini dapat disaksikan daripada perkataan sahabat Nabi iaitu Abdullah bin Umar, katanya: “Nabi s.a.w tinggal di Madinah selama 10 tahun dan sentiasa berkorban.” (Riwayat Ahmad dan Tirmizi) Pensyariatan ibadah korban ini di atas dalil al-Quran dan sunah Nabi.

Hukum Qurban

Ulama di kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah berbahas panjang mengenai hukum melaksanakan ibadah korban ini sama ada ia wajib atau tidak.

Majoriti di kalangan ulama mazhab Syafie, Maliki dan Ahmad berpendapat ibadah korban ini hukumnya sunat muakkad yakni sesuatu amalan sunat yang menghampiri wajib bahkan Imam Malik dan Imam Ahmad sendiri berpendapat sedemikian.

Apapun pilihan kita terhadap hukum ibadah korban ini, yang pasti ia suatu amalan yang besar manfaat dan pahalanya kepada mereka yang melakukannya.

Apakah jika seseorang itu berpegang dengan hukum ibadah korban ini sebagai sunat muakkad lalu mengambil keputusan untuk tidak berkorban? Sewajarnya kepada yang mampu berkorban tetapi tidak mahu melaksanakan dengan alasan ia hanya sunat, hukumnya amat rugilah ia kerana gagal merebut pahala yang besar di sisi Allah.

Tidak ada masalah mereka yang berpegang kepada wajib hukumnya ibadah korban ini kerana mereka ini akan sentiasa dan bersedia untuk melaksanakan apabila tiba waktunya.

Umumnya, cukup dengan gesaan al-Quran dan sunah untuk kita bermotivasi dalam merealisasikan ibadah korban setiap tahun.

Sepatutnya limpahan rezeki yang Allah kurniakan, kita gunakan untuk berkorban kepada agama. Kita mampu membeli telefon bimbit yang mahal tetapi kita terlalu sayang untuk mengeluarkan wang yang sedikit untuk melakukan ibadah korban.

Jika kita tidak mampu berkorban seekor lembu, memadai kita mengambil satu bahagian. Ini lebih baik dan mendapat pahala besar di sisi Allah.

Andai kata tidak mampu menunaikan ibadah korban tahun ini, marilah kita bertekad untuk melaksanakan tahun depan dengan mengumpulkan wang RM1 sehari.

Apabila cukup setahun atau 360 hari, insya-Allah kita mampu berkorban untuk membayar satu bahagian lembu korban.

Bagi yang berazam atau mahu melaksanakan ibadah korban tahun ini, pastikanlah kita tidak memotong kuku, rambut dan mengopek kulit apabila masuk 1 Zulhijjah sehinggalah binatang korban disembelih.

Hal ini berdasarkan hadis Ummi Salamah ra di mana Nabi bersabda yang bermaksud: “Jika kalian melihat anak bulan Zulhijjah dan salah seorang daripada kalian ingin berkorban, maka hendaklah ia membiarkan rambut dan kukunya.” (Riwayat Muslim dan Ahmad)

Imam Nawawi menjelaskan lagi hadis ini: “Maksud daripada larangan tersebut ialah, dilarang menggunting atau memotong rambut sama ada membotakkan rambut kepala (bercukur), memendekkannya, mencabutnya, membakarnya atau selainnya.

“Ini juga termasuk bulu ketiak, misai, bulu kemaluan dan apa-apa bulu yang ada di seluruh badana” (lihat: syarah Muslim jilid 13/ ms 138).

Antara yang menjadi sunah lain yang boleh diamalkan kepada yang hendak berkorban ialah memakan sebahagian daging korban itu, seperti firman Allah yang bermaksud: “Makanlah sebahagian daripadanya dan berilah sebahagian lagi untuk dimakan orang-orang sengsara lagi fakir” (Surah al-Hajj: 28)

Jika mampu hendaklah disembelih binatang korban itu dengan tangan sendiri seperti perbuatan Nabi yang diceritakan Anas katanya: “Rasulullah berkorban dua ekor kibas yang putih dan bertanduk, lalu aku lihat baginda menginjakkan kakinya di atas belakang leher kibas itu lalu membaca ‘bismillah dan bertakbir’ dan terus baginda menyembelih sendiri dengan tangannya kedua-keduanya (kibas).” (Nailul Authar jilid 4/ms 119)

Penyembelihan korban perlu dilakukan di tanah lapang bukan di kawasan masjid atau lapangan yang menjadi tanah masjid itu kerana Nabi dan sahabat tidak pernah melakukan penyembelihan korban di kawasan masjid.

Kesimpulannya, disunatkan kepada orang yang tidak melakukan ibadah haji berpuasa pada hari Arafah yakni 9 Zulhijjah kerana fadilatnya sangat besar sebagaimana dijelaskan menerusi hadis daripada Abi Qatadah ra katanya: “Rasulullah s.a.w ditanya sahabat mengenai puasa hari Arafah, sabdanya: “Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan tahun hadapan.” (Riwayat Muslim dan al-Tirmizi) Penulis ialah Ketua Biro Sekretariat ILMU

Oleh Ahmad Tajuddin Idris al-Manhaji
Sumber: HMetro

1 comments:

Dayang Deno berkata...

selamat hari raya korban :)