25 Oktober 2012

Tindakan Undang-undang Terhadap Iklan Palsu dan Keliru



Bermula 1 Januari 2012 depan, semua iklan palsu atau mengelirukan akan dikenakan tindakan mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan denda antara RM50,000 hingga RM1 juta dan penjara antara tiga hingga lima tahun.

Antara perkara yang tidak dibenarkan dalam garis panduan yang akan diedarkan kepada pihak pengiklanan dalam masa terdekat ini adalah iklan-iklan yang mendakwa sesuatu ubat mampu menyembuhkan penyakit kronik dan tatacara penggunaan logo halal.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mana-mana individu mengeluarkan iklan mengelirukan dan palsu mengenai butiran kuantiti, kualiti, harga, keberkesanan produk dan kebolehdapatan, boleh didenda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih daripada tiga tahun.

"Bagi pertubuhan pula, boleh didenda tidak lebih RM100,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih RM200,000 bagi kesalahan kedua," katanya selepas melancarkan Garis Panduan Mengelakkan Iklan Palsu dan Mengelirukan.


Ismail Sabri berkata, butiran mengenai tindakan ke atas pengiklan terkandung dalam garis panduan yang disediakan oleh Jawatankuasa Pengiklanan berikutan pindaan terhadap Bahagian XIA, Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang diluluskan Parlimen, baru-baru ini.

"Pindaan itu adalah bagi menjelaskan perkara-perkara berkaitan palsu atau mengelirukan bertujuan melindungi pengguna daripada tertipu dengan iklan-iklan tersebut," katanya.

Perkara itu diputuskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menerusi penubuhan Jawatankuasa Pengiklanan yang bertanggungjawab memantau iklan-iklan seumpama itu.

Ismail Sabri berkata jawatankuasa pengiklanan tersebut mendapat kerjasama daripada beberapa kementerian seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kerja Raya serta dianggotai beberapa ahli akademik dengan dipengerusikan oleh Ketua Eksekutif Yayasan Sumber Maklumat, Dr Zuraidi Ishak.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan tertubuhnya jawatankuasa berkenaan, 'Garis Panduan Mengelakkan Iklan Palsu Atau Mengelirukan' disediakan untuk rujukan pihak yang terlibat dalam pengiklanan sebelum sesuatu iklan dikeluarkan.

"Kita sediakan garis panduan supaya pihak pengeluar iklan tidak melanggar syarat-syarat yang ditetapkan. Daripada aspek penguatkuasaan dan jenis tindakan, semua kementerian atau agensi boleh mengambil tindakan jika iklan itu berkaitan dengan mereka.

"Contohnya, jika iklan itu melibatkan perubatan, Kementerian Kesihatan yang akan ambil tindakan. Jika iklan tentang perumahan maka kementerian yang bertanggungjawab akan mengambil tindakan," katanya.

Ismail Sabri menjelaskan, garis panduan itu akan mengawal selia pengiklanan yang meliputi pemilik barangan, perkhidmatan, agensi pengiklanan atau mana-mana pihak yang terlibat dalam usaha penyebaran iklan melalui media cetak atau elektronik.

"Garis panduan ini boleh dijadikan rujukan oleh para pengguna dalam mengenal pasti kandungan iklan palsu atau mengelirukan, selain sebagai rujukan kepada pengiklan agar bertanggungawab sepenuhnya terhadap iklan mereka.

"Iklan yang akan disiarkan mestilah mendapat kelulusan daripada pihak-pihak yang berkaitan," katanya.

"Beliau berkata kriteria-kriteria turut diambil kira apabila menyatakan terma-terma dan syarat dalam iklan seperti penggunaan bahasa yang ringkas, saiz dan font yang jelas serta kedudukannya yang mudah dilihat oleh pengguna dalam iklan bilboard," katanya.

Penubuhan jawatankuasa dan garis panduan itu dibuat dengan merujuk undang-undang tempatan dan luar negara seperti Akta Perihal Dagangan 2011, Kos Kandungan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kod Amalan Pengiklanan Malaysia, Kod Penyiaran Pengiklanan United Kingdom dan Kod Pengiklanan Standard Kanada.

"Jawatankuasa ini sememangnya perlu kerana kerajaan telah menerima banyak aduan pihak yang tertipu oleh iklan-iklan. Jika pengiklanan sesuatu barangan atau perkhidmatan memerlukan terma dan syarat yang harus dimaklumkan, maka, pengiklan mestilah menggunakan bahasa yang ringkas, saiz dan bentuk font yang jelas serta kedudukannya yang mudah dilihat oleh pengguna dalam iklan bilboard,"" katanya.

Sumber: UtusanBERNAMA [22/10/2012]

1 comments:

Dayang Deno berkata...

tu la kan.... banyak yg palsu...