16 Mac 2013

Aktiviti Positif Atasi Kemurungan


Bersosial, beriadah, penjagaan makanan sempurna membantu kehidupan lebih bersemangat

Jangan tangguh rawatan

DUA daripada 10 orang pernah mengalami penyakit kemurungan pada satu-satu masa dalam hidup mereka. Bezanya adakah mereka sembuh dengan sendirinya (spontaneous recovery) atau dengan rawatan.

Bagi yang kurang bernasib baik, penyakit ini akan menghilangkan senyuman daripada wajah penderita dan merampas kualiti hidup mereka secara perlahan-lahan.

Tidak kurang juga ada yang benar-benar kecewa sehingga sanggup menamatkan riwayat hidup sendiri.

Kemurungan menjejaskan fungsi minda dan tubuh badan. Kemurungan boleh membuat jiwa seseorang rasa kosong dan tidak bermakna.


Mereka tidak lagi mampu menikmati kegembiraan dalam membuat sesuatu perkara walaupun dahulunya mereka begitu girang semasa melakukannya.

Selera makan berubah. Begitu juga dengan corak tidur. Pesakit mudah meradang dan sentiasa kelihatan resah gelisah. Mereka kerap berfikir tentang perkara-perkara negatif.

Bagi pekerja profesional, mereka keletihan di siang hari dan tidak dapat memberikan tumpuan kepada tugasan. Kadangkala ia diselang-seli dengan keinginan membunuh diri.

Jika anda mengalami tanda-tanda di atas, jangan tunggu lama untuk mendapatkan rawatan. Jangan juga menunggu penyakit anda sembuh dengan sendirinya.

Ia mungkin mengambil masa bertahun-tahun atau tidak akan sembuh sama sekali dan anda pastinya tidak mahu tercicir daripada mengejar matlamat hidup.

Bagaimana mendapatkan bantuan?

Memulakan langkah pertama dalam mendapatkan rawatan tidak semudah mengaku yang diri anda mempunyai tanda-tanda kemurungan.

Ini kerana pesakit biasanya cenderung mengasingkan diri dan selalu rasa rendah diri. Mereka juga tidak ingat bilakah kali terakhir mereka rasa benar-benar gembira.

Bagaimanapun ia berbaloi kerana rawatan boleh membantu pesakit berfikir dengan lebih jelas dan mereka juga boleh bekerja seperti sediakala dalam kadar segera.

Doktor akan menilai tanda-tanda kemurungan dan sejauh mana penyakit tersebut telah menjejaskan kehidupan. Diagnosis diberikan dan satu pelan perawatan terperinci akan diterangkan.

Dalam sesi konsultasi ini, pelbagai pilihan rawatan dibincangkan. Biasanya doktor akan mencadangkan jenis rawatan yang terbaik. Buat masa ini, rawatan terbaik adalah kombinasi ubat-ubatan dan terapi psikologi.

Kesan boleh dilihat seawal dua ke enam minggu. Tenaga badan dan corak tidur biasanya akan pulih terlebih dahulu sebelum perasaan murung dan ingatan membunuh diri hilang sepenuhnya.

Ia memang cepat jika dibandingkan dengan berkurung di dalam rumah bertahun-tahun sementara menunggu ia pulih secara semulajadi, jika benar ia boleh berlaku.

Terapi psikologi dan kaunseling pula diberi setelah rawatan ubat-ubatan mula memberi kesan. Pesakit hanya perlu dimasukkan ke wad jika keadaan mereka didapati berbahaya kepada diri sendiri atau orang lain.

Contohnya jika pesakit ada mendengar suara ghaib, mempunyai delusi atau berkeinginan kuat membunuh diri sendiri.

Ada juga pesakit yang berisiko mendatangkan kecederaan kepada orang lain seperti kepada bayi baru lahir atau anak kecil di rumah. Mereka ini biasanya perlu dimasukkan ke wad juga.

Ceriakan hidup anda

Di samping bantuan profesional, ada beberapa kaedah yang boleh lakukan untuk membantu menceriakan kehidupan.

Menjaga kesihatan contohnya, dapat memaksimumkan peluang untuk hidup lebih gembira. Ini termasuk pengamalan gaya hidup sihat seperti menjaga jadual tidur dan mengambil diet yang seimbang.

Amalkan senaman berkala. Walaupun pesakit biasanya selalu rasa letih dan tidak bermaya, senaman boleh merangsang rembesan hormon endorphin yang membolehkan mereka rasa lebih selesa dan ceria.

Buat aktiviti kreatif yang boleh menceriakan perasaan seperti melukis, menulis atau menanam pokok bunga. Ia boleh melegakan fikiran dan menimbulkan perasaan puas hati kepada seseorang individu.

Cuba hubungi rakan, saudara-mara atau orang yang boleh membantu menceriakan keadaan. Anda boleh membuat panggilan telefon atau keluar berborak di kedai kopi.

Sekurang-kurangnya ia membolehkan anda berhubung dengan individu yang lebih selamat berbanding dengan berkurung sepanjang hari di dalam rumah.

Kesimpulannya, jika anda fikir anda menderita akibat penyakit kemurungan, sila berjumpa doktor. Ramai pesakit telah pun sembuh sepenuhnya dengan rawatan.

Mereka ini bukan sahaja menjadi lebih peka kepada kehendak diri sendiri tetapi juga menjadi lebih kuat dalam menghadapi cabaran mendatang.

 Sumber: Utusan

Aktiviti Positif Atasi Kemurungan

Terdapat hari-hari di mana keadaan minda manusia berada di dalam keadaan terbaik dan pada hari-hari tertentu pula berada di dalam keadaan yang paling teruk. Kemurungan adalah salah satu daripada masalah mental yang dialami oleh semua orang dalam hidup mereka.

Berikut terdapat beberapa cadangan untuk membantu anda mengatasi kemurungan. Diharap dengan cara yang dicadankan ini, kita akan dapat menangani kemurungan.

1) Minta bantuan

Jangan malu dalam mendapatkan bantuan untuk menangani situasi dalam kehidupan. Tiada siapa yang menjangka untuk menghadapi beban hidup yang sukar. Mencari bantuan daripada pasangan hidup, rakan sekerja atau kawan dapat melegakan sedikit beban emosi kita.

2) Bersenam

Senaman adalah cara yang sempurna untuk mengalahkan lamunan. Bukan saja membantu membina susuk tubuh yang lebih baik tetapi juga meningkatkan tenaga positif dalam sistem badan. Bersenam membantu merembeskan hormon serotonin dan testosteron yang menstabilkan perasaan serta memendamkan kemurungan.

3) Diet seimbang

Pengambilan secara sihat ke atas buah-buahan, sayur-sayuran, daging, kekacang dan karbohidrat akan membantu dalam pengawalan emosi. Diet yang seimbang bukan saja mengekalkan kesihatan fizikal tetapi juga dapat memulihkan perasaan kecewa.

4) Bercakap dengan Psikiatri

Cara yang paling mudah dan mujarab mengatasi kemurungan adalah dengan bantuan psikiatri. Perunding psikologi akan membantu anda dalam mendapatkan punca kemurungan anda dan membantu dalam mengurangkan masalah.

5) Ikut preskripsi

Ubat yang ditetapkan adalah bahan kimia yang boleh membantutkan permulaan kemurungan. Dengan mengikuti dos yang telah ditetapkan, kita secara beransur-ansur akan dapat mengembalikan kesihatan mental.

6) Memelihara haiwan

Haiwan peliharaan akan mempunyai perhubungan yang unik dengan tuannya. Kajian telah menunjukkan bahawa orang yang mempunyai haiwan kesayangan mampu menangani kesan kemurungan, berbanding mereka yang tinggal bersendirian. Perhubungan ini akan membantu kita mengharungi perasaan negatif.

7) Tidur

Tidur malam yang berkualiti adalah satu keperluan untuk kembali kepada positif. Penyelidikan menunjukkan bahawa tidur selama 7 sehingga 8 jam setiap malam menunjukkan kurang gejala kemurungan berbanding dengan mereka yang kurang tidur. Tidur juga membantu mengurangkan beban emosi dan pulih daripada kemurungan.

8) Mendengar muzik

Apabila tertekan, mendengar muzik boleh menjadi rangsangan yang cepat untuk fikiran yang tertekan. Muzik mempunyai keupayaan untuk mengubah perasaan, meningkatkan semangat dan emosi.

Bagaimanapun, seseorang itu perlu mengelak daripada mendengar lagu-lagu yang beremosi sedih kerana ia boleh memberi kesan negatif ke atas emosi.

9) Membaca buku motivasi

Pelbagai pengarang terkenal telah menulis buku tentang panduan mengenai bagaimana untuk berfikir secara positif. Buku-buku seperti ini dapat membantu memberi nasihat yang mudah bagaimana seseorang itu boleh menangani kemurungan mereka. Ia juga akan memberikan motivasi yang diperlukan dalam mengharungi kekecewaan.

10) Jadi positif

Mengekalkan pandangan yang positif dalam kehidupan adalah cara terbaik untuk menyimpang pemikiran yang menyedihkan. Apabila minda menjadi negatif serta menyalurkan pemikiran itu ke arah yang positif, kita dapat merungkai kesan kemurungan.

11) Sinaran matahari

Kehangatan sinar mentari amat sesuai dalam menghindari fikiran negatif. Vitamin D oleh rembesan hormon daripada sumber cahaya matahari membantu dalam mengukuhkan perasaan. Maka apabila kita berasa sugul, pergilah keluar untuk mendapatkan sinaran matahari untuk mendapat emosi yang lebih baik.

Oleh Mohd Hoesni Rahmat
Sumber: BHarian [2013/02/09]

Catatan:
Bagi yang beragama islam, eloklah memperbanyakkan amalan yang mendekatkan diri dengan Allah SWT. Perbanyakkan melakukan solat sunat, berdoa dan membaca al-Quran.

2 comments:

Dr Akbar Abdullah berkata...


Artikel yang menarik mengenai masalah kemurungan yang kian melanda rakyat Malaysia terutamanya golongan wanita. Statistik ini kian meningkat disebabkan tahap sosio-ekonomi yang semakin mencabar dan hubungan kekeluargaan yang tidak rapat. Pada pendapat saya, masalah kemurungan ini sebaik-baiknya dirawat dengan kaedah-kaedah yang tidak melibatkan penggunaan ubat psikiatrik seperti mengadakan sesi kaunseling dan sebagainya. Ubat psikiatrik hanya diberi sekiranya masalah pesakit telah menjadi serius seperti ada perasaan membunuh diri atau mencederakan orang lain dan sebagainya.

Warren berkata...

Aktiviti yang disenaraikan memang boleh membantu pesakit kemurungan untuk relaks dan menenangkan hati mereka.