Tema Hari Kemerdekaan ke 54 tahun 2011 adalah “1Malaysia : Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera”.
Tema Hari Kemerdekaan ke 53 tahun 2011 adalah “1 Malaysia Menjana Transformasi”.
Sudah berapa tahun Jalur Gemilang berkibar di tanah air ini?
Kebanyakan rakyat Malaysia akan menjawab sudah lima puluh empat tahun. Tentunya jika dikira berdasarkan sambutan Hari Kebangsaan negara pada 31 Ogos 2011, yang dirayakan rakyat Malaysia sebagai ulang tahun negara merdeka daripada jajahan British.
Hakikatnya Jalur Gemilang dengan 14 jalur merah putih, bulan dan bintang empat belas pecahan berwarna kuning yang berlatar belakang warna biru di satu sudut ini, sudah berkibar tujuh tahun sebelum merdeka lagi (atau dengan kata lain seawal tahun 1950)
Maksud Warna Dan Corak Dalam Bendera
Warna-warna simbolik itu membawa maksud tersendiri. Empat belas jalur merah dan putih melintang yang sama lebarnya menandakan keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri dan kerajaan persekutuan, warna biru tua di atas sebelah kiri yang mengandungi anak bulan, ialah lambang agama Islam, agama rasmi negara.
Bintang pecah empat belas pula ialah tanda perpaduan 13 buah negeri dan kerajaan persekutuan.
Warna kuning pada anak bulan dan bintang ialah warna Diraja bagi Raja-Rraja Melayu.
Bendera kebangsaan dicipta daripada satu pertandingan pada November 1949.
Enam bulan selepas itu Raja Britain, King George ke-VI mengarahkan bendera itu dikibarkan sebagai bendera baru Persekutuan Tanah Melayu pada 26 Mei 1950.
Beberapa pengubahsuaian dilakukan terhadap corak asal bendera ini sehinggalah secara rasminya ia dinamakan Jalur Gemilang; lambang kebanggaan negara pada 1997, ketika negara berusia 40 tahun.
Memiliki Bendera.
Ramai pula yang bila ditanya sama ada mempunyai Jalur Gemilang dalam simpanan mereka, mengakui sekurang-kurangnya mempunyai sehelai sebagai simpanan peribadi di rumah.
"Saya memang ada Jalur Gemilang, malah saya ada tiga bendera," kata seorang pesara kerajaan.
Yussof Ahmad yang menetap di Sungai Buloh berbangga kerana setiap hari beliau mengibarkan tiga bendera pada tiang di halaman rumahnya iaitu Jalur Gemilang, bendera negeri Selangor (sebab beliau menetap di Selangor) dan Perak (negeri kelahiran).
Kenapa perlu beli bendera setiap tahun? Itu yang ditanya Abdul Rahman Zainuddin, dari Kuching, Sarawak, sebab beliau lebih suka membuat bendera sendiri, mewarnakan kain putih dengan warna Jalur Gemilang.
"Usah beli, buat saja. Cari kain putih yang tebal dan warnakan," katanya dan baginya bendera yang dibuat sendiri akan lebih dihargai, disimpan dengan lebih baik selepas digunakan kerana bendera buatan sendiri mendatangkan kebanggaan kepada pembuat serta pemiliknya, setiap kali ia dikibarkan.
BANGGA DENGAN JALUR GEMILANG
Harga sehelai Jalur Gemilang yang berukuran lebih kurang 1.5 meter x 1 meter kini tidak lebih daripada RM15 manakala yang bersaiz kecil untuk hiasan pada kenderaan berharga tidak lebih daripada RM5 satu, bergantung kepada kualitinya.
Jika harga bendera tidak mahal, kenapa begitu sukar untuk setiap orang membeli dan memilikinya? Seperti kata Voon Miaw Ping, bukan perlu dibeli selalu.
"Saya guna semula yang sudah ada di rumah. Semua warganegara Malaysia sepatutnya ada sehelai Jalur Gemilang di dalam simpanan mereka, menghairankan kalau tidak ada," tegas Voon.
Kebanggaan memilik Jalur Gemilang bukan sepatutnya satu trend tetapi sudah sedia tersemat di sanubari. Setiap kali Hari Kebangsaan dan setiap kali program kibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kemerdekaan, masing-masing rakyat sudah sepatutnya bersedia mengeluarkan bendera masing-masing.
Tidak perlu menunggu bendera percuma yang diagih-agihkan, tidak perlu mempersoal harga sehelai Jalur Gemilang.
Adila Salim, 19 merasakan semangat merdeka biasanya membara bila bulan perayaan kemerdekaan dilancarkan.
"Saya sokong sekiranya Jalur Gemilang dapat kita kibarkan setiap hari untuk sepanjang tahun dan bukan untuk minggu-minggu sebelum sambutan ulang tahun kemerdekaan saja," kata Adila dengan nada bangga.
Pelajar institut pengajian tinggi swasta ini berkata memang tidak dinafikan semangat patriotik seorang warganegara lebih menyerlah dan hangat dirasai ketika kerancakan sambutan bulan kemerdekaan.
SIMPAN BENDERA
Bendera kebangsaan merupakan simbol kedaulatan sesebuah negara. Disebabkan itu, mengikut amalannya, bendera dikibarkan tinggi. Upacara mengibar dan menurunkan bendera juga dijalankan dengan begitu teliti dan penuh istiadat kerana kita menghormati bendera kemegahan negara.
Bagi mereka yang menghargai kedaulatan ini, seperti Zulhail Saleh, beliau tidak suka dengan idea mengibarkan bendera kecil di kenderaan kerana sudah banyak yang beliau lihat, bendera yang jatuh dari kenderaan dilanyak, dipijak, dan dibiarkan begitu sahaja di jalan raya atau kaki lima.
"Mana maruah kita, di mana letaknya rasa bangga dan hormat kita kepada Jalur Gemilang?" tanya beliau penuh emosi.
Oleh itu beliau menyarankan supaya semua pihak membiarkan pengibaran Jalur Gemilang ini dilakukan secara jujur, dengan niat suci yang datang dari hati yang akan menimbulkan rasa insaf apabila setiap kali Jalur Gemilang dikibarkan.
"Kita harus berasa bangga yang kita anak bertuah di bumi Malaysia," katanya.
Perasaan beliau dikongsi seorang pelajar universiti, Zahirah Wahidin:
"Kebanyakan orang tidak menyimpan Jalur Gemilang yang mereka miliki di tempat yang sesuai. Pernah saya diberitahu bendera koyak pun dipasang pada tiang bendera, ada yang ditinggalkan reput begitu sahaja, sehinggalah tiba hari kebangsaan tahun depan.
"Semangat patriotisme harus dari hati, secara ikhlas. Ia tidak terletak pada banyak mana bendera digantung di rumah atau dilekatkan pada kereta," katanya.
Jalur Gemilang kini dijual di beberapa tempat termasuk stesen minyak menjelang sambutan bulan kemerdekaan.
KIBARKAN JALUR GEMILANG
Majlis Pelancaran 'Kibar Jalur Gemilang' peringkat kebangsaan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari Rabu 27 Julai 2011 di KL Sentral.
Pelancaran ini diharap akan menggerakkan semua pihak, jabatan kerajaan, badan korporat dan orang awam untuk mengibarkan Jalur Gemilang di bangunan dan premis mereka, pada kenderaan dan sebagainya untuk menyemarakkan lagi semangat menghargai kemerdekaan yang dikecapi sejak 1957.
Tahun 2011 ini, lebih 48 buah syarikat swasta sudah memberikan komitmen menyumbang ke arah menjayakan sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-54, bersama warga Malaysia dan mengibarkan Jalur Gemilang.
Sejumlah 6,000 Jalur Gemilang dijangka akan dikibarkan semasa pelancaran kempen itu yang bakal berlangsung sehingga 30 Sept 2011.
Usaha mencantikkan bangunan kerajaan, awam dan swasta dengan bendera dan pencahayaan bulan kemerdekaan juga sedang dilakukan pelbagai pihak.
Semoga semaraklah jiwa merdeka kita dan berkibar megah Jalur Gemilang di serata pelusuk tanah air.
MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
Oleh Hazlinda Hamzah
Sumber: BERNAMA
2 comments:
teruk sungguh diriku kerana tak simpan bendera langsung
mama tunz ada byk jalur gemilang..
Catat Ulasan