15 Mac 2013
Masjid Jamek Kuala Lumpur
Kegemerlapan cahaya Masjid Jamek Kuala Lumpur pada waktu malam menyerikan keindahan ibu kota.
MASJID merupakan tempat ibadat umat Islam, di mana sahaja walaupun berada di kawasan majoriti penduduknya bukan beragama Islam, rumah ibadah tersebut tetap menjadi tumpuan aktiviti masyarakat. Hal ini termasuklah aktiviti penyebaran syiar Islam.
Lebih-lebih di negara Islam termasuk Malaysia sendiri, masjid telah memainkan peranan penting dalam memakmurkan dan menyatukan perpaduan umat Islam sejak Islam bertapak di negara ini hampir ribuan tahun yang lalu.
Sekalipun negara berkembang pesat, pembangunan insaniah tidak pernah diabaikan oleh kerajaan selama ini termasuklah pembangunan masjid. Sehubungan itu, kewujudan Masjid Jamek Kuala Lumpur di tengah pembangunan ibu kota telah menjadi bukti bahawa Islam bertapak kukuh di negara ini.
Warga kota khususnya telah mengenali Masjid Jamek Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Tun Perak di samping kedudukannya berada antara Sungai Gombak dan Sungai Klang serta menjadikannya kedudukan paling strategik untuk tumpuan orang ramai.
Rumah ibadat berkenaan dibina pada tahun 1909 merupakan salah satu di antara masjid yang tertua di Kuala Lumpur. Pembinaannya direkabentuk dan diselia oleh Pemangku Arkitek Kuala Lumpur, A.B Hubback yang pernah bertugas di Jabatan Kerja Awam di India. Oleh kerana itu, senibina masjid itu bercirikan senibina Monghul dan berdasarkan reka bentuk sebuah masjid di India Utara.
Masjid Jamek
Mengikut fakta, pihak British ketika itu membina Masjid Jamek Kuala Lumpur berhampiran dengan pusat pentadbiran iaitu Bangunan Sultan Abdul Samad bagi memudahkan kakitangan kerajaan beragama Islam mengerjakan solat lima waktu dan solat Jumaat.
Upacara perletakan batu asas pembinaan masjid itu telah dilakukan pada 23 Mac 1908 dan disempurnakan pembukaannya oleh Sultan Selangor, Sultan Alauddin Sulaiman Shah pada 23 Disember 1909.
Seni bina masjid tersebut menjadikan ia sebagai mercu tanda yang kemudiannya berkembang sebagai nadi bandar raya Kuala Lumpur. Masjid Jamek Kuala Lumpur merupakan tempat utama bagi solat Jumaat dan pusat aktiviti Islam sehinggalah terbinanya Masjid Negara pada tahun 1967.
Oleh kerana kedudukannya dihimpit oleh Sungai Klang dan Sungai Gombak, Masjid Jamek Kuala Lumpur tidak dapat diperbesarkan. Malah para jemaah yang mengambil wuduk, perlu melakukannya di bucu pertemuan sungai. Beberapa lapis tangga dibina ke dalam sungai untuk memudahkan orang ramai mengambil air sembahyang.
Reka bentuk masjid ini dibuat mengikut reka bentuk tradisional India Utara dengan dewan solat terbuka ke arah laman tertutup dan diapit dengan dua menara serta beberapa menara lebih kecil. Kubah bebawang di kemuncak dewan solat dan di kemuncak menara menyerupai seni bina Moghul.
Masjid Jamek Kuala Lumpur adalah contoh hasil arkitek warga British yang membabitkan gabungan unsur Moor dan Mughal. Belang merah dan putih dinding batu sama di luar Masjid Jamek Kuala Lumpur seperti seni bina Cordoba, Sepanyol. Persamaan lain boleh dilihat pada gerbang bertiang dalam bentuk berpetak dan perincian dengan selang jalur batu-bata dan marmar.
Tumpuan
Selain terletak antara Sungai Gombak dan Sungai Klang, kemudahan awam transit aliran ringan (LRT) berhampiran telah memberi kesenangan kepada orang ramai untuk singgah menunaikan ibadah di Masjid Jamek Kuala Lumpur.
Bahkan dikelilingi pusat aktiviti ekonomi dan pentadbiran kerajaan, para pekerja yang beragama Islam mengunjungi Masjid Jamek Kuala Lumpur bagi melakukan solat Jumaat pada setiap minggu.
Maka dengan kedudukannya sebagai tempat tumpuan orang ramai, sesuai dengan namanya iaitu 'Jamek' berasal daripada bahasa Arab merupakan perkataan jamak bermaksud banyak atau ramai.
Sehingga hari ini, Masjid Jamek Kuala Lumpur tetap menjadi kunjungan termasuk para pelancong asing. Oleh demikian, bagi menaikkan martabat institusi berkenaan sebagai rumah ibadat umat Islam khususnya warga kota, Masjid Jamek Kuala Lumpur telah ditutup sementara waktu sehingga Mac ini untuk kerja-kerja pengubahsuaian dan penambahbaikan.
Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
Sumber: Utusan
Labels:
Indahnya Islam
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments:
Alhamdulillah, saya pernah berhenti untuk bersolat di masjid ini.
Catat Ulasan