20 Mac 2013

Sambutan Hari Wanita, Solidariti Mencapai Kemajuan



Warna ungu, yang diperkenalkan pada logo Hari Wanita Antarabangsa, menjadi simbol bagi wanita seluruh dunia. Hari Wanita Antarabangsa disambut pada 8 Mac setiap tahun.

Ia melambangkan kekuatan, semangat serta kejayaan kaum hawa yang sehingga kini masih berjuang menuntut hak dan peluang sama rata dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, kerjaya mahupun pembuat keputusan.

Membahagikan di antara kerjaya untuk membantu menyara keluarga dan diri dengan peranannya sebagai ibu mahupun isteri di rumah, bukanlah perkara yang mudah.

Hingga kini ramai dalam kalangan wanita yang berpendidikan tinggi di Malaysia akhirnya memilih untuk menjadi suri rumah kerana ingin menumpukan tanggungjawab terhadap membesarkan anak.


Ia berpunca daripada perkara asas iaitu kebimbangan tentang keselamatan anak yang ditinggalkan di pusat-pusat jagaan selain kos perkhidmatan yang tinggi untuk menghantar anak ke pusat jagaan atau taman didikan awal.

Faktor berkenaan menjadi antara penyebab kepada halangan dan cabaran utama melahirkan wanita bekerjaya apabila hanya 47.9 peratus sahaja wanita di Malaysia yang bekerja.

Keadaan ini tidak seiring dengan jumlah pelajar wanita di institutusi pengajian tinggi awam dan swasta yang kini mencapai 65 peratus berbanding lelaki.



HALANGAN WANITA

Masalah ini disedari kerajaan dan melalui Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), usaha giat dilakukan untuk memastikan sasaran 55 peratus wanita bekerjaya menjelang 2015 dalam Rancangan Malaysia Ke-10 dicapai.

Harus diingat bahawa melabur untuk wanita adalah tindakan yang bijak, kata Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Seri Dr Noorul Ainur Mohd Nur.

Ujarnya, populasi wanita di Malaysia yang kini hampir 50 peratus tidak boleh dipinggirkan kerana mereka adalah penggerak ekonomi yang penting.

Program-program kepekaan gender kini dijalankan secara berterusan dengan memberi perhatian terhadap undang-undang yang membawa kepada unsur-unsur diskriminasi terhadap wanita.

Beliau berkata Isu ini (unsur-unsur diskriminasi) jika tidak ditangani sewajarnya boleh menjadi penghalang untuk memperkasakan wanita dalam semua bidang ekonomi, politik dan sosial.

Dasar kerajaan, yang peka terhadap keperluan wanita, akan membuka peluang lebih luas kepada wanita mengembangkan potensi dan seterusnya dapat turut serta dalam arus perdana pembangunan negara.

"Amat sedih apabila wanita terutama yang mempunyai pendidikan tinggi tidak menggunakan kemahiran dan ilmu yang dimiliki sebaliknya memilih untuk menjadi suri rumah.

"Memahami keadaan bagi menggalakkan wanita bekerjaya, kerajaan membuka banyak pusat asuhan kanak-kanak (TASKA) di pejabat-pejabat kerajaan terutama di kementerian agar wanita boleh bekerja dengan hati yang tenang apabila dekat dengan anak mereka," katanya.

Bagaimanapun, usaha itu disambut dingin pihak swasta yang masih tidak melihat kepentingannya dengan alasan ketiadaan tempat yang sesuai.

"Saya sendiri lihat banyak syarikat yang menyediakan tempat khas untuk menghisap rokok, jadi apalah salahnya turut sediakan TASKA untuk anak yang menjadi generasi masa depan negara.

"Insentif termasuk perlepasan cukai turut diberi kepada pihak swasta oleh kerajaan untuk membuka TASKA di pejabat," katanya yang akan terus bekerjasama dengan pihak swasta bagi mewujudkan lebih banyak lagi TASKA di tempat kerja.

MENINGKATKAN TARAF WANITA

Beberapa program membangunkan modal insan yang berdaya saing dalam kalangan wanita terus ditingkatkan terutama untuk mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus wanita sebagai pembuat dasar.

Noorul Ainur berkata dalam sektor perkhidmatan awam, sekurang-kurangnya 33 peratus pembuat dasar melibatkan wanita namun dalam sektor swasta jumlahnya masih rendah.

"Kita telah mulakan 'Board Director Programme' untuk melatih wanita yang berkelayakan diberi peranan penting terutama dalam syarikat kaitan kerajaan (GLC).

"Tidak guna kita melatih dan melahirkan ramai wanita yang berkeupayaan menjawat jawatan tinggi jika peluang tidak diberi kepada mereka," katanya. Menurut beliau kementerian melatih 200 wanita dalam program itu tahun lepas.

Kementerian juga mengadakan pelbagai program memperkasakan wanita agar mencapai potensi sepenuhnya dalam pelbagai bidang. Ini termasuklah inisiatif kerajaan dalam aspek memberi latihan bagi menjana ekonomi wanita melalui program 1Azam, yang melahirkan 3,500 usahawan wanita seluruh Malaysia.

"Kita menyediakan program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (I-Kit) khusus bagi memperkasakan ibu tunggal melalui latihan meningkatkan ekonomi seperti perniagaan kecantikan dan spa, pengurusan rumah, perniagaan agro dan pelancongan," katanya. Seramai 2,777 ibu tunggal telahpun mendapat manfaat melalui program itu.



PELANCARAN 1MALAYSIA KOMUNITI PERWANI

Peranan wanita tidak kira di bandar mahupun luar bandar penting dalam menggerakkan komuniti setempat. Di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan, 1Malaysia Komuniti Perkumpulan Wanita (PERWANI) diperkenalkan sebagai platform terbaik membentuk kelompok wanita di Malaysia.

Noorul Ainur berkata program itu menyasarkan 100,000 wanita seluruh negara sebagai permulaan untuk melaksanakan program-program tranformasi komuniti yang dirancang.

"Kita akan kembangkan lagi program ini untuk melibatkan lebih ramai wanita. Untuk permulaan 10 hingga 20 orang bagi setiap kumpulan akan diberi sedikit peruntukan bagi menjalankan projek komuniti setempat.

"Mungkin mereka boleh mulakan dengan projek masakan, gubahan atau apa sahaja yang boleh membantu meningkatkan ekonomi wanita dalam komuniti itu," katanya.

PERWANI boleh digerakkan untuk membantu meningkatkan keselamatan kejiranan dengan menjadi mata dan telinga di kawasan komuniti masing-masing.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam program '1 Million Women Purple Walk' sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa di Putrajaya, melancarkan program PERWANI itu pada hari Ahad 17 Mac 2013.

LAUTAN UNGU DI SELURUH NEGARA

Walaupun terpaksa ditunda daripada tarikh asal 10 Mac, 2013 acara berjalan kaki, '1 Million Women Purple Walk' menyaksikan lautan ungu di lokasi-lokasi terpilih seluruh negara.

Menyasarkan penglibatan seramai satu juta wanita seluruh negara untuk berjalan kaki sejauh 1.5 kilometer, ia melambangkan solidariti wanita terhadap usaha kerajaan membangunkan wanita dan meraikan kejayaan wanita dalam pelbagai bidang yang dicapai selama ini, katanya.

Selain itu, ia bagi menyemarakkan lagi gaya hidup sihat dalam kalangan wanita Malaysia yang sentiasa sibuk untuk membahagikan masa di antara kerjaya dengan keluarga.

Di Putrajaya acara itu berlangsung di dua lokasi iaitu di Dataran Putra di hadapan Masjid Putrajaya dan di Dataran Gemilang di hadapan bangunan KPWKM dan berakhir di hadapan Istana Kehakiman.

Sementara itu di peringkat negeri pula diadakan di lokasi yang ditetapkan di seluruh negara. Antaranya di Universiti Teknologi Mara (Selangor), perkarangan Stadium Sultan Abdul Halim (Kedah), perkarangan Dataran Dato' Sheikh Ahmad (Perlis), Dataran Lembah Sireh (Kelantan), Dataran Syahbandar (Terengganu), Stadium Paroi (Negeri Sembilan) dan Dataran Labuan (Wilayah Persekutuan Labuan).

Di peringkat negeri pula telah diadakan di Kota Iskandar, Johor Baharu (Johor), Padang FA, Jerantut (Pahang), Politeknik Seberang Prai (Pulau Pinang), Dataran Bandaraya Kota Kinabalu (Sabah), bangunan MITC Ayer Keroh (Melaka) dan Taman Pertemuan-Dewan Suarah (Sarawak).

Mereka yang menyertai program ini hadir ke lokasi yang ditetapkan di setiap negeri dengan memakai apa juga yang berwarna ungu sama ada t-shirt, seluar, tudung atau kasut.

Oleh Kurniawati Kamarudin
Sumber:- BERNAMA

p/s:
Solidariti = Perpaduan.

1 comments:

MyFreeMinded berkata...

Tahu wujudnya hari wanita tapi tak tahu ada sambutannya. :)