03 Mei 2014

KLIA2 ~ Mesra Alam Dan Pengguna



Ianya disifatkan sebagai detik yang penting bagi negara apabila penerbangan pertama mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada jam 12.05 pagi Jumaat, 2 Mei, 2014.

Penerbangan sulung mendarat di KLIA2 dengan ketibaan pesawat Malindo Air OD1027 dari Kota Kinabalu adalah tanda bermulanya operasi lapangan terbang tersebut. KLIA2 adalah terminal tambang rendah terbesar di dunia dengan kemudahan bertaraf antarabangsa bagi syarikat penerbangan tambang rendah.

Semestara itu, pesawat pertama berlepas dari lapangan terbang itu ialah Cebu Pacific Airways (5J502) ke Manila kira-kira 3.15 pagi hari yang sama. [Sumber: BHarian]


Penerbangan pertama AirAsia mendarat di klia2

Penerbangan pertama AirAsia mendarat di klia2

AirAsia dengan rasminya menandakan kehadirannya di lapangan terbang baharu, klia2, dengan ketibaan penerbangannya dari Bandaraya Ho Chi Minh dengan penerbangan AK539 tiba pada jam 3.40 petang 8 Mei, 2014.

3,550 daripada kakitangan operasi AirAsia dan 70 pesawat (AirAsia dengan 54 pesawat Airbus A320 dan AirAsia X dengan 16 pesawat Airbus A330) mula berpangkalan di lapangan terbang KLIA2 mulai 9 Mei, 2014.

Syarikat AirAsia itu telah beroperasi di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) sejak lapan tahun lalu. [Sumber: BHarian]

Mengapa KLIA2

"Saya rasa seperti berada di terminal bas Pudu yang lama," ujar Nur Fauziani Zainal Abidin, 26, menceritakan pengalamannya mengenai Terminal Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) ketika mula-mula tiba di lapangan terbang itu suatu ketika dahulu. Baginya keadaan di LCCT dilihat saling tidak tumpah seperti terminal bas yang sesak dengan pengunjung sehingga menimbulkan rasa tidak selesa.

Dia berpendapat, menambahbaik taraf lapangan terbang di negara ini adalah satu keperluan meskipun ia hanya sebuah terminal penerbangan tambang murah. Barangkali begitulah juga tanggapan kebanyakan pengguna yang menggunakan khidmat kemudahan LCCT.

Ia dianggap sesak dengan jumlah pengunjung yang terlalu ramai pada satu-satu masa selain kemudahan yang dirasakan kurang mesra pengguna. Perkara itu diakui oleh Pengurus Besar Kanan (Operasi) Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Datuk Azmi Murad.

Menurut beliau, kapasiti pengunjung di LCCT pada tahun 2013 mencecah sehingga 22 juta orang berbanding kapasiti asal sebanyak 15 juta.

"Disebabkan pertumbuhan pengunjung yang terlalu pesat itu, kami merasakan sudah tiba masanya untuk kita membina sebuah lapangan terbang baharu untuk penerbangan tambang murah yang lebih besar bagi menampung skala tersebut.

"Pada masa yang sama, untuk memenuhi keperluan syarikat-syarikat penerbangan tambang murah di negara ini yang perlu menambahkan kekerapan penerbangan dan laluan destinasi mereka setiap hari," ujarnya KLIA2 boleh menampung 45 juta pengunjung berbanding LCCT sebanyak 15 juta penumpang setahun.

Kerja-kerja pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) bermula sejak lima tahun lalu bagi menggantikan LCCT yang dibina pada 2006.

Setelah melalui beberapa episod kontroversi, KLIA2 akhirnya menjadi mercu tanda terbaharu bagi industri penerbangan dan pelancongan negara ini. Terminal penerbangan yang terletak kira-kira 1.5 kilometer (km) dari KLIA memulakan operasinya pada 2 Mei 2014. KLIA2 juga menyediakan pelbagai lot kedai barangan berjenama popular tempatan dan antarabangsa selain deretan restoran-restoran terkemuka.

KLIA2 dibina dengan kos sebanyak RM4 bilion mampu mengendalikan sehingga 45 juta penumpang setahun berbanding Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) yang mengendalikan kira-kira 15 juta penumpang setahun. [Kosmo]

KLIA2 adalah pusat operasi syarikat penerbangan tambang murah terkenal seper­ti Malindo Air, Lion Air dan Cebu Pacific Air dan tidak terkecuali Syarikat penerbangan utama di KLIA2 iaitu AirAsia.


CIRI bangunan mesra alam dan lapangan terbang lestari diketengahkan melalui pelbagai kemudahan berkonsep hijau.

Teknologi hijau

"Perkara utama yang paling membanggakan kami dalam pembinaan KLIA2 ialah konsep mesra alam dan bangunan hijaunya yang menggunakan teknologi baharu serba canggih," ujar Azmi menjelaskan ciri-ciri unik yang terdapat pada terminal tersebut.

Menurutnya, bangunan tersebut direka sedemikian bagi tujuan penjimatan tenaga elektrik dan air selain memulihara alam sekitar daripada tercemar dengan pelepasan sisa-sisa buangan yang tidak diingini.

Antara ciri-ciri tersebut termasuklah pengumpulan air hujan bagi tujuan landskap dan sistem mengepam tandas, penggunaan cahaya matahari dan sensor bagi mengurangkan kadar kegunaan tenaga, pemasangan tingkap khas serta penggunaan bahan-bahan pembinaan bagi pengurangan haba dalam bangunan.

Mesra Pengguna

Meninjau sistem bagasi yang terdiri daripada 128 kaunter, Azmi berkata, sistem daftar masuk bagasi direka secara bersepadu.

"Dengan sistem bersepadu yang digunakan, semua syarikat penerbangan boleh berkongsi kaunter dengan hanya perlu log masuk ke dalam sistem komputer yang disediakan.

"Bagi penumpang pula, mereka hanya dikehendaki mendaftar masuk sekali sahaja di kaunter tersebut dan boleh terus mendapatkan pas perlepasan tanpa perlu melalui pemeriksaan bagasi terlebih dulu seperti kebiasaannya," ujar beliau.

Tambah Azmi, selepas prosedur tersebut, pengunjung boleh terus masuk ke dalam ruang pelepasan mengikut jenis penerbangan, sama ada domestik atau antarabangsa.

Selepas melalui kaunter imigresen dan kastam, mereka hanya perlu berjalan menuju ke bangunan satelit melalui satu lagi binaan kebanggaan negara iaitu jambatan udara.

Berjalan menyelusuri jambatan udara sepanjang 300m dan setinggi 16.24m dari paras laluan apron iaitu laluan pesawat di landasan itu, Azmi menerangkan, ia merupakan kemudahan yang pertama seumpananya di Asia.


MENARA Kawalan Trafik Udara, Tower West diiktiraf sebagai yang tertinggi di dunia oleh Guinness World Records.

Keistimewaan

"Jika di KLIA, pengunjung dihubungkan dari bangunan terminal utama ke bangunan satelit menggunakan aerotren, di KLIA2, mereka boleh berjalan menggunakan jambatan udara ini sambil menikmati pemandangan ketiga-tiga landasan yang ada.

"Istimewanya jambatan udara ini ialah, ia boleh memuatkan dua pesawat sekali gus untuk melintas di bawahnya dan pastinya itu akan memberikan satu pengalaman menarik buat pengunjung kerana mereka seolah-olah berjalan di atas bumbung pesawat," katanya.

Dengan 68 pintu pelepasan, KLIA2 turut bercirikan mesra pengunjung termasuklah orang kelainan upaya (OKU) serta warga emas melalui kemudahan lif serta laluan gerak di sepanjang perjalanan.

Penumpang pelepasan dan ketibaan juga tidak akan bertembung kerana laluannya telah dibahagikan antara bahagian pelepasan di aras tiga serta ketibaan di aras dua.

Jarak dari pintu masuk utama ke pintu pelepasan paling hujung ialah 1.4km. "Jadi, pastikan jangan terlewat tiba kerana awak pasti akan kepenatan berlari jika penerbangan awak adalah di pintu 68," ujarnya sambil berseloroh.

Penginapan

Hotel Sama-Sama Express yang terletak di KLIA2 merupakan hotel yang disediakan untuk penumpang yang ingin berehat seketika bagi tujuan transit. Apa yang menarik, rekaan dalaman hotel tersebut serba mewah dan eksklusif.

Menawarkan 70 buah bilik pelbagai saiz dan jenis yang berbeza, keluasan sebuah bilik hotel tersebut antara 17 meter persegi hingga 48 meter persegi.

Memasuki salah sebuah bilik yang menghadap landasan pesawat dan pintu perlepasan, tetamu yang menginap berpeluang menjamu mata dengan pemandangan pesawat yang lalu-lalang.

Letak kenderaan

Seorang pengunjung, Idrul Fathi Idris, 49, merasakan pembukaan KLIA2 tepat pada masanya. "Dengan keadaan LCCT yang semakin sesak, kita memang memerlukan sebuah lapangan terbang yang lebih besar dan moden bagi memenuhi kehendak orang ramai.

"Dengan kawasan letak kereta berbumbung berkapasiti 6,000 petak, pengunjung tidak akan menghadapi masalah lagi untuk meletakkan kenderaan mereka," ujar pekerja sektor swasta tersebut.

Terminal yang menelan belanja sebanyak RM4 bilion itu bakal menjadi kebanggaan rakyat negara ini, hab pelancongan dan pusat beli-belah terkemuka.

Sumber: Kosmo


klia2 memenuhi keperluan industri penerbangan

Rintangan Pembinaan

Pelan asal klia2 umpamanya diubah beberapa kali manakala saiz terminal juga diperbesarkan selari dengan permintaan daripada pihak-pihak berkepentingan seperti syarikat penerbangan atau agensi berkaitan.

AirAsia yang bakal menjadi syarikat pener­bangan utama di klia2 umpamanya meminta sistem pengendalian bagasi ditukar daripada semi automatik kepada automatik sepenuhnya.

AirAsia pada mulanya juga dilaporkan enggan menggunakan titi udara (aerobridge) untuk menjimatkan kos operasi, walaupun sesetengah pihak melihat kemudahan itu merupakan salah satu kelengkapan penting yang perlu ada pada sebuah lapangan terbang moden bertaraf dunia.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili orang kurang upaya (OKU) segera membantah keputusan tersebut, mereka malahan meminta Cho Ha yang merupakan Menteri Pengangkutan ketika itu untuk campur tangan mendesak AirAsia menggunakan titi udara bagi kemudahan penumpang OKU.

Memenuhi Piawaian

Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) pula mengesahkan bahawa klia2 telah memenuhi semua piawaian keselamatan yang ditetapkan di mana penumpang boleh menggunakan terminal ini tanpa berasa bimbang.

Pembukaan klia2 sememangnya sesuatu yang ditunggu-tunggu terutamanya kerana LCCT yang mempunyai kapasiti 15 juta penumpang setahun telah beroperasi dalam keadaan melebihi kapasiti asalnya.

Tidak dilupakan, jumlah penumpang terminal utama KLIA juga semakin bertambah sehingga memaksa MAHB merancang pembinaan bangunan satelit yang baharu.

KLIA yang terdiri daripada terminal utama dan LCCT secara keseluruhannya boleh menampung 40 juta penumpang setahun tetapi jumlah penumpang udara yang dikendalikan lapangan terbang ini telah mencecah 47 juta.

Terminal klia2 sendiri mempunyai kapasiti menampung 45 juta penumpang setahun dan jika ditambahkan dengan kapasiti terminal utama KLIA sebanyak 25 juta penumpang, maka KLIA melalui terminal utama dan klia2 kini mampu mengendalikan 70 juta penumpang setahun.

Jika terminal utama menjadi sesak dengan ketibaan lebih banyak pesawat dan penumpang, sebahagian pesawat tersebut juga boleh dialihkan ke klia2.


PARA penumpang tempatan dan antarabangsa beratur di kaunter daftar masuk di KLIA2 pada hari pertama terminal baharu itu beroperasi.

Berdaya Saing

Industri penerbangan bertambah rancak dengan kemunculan penerbangan tambang murah di mana AirAsia merupakan pene­raju dalam bidang ini. Pembukaan klia2 boleh dikatakan tepat pada masanya untuk menampung keperluan industri yang nampaknya terus berkembang pesat.

Sememangnya KLIA kini semakin mencipta nama sebagai hab pengangkutan udara serantau yang berdaya saing dengan Lapangan Terbang Changi di Singapura dan Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok. Kedua-dua­nya merupakan terminal penerbangan antarabangsa terkemuka di Asia Tenggara. Pembukaan terminal klia2 sudah pastinya menyuntik kekuatan baharu ke dalam KLIA.

Namun klia2 bukan setakat merupakan sebuah lapangan terbang. Gateway@klia2 umpamanya merupakan sebuah pusat membeli-belah yang menempatkan 110 kedai yang menjual makanan dan minuman serta barang-barang berfesyen. Hab pengangkutan yang juga terletak di Gateway@klia2 pula menyediakan kemudahan pengangkutan ERL, bas dan teksi.

"Kini kami lebih bijak. Kami akan memastikan banyak ruang komersial disediakan. Tidak banyak lapangan terbang yang ada pusat membeli-belah di hadapannya," kata Ketua Pegawai Kewangan MAHB, Faisal Mansor ketika mengulas mengenai klia2.

Oleh THOMAS CHONG
Sumber: Utusan



klia2 Hab generasi akan datang

klia2 akan menjadi satu-satunya terminal mega khusus di dunia yang memberikan perkhidmatan kepada industri penerbangan kos rendah.

Lapangan terbang ini direka bentuk dengan mempertimbangkan aspek kefleksibelan untuk membolehkan klia2 berkembang bagi menampung trend pertumbuhan dan model operasi syarikat penerbangan pada masa hadapan.

Dalam pada itu, pembukaan lapangan terbang ini akan dapat menyokong industri penerbangan global yang sentiasa berkembang dan bersifat dinamik.

klia2 dibina khas untuk menampung 45 juta penumpang setahun dengan saiz terminal empat kali ganda lebih besar daripada Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT).

Tidak ketinggalan, terdapat pilihan baharu berinovatif dengan kemudahan terkini di terminal penerbangan kos rendah menawarkan pengalaman beli-belah dan menjamu selera yang segar kepada para penumpang dan pengunjung. Mempunyai matlamat untuk merevolusikan pengalaman beli-belah di lapangan terbang, klia2 mempunyai ruang perniagaan runcitnya seluas 35,000 meter persegi. Bakal menjadi syurga beli-belah untuk para pengembara dan pengunjung, klia2 menawarkan pelbagai jenama terkenal dari seluruh pelosok dunia.

Hab pengangkutan

klia2 menampilkan hab elbagai pengangkutan seperti bas, teksi, dan ERL untuk kemudahan penumpang dan juga orang ramai.

Kemudahan lain di situ ialah sistem pengendalian bagasi automatik, zon sokongan, kargo dan kompleks penerbangan domestik dan sebuah kompleks letak kereta yang luas.

Hab peruncitan

Sebanyak 225 buah kedai disediakan di klia2 dan hampir 60 peratus daripada jumlah tersebut ialah peniaga bumiputera. Hab peruncitan klia2 ini merupakan antara projek permulaan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara dalam sektor pemborongan dan peruncitan yang dikawal selia oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Ia dibahagikan kepada dua bahagian iaitu ruang niaga di terminal utama dan ruang niaga di Gateway@klia2 atau dikenali sebagai 'Landside Mall'.

Mesra alam

klia2 menggunakan konsep mesra alam dan bangunan hijaunya menggunakan teknologi baharu serba canggih. Bangunan tersebut direka sedemikian bagi tujuan penjimatan tenaga elektrik dan air, selain memulihara alam sekitar daripada tercemar dengan pelepasan sisa-sisa buangan yang tidak diingini. Antara ciri-ciri tersebut termasuklah pengumpulan air hujan bagi tujuan landskap dan sistem mengepam tandas, penggunaan cahaya matahari dan sensor bagi mengurangkan kadar kegunaan tenaga, pemasangan tingkap khas serta penggunaan bahan-bahan pembinaan bagi pengurangan haba dalam bangunan.

Mesra Pengunjung

Terminal klia2 juga mesra pengunjung termasuklah orang kelainan upaya (OKU) serta warga emas melalui kemudahan lif serta laluan gerak di sepanjang perjalanan.

Penumpang pelepasan dan ketibaan juga tidak akan bertembung kerana laluannya telah dibahagikan antara bahagian pelepasan di aras tiga serta ketibaan di aras dua. Jarak dari pintu masuk utama ke pintu pelepasan paling hujung ialah 1.4 km.

Hotel Sama-Sama Express yang terletak di klia2 merupakan hotel yang disediakan untuk penumpang yang ingin berehat seketika bagi tujuan transit. Apa yang menarik, rekaan dalaman hotel tersebut serba mewah dan eksklusif. Menawarkan 70 buah bilik pelbagai saiz dan jenis yang berbeza, keluasan sebuah bilik hotel tersebut antara 17 meter persegi hingga 48 meter persegi.

Jambatan udara

Selepas melalui kaunter imigresen dan kastam, orang ramai hanya perlu berjalan menuju ke bangunan satelit melalui satu lagi binaan kebanggaan negara iaitu jambatan udara sepanjang 300 meter dan setinggi 16.24 meter daripada paras laluan apron iaitu laluan pesawat di landasan itu. Ia merupakan kemudahan yang pertama seumpananya di Asia.

Jika di KLIA, pengunjung dihubungkan dari bangunan terminal utama ke bangunan satelit menggunakan aerotren tetapi di klia2, orang ramai boleh berjalan menggunakan jambatan udara ini sambil menikmati pemandangan ketiga-tiga landasan yang ada.

Jambatan udara ini boleh memuatkan dua pesawat sekali gus untuk melintas di bawahnya dan memberikan satu pengalaman menarik buat pengunjung kerana mereka seolah-olah berjalan di atas bumbung pesawat.

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
Oleh: Utusan [04052014]

0 comments: