17 April 2013

Kekuatan Jati Diri Bantu Jepun Untuk Segera Bangkit



Negara matahari terbit, Jepun, tidak perlu lagi diperkenalkan kepada umum lantaran kecanggihan teknologi dan kekuatan ekonomi yang dimiliki menjadikan negara singa Asia ini antara kuasa besar dunia.

Walaupun pernah diuji dengan bencana tsunami pada 11 Mac, 2011, yang menggegarkan bahagian timur negara itu dengan gegaran bermagnitud sekuat 8.9 pada skalai Richter, serta pelbagai lagi bentuk malapetaka alam yang lain, ternyata kemusnahan fizikal yang dialami tidak pernah menggoyahkan semangat warga Jepun untuk terus bangkit semula.

Dari mana kekuatan dan semangat ini diperoleh penduduk negara gugusan kepulauan itu yang sentiasa bersemangat untuk memastikan mereka sentiasa berada di barisan hadapan dalam hampir segenap bidang?

Berikut ini dicatatkan sedikit sebanyak gambaran sebagai jawapan daripada persoalan tadi sekaligus turut membuktikan darah kepahlawanan generasi samurai ini masih deras mengalir dalam tubuh penduduk kota Nippon ini.


TOKYO, BANDAR MODEN PENUH PERADABAN

Berada di ibu kota Tokyo, semestinya pemandangan seperti bangunan pencakar langit yang moden akan menjadi tarikan utama pelancong. Namun apa yang lebih menarik perhatian penulis ialah sekalipun berada dalam era kemodenan, peradaban budaya timur yang utuh masih lagi diamalkan masyarakat di sini.

Ternyata kemajuan yang dikecapi Jepun sedikit pun tidak mampu menghakis amalan timur penuh peradaban iaitu sikap hormat menghormati sesama mereka.

Ini terserlah apabila didikan akhlak untuk menghormati orang lain dipraktikkan melalui notis awam yang menyuruh mereka meletakkan telefon bimbit masing-masing pada mod "senyap" semasa menaiki kenderaan awam seperti dalam tren atau kereta api.

Peradaban yang dimiliki juga menjadikan penduduk negara ini insan yang bertanggungjawab kepada alam dan persekitaran dan cinta terhadap kebersihan.

Ketika berada di Jepun, secebis sampah pun sukar ditemui di sini walaupun kemudahan tong sampah awam amat jarang disediakan kerana penduduknya akan membawa balik sampah mereka ke rumah masing-masing.

Malahan amalan mengasingkan sampah untuk dikitar semula juga aktif dipraktikkan dan sekaligus membantu Tokyo kekal bersih sekalipun mempunyai kepadatan penduduk yang agak tinggi.

Kekaguman juga semakin bertambah setelah menyaksikan sendiri bagaimana para pemandu di sini amat mematuhi peraturan jalan raya dan sentiasa menjaga jarak di antara kenderaan masing-masing. Malah mereka turut menutup enjin dan lampu setiap kali berhenti di lampu isyarat.

BELAJAR DARIPADA NIPPON

Maka sewajarnyalah contoh yang baik seperti dari negara timur ini diikuti dan yang pastinya turut memberi manfaat bersama sebagaimana mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad yang telah memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur.

Dasar yang diumumkan pada 1982 adalah usaha kerajaan untuk mengambil contoh dan teladan yang terbaik dari negara Asia yang membangun iaitu Jepun dan Korea dengan mengubahsuaikannya mengikut keadaan di Malaysia secara tidak langsung membantu meninggikan kemajuan negara Malaysia.

Dalam bidang pendidikan di Jepun terutama dalam beberapa bidang ilmu seperti teknologi dan kejuruteraan juga berjaya menarik ribuan pelajar dari seluruh dunia untuk datang belajar di sini.

Kemajuan dalam industri penghasilan komik dan permainan video turut menarik ramai pelajar asing untuk mendalami bidang ini yang adalah satu cabang ilmu yang hanya dianggap sebagai hobi kanak-kanak bagi sesetengah ibu bapa di Malaysia.

Seorang pelajar dari Indonesia, Even Limba, 28, berkata kedatangannya ke Jepun untuk mempelajari kejuruteraan mekanikal dan robotik di Tokyo Design Teknology Centre, Shibuya, Tokyo.

Beliau memilih untuk belajar di sini kerana pusat pengajian berkenaan turut bekerjasama dengan syarikat-syarikat ternama dalam pelbagai jenis projek.

"Ini memberi peluang kepada para pelajar di sini untuk terlibat secara langsung dalam industri dan medan pekerjaan sebenar dan tidak hanya tertumpu dengan silibus pengajian dalam kuliah," beliau berkata.

TULISAN KANJI WAJIB DIPELAJARI

Ketinggian ilmu dan kemantapan ekonomi yang dimiliki oleh Jepun membuatkan negara ini tidak terlalu bergantung kepada negara luar, sebaliknya kebanyakan negara luar yang ingin belajar daripada kemajuan mereka perlu menguasai terlebih dahulu bahasa Jepun.

Even Limba, seperti rakan pelajar asing lain juga perlu terlebih dahulu menuntut di kolej yang menawarkan pengajian bahasa Jepun bagi mempelajari bahasa dan tulisan kanji sebelum dapat meneruskan pengajian mereka dalam bidang yang lain.

Ini berlaku lantaran hampir keseluruhan nota mereka ditulis dalam tulisan kanji namun demi ingin mendalami ketinggian ilmu dari negara ini memaksa para pelajar asing mempelajari bahasa itu terlebih dahulu sebelum mampu menyerap ilmu pengetahuan yang lain.

Tempoh pengajian sekitar dua tahun biasanya diambil oleh para pelajar untuk menguasai bahasa ini dan menariknya bahasa Jepun turut mempengaruhi tatacara mereka ketika bercakap.

Melalui pemerhatian penulis, pelajar asing dari pelbagai warna kulit ini bukan sahaja fasih berbahasa Jepun, namun pergerakan bibir dan gerak badan mereka juga hampir menyerupai orang Jepun.

Tambah menariknya, fesyen para pelajar asing ini pun sedikit dipengaruhi dengan trend golongan muda-mudi Jepun yang penuh warna-warni dan comel.

SEDIA TERIMA PELANCONG

Jelas, tsunami yang melanda negara ini pada dua tahun lepas tidak mampu menggugat Jepun malah ia kini sedia menerima tetamu luar terutama pelancong bagi merancakkan kembali pertumbuhan industri pelancongan mereka.

Di bawah seliaan Japan Tourism Agency dan Japan National Tourism Organisation, negara itu telah menyasarkan untuk menerima seramai 10 juta pelancong pada tahun 2013 ini, melalui kempen yang dijalankan di seluruh dunia.

Malahan sejak 2011, negara ini mencatatkan pertumbuhan menaik dari segi jumlah kedatangan 6.2 juta dan 8.4 juta pelancong masing-masing pada 2011 dan 2012.

Ini memberi gambaran positif kepada Jepun yang kini telah hampir pulih sepenuhnya daripada tragedi gegaran terbabit dan melalui lawatan singkat ke negara ini, penulis mendapati Jepun mempunyai banyak destinasi menarik untuk dikunjungi.

Tidak rugi sekiranya kita merancang untuk melancong ke negara ini, sekalipun memerlukan perbelanjaan yang agak mahal, namun "perbelanjaan untuk melancong tidak akan membuatkan kita miskin, bahkan bertambah kaya dengan pengalaman,".

Pengajaran daripada catatan ini adalah sesuatu kemajuan dan kehebatan yang dimiliki hanya akan dapat kekal sekiranya kesinambungan amalan positif terus dipraktikkan.

Malahan, kekuatan untuk mempertahankan budaya bangsa inilah yang akan menjadi kebanggaan dan simbol kepada kekuatan sesebuah negara.

Oleh Norsyafawati Ab Wahab
Sumber: BERNAMA

2 comments:

MyFreeMinded berkata...

Used to work kat kilang yang ownernya Jepun.. memang dasat diaorang ni kerja, kul 5 pagi dah terpacak kat kilang, kul 10 malam belum tentu dah balik rumah..

Mizz Aiza berkata...

orang jepun memang berdisiplin dan menepati masa..