17 Disember 2013

Kamus Dewan Buah Tangan Terhebat Baha Zain



SELAMA lima tahun dari 1966 sehingga 1970, Datuk Dr. Baharudin Zainal dan pasukannya lebih kurang 15 orang berhempas-pulas bekerja siang dan malam semata-mata mahu menghasilkan sebuah kitab rujukan yang penting bagi umat manusia yang menggunakan bahasa Melayu iaitu Kamus Dewan.

Sebelum Kamus Dewan diterbitkan, penutur dan pengguna bahasa Melayu menggunakan Kamus Umum Indonesia untuk mendapatkan takrifan perkataan.

Bagi penterjemahan bahasa Inggeris, Kamus Wilkinson dijadikan rujukan tetap, kata sasterawan yang lebih dikenali sebagai Baha Zain.


Ketika itu, tiada perisian atau aplikasi memasukkan maklumat dan seterusnya disusun secara automatik seperti sekarang.

Maka, semua perkataan yang ditemui daripada bahan-bahan bacaan seperti surat khabar, majalah dan buku digunting merangkumi set aksara serta ayat. Keratan-keratan tersebut seterusnya ditampal pada kad imbas dan disusun mengikut abjad.

Selain perkataan yang diambil daripada bahan bacaan, pencarian juga dibuat di negeri-negeri yang mempunyai loghat daerah.

Diskusi bersama individu berpengalaman turut dibuat seperti penulis antaranya, Keris Mas juga dibuat terutamanya pada waktu malam.

Teks-teks sastera lama turut dikaji dan setiap perkataan diteliti. Lebih 200,000 keping kad imbas berjaya dihimpunkan kerana gaya bahasa Melayu yang memberi imbuhan pada kata akar menambah bilangan perkataan yang dikumpul.

"Kerja menggunting keratan artikel menyebabkan tangan kami luka-luka setiap kali pulang ke rumah," kenang Baha Zain ketika ditemui di rumahnya yang terletak di Gombak, Selangor.

Kerjanya tidak terhenti setakat itu, kad-kad yang disusun dalam kotak besi perlu disalin semula menggunakan mesin taip untuk dijilidkan.

"Maka, timbul konotasi, jangan masukkan pesalah ke dalam penjara, tetapi suruh dia kerja membuat kamus," seloroh Baha Zain yang kini sudah menjangkau usia 74 tahun ketika menggambarkan kesusahan membikin kamus.

Iutlah pengalaman yang dilalui oleh Baha Zain pada peringkat awal kariernya di Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai timbalan ketua di bahagian perkamusan.

Bagi merealisasikan penjilidan kamus tersebut, DBP telah melantik Pakar Perkamusan dari Indonesia, Dr. Teuku Iskandar dari Indonesia bagi mengetuai projek berkenaan. Turut terlibat Penasihat Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Dr. Teuw.

Ekoran itu, nama Dr Teuke diabadikan pada kulit Kamus Dewan.

Sebelum Kamus Dewan diterbitkan pada tahun 1970, terdapat usaha-usaha membuatnya, bagaimanapun sering tergendala disebabkan perkara-perkara tertentu seperti penukaran individu untuk sesuatu jawatan.

Kini, Kamus Dewan telah pun memasuki edisi keempat dan mempunyai versi laman web yang boleh dirujuk dengan mudah di alamat, http://prpm.dbp.gov.my/.


Baha Zain

Menulis sepenuh masa

Sejak lima tahun lalu, lelaki yang mempunyai ketinggian 162 sentimeter itu meletakkan semua jawatan yang disandang termasuk di syarikat penerbitan sendiri, Pustaka Cipta Sdn. Bhd.

"Saya mahu menulis sepenuh masa secara bebas dan melakukan perkara yang disukai seperti berkebun," ujarnya ringkas.

Jika berkarya, Baha Zain gemarkan puisi kerana lebih spontan berbanding esei yang perlu dirancang teliti setiap kali membuat satu-satu penulisan. Tiada waktu yang khusus bagi Baha Zain untuk mengarang puisi, tetapi lebih bergantung kepada mood pada waktu tersebut.

"Menjadi penulis sepenuh masa memang ada kesan pada ekonomi, tetapi penulisan sastera adalah pengucapan hidup saya," ungkapnya.

Nama Baha Zain sebenarnya lahir daripada singkatan nama penuhnya dan digunakan sejak beliau menuntut di universiti lagi sekitar tahun 1960-an, tidak disangka apabila nama itu menjadi lebih popular.

"Menggunakan nama pena dalam penulisan telah wujud sejak zaman British lagi dan diikuti oleh generasi berikutnya," katanya.

Tujuan penulis pada masa itu adalah mahu idea mereka diketengahkan dan bukan diri penulis sendiri, ia amat berbeza dengan penulis sekarang yang menggunakan nama sebenar.

Minat Baha Zain dalam bidang penulisan bercambah perlahan-lahan sejak di bangku sekolah lagi. Beliau mempunyai abang dan kakak yang gemar membeli majalah hiburan sekitar tahun 1950-an.

Ekoran itu, beliau dapat memupuk minat dalam bidang penulisan dan lebih bertuah lagi apabila antara gurunya yang mengajar bahasa Melayu merupakan kumpulan pertama yang mendapat latihan di Maktab Kirby, Liverpool, England.

Beliau masih ingat dengan jelas nama gurunya itu, Allahyarham Sufian Saori yang memberikannya galakan secara berterusan dalam penulisan.

Rata-rata penulisannya didasari pengalaman dan persekitaran Baha Zain yang membesar di kampung dan belajar di kota besar.

Baha Zain dilahirkan di Batu 15, Hutan Melintang, Perak dan mendapat pendidikan di Sabak Bernam, Selangor, manakala peringkat sarjana muda pula di Universiti Malaya pada tahun 1960.

Buku seumpama tidak dapat dipisahkan dengan para pengkarya tanpa mengira bidang, begitu juga Baha Zain. Setakat ini, beliau sudah memiliki lebih 10,000 buah buku.

Antara penulis, Joseph Brodsky dari Rusia, Goenawan Mohamad dari Indonesia dan T. S Eliot dari British.


BAHA ZAIN mengabdikan diri selama lima tahun bagi mengumpulkan semua perkataan yang terdapat dalam bahasa Melayu untuk disusun menjadi sebuah kamus.

Baha Zain merupakan seorang pengkarya yang telah melalui zaman mesin taip yang panjang dan kini era komputer, tetapi beliau masih lagi setia mengarang puisi.

Barangkali, ada persepsi mengatakan orang seni sering mahu menjadi lain daripada lain, malah ada yang menolak kemodenan. Baha Zain bukan begitu waima terhadap media sosial, Twitter dan Facebook.

"Sepatutnya, medium sebegitu digunakan sebaik mungkin dalam meningkatkan lagi penulisan," katanya lagi. Baha Zain juga menulis dalam blog, bahazain.blogspot.com.

Akuinya, selepas bertahun-tahun memakai mesin taip atau menulis dengan tangan, Baha Zain mengambil masa yang cukup lama, lebih kurang setahun untuk membiasakan diri menggunakan komputer dalam berkarya secara terus.

Boleh jadi, mudah orang ramai untuk mengatakan bahawa Baha Zain sudah mencapai kejayaan tertinggi apabila menerima Anugerah Sasterawan Negara ke-12 baru-baru ini.

Namun, jauh di sudut hati, Baha Zain masih berharap diberikan Allah idea untuk terus menulis sesuatu yang boleh membina bahasa Melayu, menanam pembinaan bangsa sekali gus boleh menjadi bekal matinya nanti.

Sumber: Kosmo

0 comments: