16 Disember 2013

Jambatan Kedua Pulau Pinang ~ Penghubung Baharu


Kemegahan Pulau Pinang

MELEWATI laluan sejauh 24 kilometer (km) di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS) memberikan pengalaman yang berbeza berbanding melalui Jambatan Pulau Pinang.

Laluan berliku jambatan kedua negeri itu yang menghubungkan Batu Kawan di Seberang Perai dan Batu Maung di bahagian pulau menyajikan panorama alam semula jadi yang menakjubkan. Apatah lagi, 16.9km daripada strukturnya merentasi permukaan laut Selat Selatan.

"Memandu di jambatan ini seolah-olah sedang meniti alam semula jadi dengan berlantaikan permukaan laut yang luas. Pemandangannya sungguh luar biasa. Saya tidak nampak langsung bangunan-bangunan di daratan semasa berada di tengah-tengah jambatan.


"Perasaan kagum dan teruja bergejolak tatkala menyaksikan bukit-bukau di pulau di samping pemandangan Pulau Jerejak dan Pulau Aman," luah seorang pengguna terawal jambatan itu, Nurul Azila Ismail, 28.

JSAHMS dibuka untuk laluan orang awam bermula pukul 12.01 malam 2 Mac 2014. Pada malam sebelumnya lebih 10,000 orang berada di Batu Maung bagi menyaksikan majlis perasmian jambatan itu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Anak tempatan

Menyingkap kembali idea pembinaan jambatan terpanjang di Asia Tenggara itu, ia dicetuskan oleh Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi bagi meningkatkan kegiatan ekonomi di negeri tersebut menerusi Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9).

Pada 12 November 2006, majlis penanaman cerucuk besi JSAHMS dilakukan Abdullah sebelum pembinaannya dimulakan pada November 2008.

Antara kawasan yang mendapat tempias pembangunan itu termasuklah kawasan berdekatan Seberang Perai, Pulau Pinang; Kulim, Kedah dan utara Perak.

Jambatan merentasi laut terpanjang di dunia ialah Jambatan Teluk Jiaozhou yang menghubungkan bandar pelabuhan barat China, Qingdao ke Pulau Huangdao sejauh 42.8 kilometer. Dibuka pada Jun 2011, ia dibina dengan kos kira-kira RM5 bilion.

Pembukaan rasmi JSAHMS telah mengubah landskap kehidupan di Batu Kawan terutamanya di Kampung Darat, Kampung Pengkalan dan Kampung Masjid yang menjadi pintu masuk ke jambatan tersebut.

"Dahulunya kawasan ini cuma ladang kelapa sawit. Pemandangannya pula suram kerana terletak di hujung laluan berdekatan laut. Namun, dalam tempoh enam tahun lalu, keadaan berubah sedikit demi sedikit," kata penduduk Kampung Pengkalan, Eng Bak Chooi, 77.

Tidak hanya memberi manfaat kepada penduduk Batu Kawan, jambatan itu turut memendekkan masa perjalanan dari tanah besar ke Balik Pulau, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bahkan bandar raya George Town.

Jambatan berkenaan turut meningkatkan nilai hartanah di kawasan sekitarnya sebanyak sekurang-kurangnya 10 peratus.

Bagaimanapun, jambatan kedua tersebut bukanlah pengganti Jambatan Pulau Pinang yang telah digunakan sejak September 1985. Sebaliknya JSAHMS menjadi pelengkap dalam menghubungkan tanah besar dengan bahagian pulau.


KEDUA-DUA jambatan ikon negeri Pulau Pinang menjadi pelengkap dalam menghubungkan tanah besar dengan bahagian pulau.

Sebanyak 25 hingga 30 peratus trafik dari Jambatan Pulau Pinang yang sudah berusia 28 tahun dijangka ditampung oleh ikon baharu tersebut.

Sementara itu, menurut Pengarah Urusan Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB), Datuk Ir. Dr. Ismail Mohamed Taib, pembinaan jambatan bernilai RM4.5 bilion itu telah membuktikan kehebatan dan kepakaran anak tempatan.

"Pada peringkat awal reka bentuk sahaja kita menggunakan kepakaran dari China. Tetapi dari aspek pengurusan, pekerja, perunding dan bahan-bahan binaan semuanya menggunakan sumber tempatan," katanya.

JSAHMS dilengkapi ciri-ciri keselamatan tinggi, antaranya menggunakan galas getah redaman tinggi yang diperbuat daripada getah asli tempatan dan mampu menahan kesan gempa bumi sehingga 7.5 pada skala Richter.

Reka bentuknya juga dicipta untuk keperluan mendapan sebanyak 50 meter bagi tempoh 20 tahun akan datang.

Pada asalnya, jambatan ini dijangkakan siap pada September 2013, namun atas masalah teknikal, pembinaannya dilanjutkan sehingga November 2013.

Pada 6 Jun 2013, seorang bekas anggota polis, Tajudin Zainal Abidin maut selepas tanjak penyambung susur keluar jambatan itu ke Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu di Batu Maung runtuh. Konkrit seberat 300 tan itu menghempap kereta Perodua Kelisa yang dinaiki Tajudin.

Tragedi itu menyebabkan pembinaan tertangguh selama dua bulan sebelum siap sepenuhnya pada Februari lalu.

Sumber: Kosmo [9/3/2014]

Penghubung Baharu



Jambatan sepanjang 24 kilometer (km) itu menghubungkan Batu Kawan di tanah besar dan Batu Maung di pulau. Pembinaannya adalah bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jambatan Pulau Pinang biarpun telah dinaik taraf menjadi tiga lorong.

Sebelum ini, Pulau Pinang telah dihubungkan dengan jambatan pertama iaitu Jambatan Pulau Pinang yang pembinaannya dimulakan pada 1982 dan siap tiga tahun kemudian dengan kos sebanyak RM850 juta.

Jambatan sepanjang 13.5 km itu dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 13 Ogos 1985 menghubungkan Pulau Pinang melalui Lebuh Raya Jelutong di Gelugor dengan tanah besar di Seberang Jaya.


UJIAN lampu hiasan sepanjang Rentang Navigasi Utama Jambatan Kedua Pulau Pinang ini turut diserikan dengan pertunjukan bunga api.

Projek pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang adalah usahasama antara China Harbour Engineering Company (CHEC) Ltd. dan UEM Builders Bhd. yang dilaksanakan sejak tahun 2008. Ini merupakan projek kerajaan pertama yang mendapat pinjaman kewangan daripada kerajaan China.

Pinjaman berjumlah AS$300 juta (RM1 bilion) itu diberikan oleh sebuah bank republik bagi membiayai 20 peratus daripada keseluruhan kos pembinaan jambatan tersebut yang menelan belanja RM4.5 bilion.

Walaupun jumlahnya tidak banyak berbanding kos keseluruhan, tetapi signifikan yang lebih besar ialah termeterainya kerjasama antara kedua-dua negara bagi projek berskala besar.

Selain menjadi jambatan terpanjang di Asia Tenggara, ia juga adalah jambatan terpanjang di dunia yang mengaplikasikan penggunaan Gegelung Getah Redaman Tinggi (HRDB).

Konsep binaan ini berkeupayaan menahan gegaran gempa bumi berukuran 8.2 skala richter dengan pusat pada kira-kira 300 km. Binaan menaranya pula dilindungi besi, berbanding Jambatan Pulau Pinang sedia ada yang dilindungi pulau buatan.


JAMBATAN kedua ini berkeupayaan menahan gegaran gempa bumi berukuran 8.2 skala richter.

Amat kuat

Difahamkan, kabel jambatan ini amat kuat yang digunakan bagi menampung berat dek jambatan. Jambatan Kedua Pulau Pinang turut menyediakan lorong khas untuk motosikal selain atas faktor keselamatan.

Pada 30 April 2013 lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi pemimpin pertama negara menggunakan laluan Jambatan Kedua Pulau Pinang dari Batu Maung di bahagian pulau ke Batu Kawan di Seberang Perai Selatan.

Beliau tiba di rentang tuju (bahagian tengah) utara jambatan terpanjang di Asia Tenggara itu kira-kira pukul 3.15 petang dengan diiringi bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri kemudiannya diberi penerangan ringkas berhubung kerja-kerja akhir pembinaan jambatan tersebut sebelum beramah mesra bersama kakitangan JKSB sambil menikmati minum petang.

Najib bersama rombongan kemudian menaiki kenderaan untuk menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Tok Labu, Kepala Batas.

“Kita harap bila projek ini siap, ia dapat membantu menjana pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang dan kita juga harap pemimpin di negeri ini bertindak lebih proaktif untuk menarik lebih ramai pelabur,” ujar beliau.

Dalam pada itu, gemerlapan limpahan cahaya di Jambatan Kedua Pulau Pinang buat pertama kali disaksikan ribuan warga negeri ini semasa ujian lampu hiasan yang dilakukan JKSB pada malam menjelang kemerdekaan 30 Ogos 2013 lalu.

Semasa ujian ini, lampu hiasan sepanjang Rentang Navigasi Utama Jambatan Kedua Pulau Pinang dipasang selama enam jam bermula pukul 9 malam sehingga pukul 2 pagi, dan diserikan dengan pertunjukan bunga api.

Bagaimanapun, di sebalik kemegahannya, Jambatan Kedua Pulau Pinang telah tercalit episod duka. Tanjak penyambung jalan sepanjang kira-kira 50 meter di susur keluar jambatan ini di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu menghala ke Batu Maung runtuh.

Tragedi yang berlaku kira-kira pukul 7.15 malam pada 6 Jun 2013 lalu menghempap sebuah kereta mengorbankan seorang lelaki, Tajuddin Zainal Abidin, 45, manakala tiga termasuk dua buruh asing pula cedera akibat terkena serpihan runtuhan.


JAMBATAN Lake Pontchartrain, Amerika Syarikat ini merupakan jambatan terpanjang di dunia iaitu sepanjang 38.4 km.

Runtuhan berkenaan adalah sebahagian daripada tanjak atau ramp di bawah kerja-kerja pembinaan dalam pakej 3A yang giat dijalankan.

Selamat

Jambatan ini disahkan selamat setelah melepasi ujian ketahanan beban berat selama tiga hari melibatkan 17 buah treler dengan jumlah berat keseluruhan ialah kira-kira 595 tan ditempatkan di sepanjang 240 meter jarak utama jambatan itu. ujian tersebut dilaksanakan pada Oktober, 2013.

Pada 12 Disember, 2013, ujian yang sama dilakukan terhadap jejambat susur keluar ke JPP2 di Batu Maung, membabitkan 15 lori dengan muatan penuh seberat 360 tan.

Ujian itu dilakukan oleh CHEC Construction (M) Sdn. Bhd., anak syarikat China Harbour Engineering Co. (CHEC) dan kontraktor dilantik untuk Pakej 1 projek pembinaan Jambatan Pulau Pinang Kedua.

Pengarah Urusan JKSB, Datuk Dr. Ismail Mohamed Taib berkata, siri-siri ujian beban itu adalah yang pertama dikendalikan di Malaysia dan Asia Tenggara sebelum ia boleh diperakui untuk perkhidmatan dan dibuka kepada orang ramai.

“Ujian beban itu dijalankan di jambatan kabel 475 meter bagi menentukan kapasiti beban jambatan siap bersamaan dengan yang telah diramalkan oleh teori dan seterusnya menentu ukur model pengiraan,” kata beliau.

Ismail berkata, ujian itu amat penting bagi memastikan jarak utama itu dibina mengikut spesifikasi reka bentuk dan menentu ukur struktur sebenar berbanding yang diramalkan oleh teori.

Oleh ZAKI SALLEH
Sumber: KosmoBHarian

Mercu tanda baharu negara



Jambatan pertama Pulau Pinang telah dibuka secara rasminya pada 3 Ogos 1985 iaitu kira-kira 29 tahun yang lalu oleh Perdana Menteri pada masa itu iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sejarah telah menunjukkan bagaimana Pulau Pinang selepas pembinaan jambatan pertama itu berubah sepenuhnya dari sudut landskap pembangunan fizikal dan ekonominya.

Selepas sekian lama pelbagai aktiviti antara bahagian seberang dan pulau dihubungkan menerusi laluan laut, pembinaan jambatan Pulau Pinang memberi alternatif yang jauh lebih baik dan cekap dalam menghubungkan kedua-dua kawasan itu.

Projek itu bukan sahaja memudahkan masyarakat pedagang yang sememangnya tertumpu di negeri ini kerana kelebihan pelabuhannya.

Malah, memberi impak cukup besar kepada penduduk di negeri ini yang turut menikmati limpahan ekonomi yang dibawakan menerusi pembinaan jambatan tersebut.

Maka, tidak hairanlah Pulau Pinang selepas pembukaan jambatan pertama itu muncul antara negeri yang menyaksikan lonjakan ekonomi yang cukup pesat.

Realiti serupa juga sudah dapat dibayangkan menerusi pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang.



TEPAT pukul 12.01 tengah malam Ahad 2 Mac, 2014, Jambatan Kedua Pulau Pinang buat pertama kalinya dibuka kepada orang ramai. Pembukaan rasmi tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 1 Mac, 2014 mengisytiharkan jambatan kedua Pulau Pinang sebagai Jambatan Sultan Abdu Halim Mu'adzam Shah. Pengisytiharan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Dengan status sebagai jambatan terpanjang di Asia Tenggara dan ketiga di dunia, projek itu sudah pun mendapat perhatian masyarakat antarabangsa waima sebelum pembinaannya lagi.

Dari sudut pelancongan misalnya, jambatan kedua itu menambahkan satu lagi mercu tanda yang perlu dilawati di negara ini khususnya di Pulau Pinang.

Laluan di atas laut sepanjang 17 kilometer membolehkan pengguna menyaksikan pemandangan selat selatan yang cukup mempesonakan.

Dari kejauhan menghala ke Batu Maung, pengguna boleh melihat sendiri kepesatan pembangunan di wilayah berbeza berbanding kawasan Georgetown sekiranya melalui jambatan pertama.

Beberapa pulau kecil juga bakal dilewati sepanjang kira-kira 20 minit memandu di atas jambatan kedua itu selain turut berpeluang menyaksikan sayup-sayup pemandangan jambatan pertama.

Memandu pada waktu malam pula pastinya menyajikan pemandangan lebih indah kerana jambatan sepanjang 24 kilometer ini diterangi dengan limpahan cahaya lampu jalan selain cahaya terang-benderang yang dipancarkan dari kawasan pulau.

Keadaan itu memberi kelebihan berganda kepada Pulau Pinang memandangkan Georgetown sudah pun dipromosikan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) di peringkat dunia sebagai Tapak Warisan Dunia.



Dengan dua pilihan perhubungan iaitu jambatan pertama dan kedua, serta pengangkutan feri yang terus menjadi tumpuan, sektor pelancongan di negeri ini pastinya akan lebih melonjak.

Masalah kesesakan di jambatan pertama seperti yang sering berlaku sebelum ini juga dapat dikurangkan dengan pembinaan jambatan kedua itu.

Memandangkan pembinaan jambatan kedua itu berdekatan dengan kawasan perindustrian di bahagian pulau, operasi syarikat-syarikat berasaskan perkilangan di kawasan tersebut juga bakal menjadi lebih rancak.

Secara tidak langsung, pengembangan operasi syarikat-syarikat perkilangan itu akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Namun, manfaat yang paling besar sudah semestinya dinikmati oleh penduduk Pulau Pinang itu sendiri.

Lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di kawasan yang menghubungkan seberang iaitu di Batu Kawan dan di bahagian pulau iaitu di Batu Maung.

Sebagai kawasan yang menjadi pintu masuk utama kepada jambatan kedua itu, landskap fizikal di kedua-dua kawasan tersebut berubah secara drastik.

Batu Kawan ketika ini tidak ubah seperti sebuah kawasan perindustrian baharu dengan banyak projek komersial sedang dan akan dibangunkan.

Batu Maung pula yang sememangnya terkenal sebagai kawasan perindustrian menjadi lebih sibuk dengan pelbagai aktiviti perdagangan.

Selain itu, nilai hartanah di kedua-dua kawasan tersebut yang kebanyakannya dimiliki orang Melayu dan kaum bumiputera juga melambung tinggi.

Kelebihan-kelebihan itu sebenarnya hanyalah sebahagian kecil daripada impak positif yang dibawakan daripada usaha besar Kerajaan Pusat membina Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Secara jangka masa panjang, pembinaan jambatan kedua itu pastinya memberi pulangan ekonomi berganda kepada negara selain keselesaan dan kemudahan kepada rakyat khususnya penduduk di Pulau Pinang.

Sehubungan itu, adalah wajar penduduk Pulau Pinang berterima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana projek yang menelan belanja sehingga RM4.5 bilion itu memberi manfaat secara langsung kepada mereka.

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
Sumber: Utusan

0 comments: