18 Disember 2013
Melayari Internet Secara Positif
KANAK-KANAK perlu didedahkan dan diajar tentang cara-cara menangani risiko keselamatan semasa melayari internet.
Jutaan pengguna Facebook di negara ini terdedah dengan risiko keselamatan di alam maya terutama dalam kalangan remaja. Antara bentuk jenayah siber yang semakin menular termasuklah penipuan wang, spam, penggodaman akaun peribadi, menghendap dan buli.
Penggunaan internet di negara ini semakin meluas, namun hanya segelintir rakyat Malaysia yang menyedari risiko melayarinya menyebabkan kes-kes jenayah siber dilaporkan semakin meningkat.
Syarikat telekomunikasi, DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. (DiGi) dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia, telah berkongsi hasil kajian Keselamatan Internet yang bertujuan mengukur tahap kesedaran dan pengetahuan kanak-kanak tentang keselamatan melayari internet.
Menurut Pengarah Strategi dan Pegawai Perhubungan Korporat DiGi, Christian Thrane, sebanyak 460 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh Malaysia terlibat dalam sesi soal jawab secara lisan dan bertulis yang diadakan pada 26 April hingga 12 Oktober 2013 lalu.
“Ini adalah kajian keselamatan terbesar yang pernah dilakukan di Malaysia dengan melibatkan 9,651 pelajar di bawah program CyberSAFE DiGi.
“Program ini merupakan sebuah bengkel pendidikan bagi meningkatkan kesedaran keselamatan kanak-kanak di alam siber, di samping meningkatkan kemahiran golongan pelajar, guru-guru dan ibu bapa ke arah suasana melayari internet yang positif dan selamat,” katanya.
Mangsa Buli
Hasil kajian itu mendapati sebanyak 27 peratus pelajar mengakui pernah dibuli semasa melayari internet, manakala 13 peratus masih dibuli. Selain itu, didapati 49 peratus daripada responden mengetahui beberapa rakan mereka yang pernah dibuli dalam internet.
Antara bentuk buli tersebut termasuk menerima mesej tidak bermoral, diejek dengan nama panggilan tidak sopan dan pencerobohan akaun laman sosial.
Dalam pada itu, sebanyak enam peratus mengakui mereka merahsiakan perkara-perkara tersebut daripada pengetahuan ahli keluarga dan rakan-rakan.
Tambah Thrane, sebanyak 88 peratus pelajar bersetuju pengetahuan tentang penjagaan keselamatan diri semasa melayari internet adalah sangat penting.
“Walaupun lebih daripada separuh menyedari kepentingan menjaga keselamatan, namun seramai 38 peratus daripada mereka tidak tahu cara melakukannya,” jelasnya.
Kajian tersebut juga mendapati empat daripada 10 ibu bapa tidak pernah memberitahu anak-anak tentang keperluan menjaga keselamatan semasa melayari internet.
Pendedahan
Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia, Shamsuddin Hassan berkata, kebanyakan kanak-kanak di negara ini tahu tentang risiko keselamatan semasa melayari, namun mereka tidak tahu cara menangani dan tidak diberi pendedahan secukupnya.
“Mereka harus diajar supaya tidak menggunakan kata laluan yang sama untuk setiap akaun sosial atau peribadi kerana ia akan memudahkan urusan penceroboh untuk menggodam akaun pemilik.
“Kanak-kanak harus diajar untuk meletakkan kata laluan yang lebih panjang dan tidak mudah dijangka oleh orang luar. Ini adalah antara perkara-perkara asas yang perlu diajar sebelum memberikan mereka telefon pintar.
Tambahnya, ibu bapa perlu lebih kerap memantau aktiviti anak-anak dalam talian dan tahu menggunakan penetapan yang disediakan di komputer rumah atau riba.
“Ibu bapa boleh menutup kemudahan akses internet selepas waktu perdana iaitu pukul 10.30 malam.
“Ia bagi mengelakkan anak-anak terus melayari laman-laman web sehingga melepasi waktu tidur mereka. Penetapan komputer adalah cara pengawalan yang paling mudah untuk dilakukan,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Zulaikha memberitahu. bagi mengelakkan dirinya terjebak dengan jenayah siber, dia sentiasa mengambil langkah berwaspada ketika berinteraksi dengan kenalan di laman sosial.
“Ibu sentiasa mengawasi perkembangan saya di Facebook dan tidak membenarkan saya meletakkan gambar sebenar di profil.
“Saya juga tidak menyatakan alamat rumah, nombor telefon atau apa-apa butir peribadi di laman sosial. Selain itu, saya tidak berkongsi akaun atau kata laluan dengan orang lain,” katanya.
Memantau
Ibu kepada dua orang anak, Sarah Ismail, 50, pula hanya membenarkan anak bongsunya, Muhd. Ainol Syazwan Mohd. Yaakob, 12, melayari internet sekiranya ditemani kakaknya.
“Kakaknya belajar di Universiti Teknologi Mara Sri Iskandar, Perak dan pulang ke rumah pada cuti semester atau hari-hari tertentu sahaja.
“Jadi, dia amat jarang melayari internet kecuali jika kakaknya pulang dan kakaknya akan memantau laman-laman yang dilayarinya,” jelasnya.
Sarah memberitahu, tindakan itu ekoran dia tidak begitu mahir dalam pengendalian komputer, apatah lagi untuk mengawal tingkah laku anaknya dalam dunia siber.
Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Sumber: Kosmo
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan