15 Disember 2013

Psikologi Komunikasi Dalam Kepemimpinan



PSIKOLOGI perkataan yang sering kita dengar apabila kita berkomunikasi. Kita digalakkan perlu cakap guna psikologi, bertutur secara berhemah, perkataan yang ditulis perlu betul dan ayat yang digunakan mesti ditapis sebelum melontarkan idea.

Jika salah ditulis atau diucap maka niat yang salah akan diterima. Susahnya hendak berkomunikasi walaupun hasrat yang dingini disalah erti. Kata orang tua-tua "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya". Tidak kira dengan siapa kita berkomunikasi, sikap hormat-menghormati amat penting.

Psikologi adalah himpunan dalam bidang akademik, klinikal dan perindustrian yang dengan penjelasan dan ramalan mengenai tingkah laku, pemikiran, emosi, motivasi, hubungan peribadi, keupayaan dan patologi.


Komunikasi ialah satu proses perpindahan maklumat, perasaan, idea, dan fikiran seseorang individu kepada individu atau sekumpulan individu yang lain. Proses interaksi yang merangkumi kedua-dua pihak untuk menghasilkan pemahaman.

Komunikasi boleh mengambil bentuk secara lisan mahupun tulisan, misalnya bahasa gerak-geri, bahasa isyarat, sentuhan dan hubungan mata. Jika kita berkomunikasi kadang kala akan menimbulkan salah faham bukan sahaja dalam bentuk lisan malah secara penulisan.

Kepimpinan adalah satu perkara yang intangible. Tidak ada komputer atau mesin yang boleh menggantikannya. Oleh itu, kita jangan lupakan elemen kepimpinan apabila menggunakan komputer untuk mencari sesuatu jawapan atau mencapai satu-satu matlamat.

Pada hakikatnya, manusia sentiasa perlu dipimpin dan menjaga morale atau semangat kerja mereka adalah sangat penting. Jika ketiga-tiga ini digabungkan maka psikologi, komunikasi dan kepemimpinan semestinya berkesan memotivasikan pekerja kerana yang dipimpin adalah manusia yang mempunyai sifat atau watak tersendiri.

Gaya kepemimpinan juga penting dalam memastikan objektif asalnya tercapai. Peneliti asal Zhejiang University China iaitu Hora Tjitra menyatakan, budaya masyarakat termasuk faktor yang mempengaruhi secara psikologi gaya kepemimpinan seseorang. Beliau memberikan contoh dua negara.

"Gaya kepemimpinan Indonesia lebih fokus pada kekuatan bagaimana caranya menciptakan suasana bekerja yang lebih baik dan kepekaan terhadap para pekerja. Manakala, pemimpin di China lebih kepada berupaya memotivasi para pekerjanya agar bekerja lebih giat lagi. Hora, berpendapat orang Indonesia yakin seorang pekerja yang produktif merupakan pekerja yang penuh dengan kebahagiaan.

Bezanya untuk orang China, pekerja dikatakan berjaya jika mampu mencapai tujuan yang telah ditentukan, bagaimana dengan psikologi? Apa kaitannya psikologi dengan kepemimpinan? Istilah psyche atau jiwa masih sukar didefinisikan kerana jiwa itu merupakan objek yang bersifat abstrak.

Tan Sri Datuk (Dr.) Mohd Ghazali Che Mat seorang mantan Jeneral yang kini dalam bidang korporat memberikan kunci kejayaannya menjadi seorang pemimpin di sektor awam dan swasta.

Beliau menyatakan, seorang pemimpin perlu menggunakan psikologi dan berkomunikasi dengan berkesan.

Perancangan menentukan matlamat strategik dan taktik serta memastikan penghasilannya. Paling penting, adalah merancang dan menggunakan sumber-sumber manusia dan material yang ada dengan baik dan mesti tegas dengan setiap keputusan.

Selain memperkukuh disiplin, semangat setiakawan dan kebolehan anggota untuk bekerjasama sebagai satu pasukan serta pembinaan dan penyegaran etika yang mulia. Bertenang dan sabar apabila menghadapi keadaan tertekan dan kritikal.

Oleh itu psikologi yang berlainan adalah perlu di peringkat kepemimpinan. Bagaimanapun, secara amnya beliau berpendapat, darjah pimpinan yang efektif adalah sangat penting di dalam satu organisasi sama ada tentera atau industri.

Pemimpin mesti menghasilkan usaha-usaha yang baik untuk menyatu dan melahirkan semangat yang tinggi bagi anggotanya dengan memberi petunjuk, sokongan, galakan, contoh teladan yang sempurna dan idea yang baru setiap masa.

Seorang pemimpin yang bijak itu tidak sentiasa perlu menggunakan kuasa, dan perlaksanaan disiplin mesti berdasarkan maruah dan kehormatan seseorang anggota. Kata pepatah Inggeris "Bossiness in itself never make a leader".

Pada pendapat saya, psikologi komunikasi bukan sehala tetapi dua hala di mana kita perlu menjadi Listening Leaders atau pemimpin yang mendengar. Mendengar bukan sahaja dengan telinga tetapi dengan mata dan hati.

Contohnya, segelas air yang penuh perlu dibuang dan dikosongkan terlebih dahulu untuk memberi peluang kepada jawapan yang diberi oleh penutur umpama air baharu dituangkan ke dalam gelas kosong itu. Jawapan yang diberi tidak semestinya seribu alasan tetapi fakta-fakta yang boleh dikutip untuk ditapis dan mencari penyelesaiannya.

Ernest Miller Hemingway, seorang pengarang dan jurnalis asal Amerika dan pemenang Nobel Prize tahun 1954 memberi banyak kata-kata bijak. Salah satunya berbunyi: "When people talk, listen completely. Most people never listen".

Komunikasi pemimpin mampu ditingkatkan dengan kemampuan dan keinginan untuk membaca, berani menyampaikan pendapat, idea, atau gagasan, baik melalui tulisan atau dalam bentuk retorik.

Selain itu, jangan malu untuk bertanya dan memberikan pendapat jika kita mampu bersaing secara global untuk menjadi pemimpin yang kreatif, inovatif, dan kreatif.

Kejayaan seseorang pemimpin itu akan diukur dengan kejayaan anggota yang dipimpinnya, dan sejauh mana mereka dapat bekerja sebagai satu pasukan, dan kerelaan mereka mengikutnya, terutama apabila keadaan menjadi sukar dan mempunyai risiko tinggi.

Oleh: DR. JESSICA ONG HAI LIAW,
Timbalan Pengarah Pusat Penerbitan dan Pensyarah Kanan,
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Sumber: Utusan

0 comments: