19 Februari 2014

Utamakan Keselamatan Ketika Mendaki Gunung



Sepanjang Februari 2014 ini, berlaku dua tragedi maut melibatkan pendaki. Kejadian pertama pada 9 Februari 2014 di Gunung Suku, sekitar 35 kilometer dari Simpang Pulau, Perak. Seorang pendaki, Lee Kar Giat, 61, mati ketika menuruni gunung tersebut pada petang tarikh tersebut.

Tak sampai 13 jam selepas tragedi di Gunung Suku, seorang pelancong wanita dari Jerman, Viktoria Paulsen, 22, menemui ajal di puncak Gunung Kinabalu.

Mangsa dikatakan berdiri di luar kawasan tali keselamatan di puncak Low's untuk merakam gambar matahari terbit sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam jurang pada subuh 10 Februari 2014.


Kira-kira dua bulan sebelum itu, Ng Pee Tat, 32, maut semasa mendaki Bukit Tabur dekat Taman Melawati, Kuala Lumpur pada awal Disember 2013, diikuti kemalangan maut melibatkan seorang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Solehah Abd. Rahman, 25, yang menemui ajal setelah terjatuh di bukit yang sama pada 14 Januari 2014.

Berikutan kejadian malang bertimpa-timpa di Bukit Tabur, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor mewajibkan setiap pendaki mendapatkan permit dengan bayaran RM5 seorang dan laluan mendaki pula hanya dibuka pada hujung minggu.

Tidak dinafikan ajal maut di tangan Tuhan tetapi perlu difahami bahawa ajaran Islam menuntut umat-Nya berusaha mengelak kejadian yang tidak diingini dan tidak menyerah kalah sahaja.


BUKIT Tabur kini hanya boleh didaki pada hujung minggu berikutan peraturan baru yang diperkenalkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

PATUHI ARAHAN PEMANDU ARAH

DALAM apa sahaja ekspedisi mendaki, mematuhi arahan pemandu arah (guide) adalah penting. Ini kerana mereka lebih arif dan berpengalaman. Di Taman Kinabalu misalnya, pemandu arah akan menyampaikan taklimat keselamatan kepada semua pendaki sebelum memulakan pendakian.

Apa yang dilarang sepatutnya dijauhi kerana melanggarnya bermakna mendedahkan pendaki kepada risiko maut. Antara larangan yang jelas adalah tidak dibenarkan berada terlalu lama di puncak Low's iaitu puncak tertinggi di Gunung Kinabalu dan tidak dibenarkan keluar dari kawasan tali keselamatan.

Jika masih ingkar dan berlaku kejadian yang tidak diingini, maka siapakah yang mahu dipersalahkan?

Berbalik kepada isu keselamatan yang kini sedang hangat diperkatakan dalam kalangan penggemar aktiviti mendaki, tentunya kita tidak mahu kejadian malang menimpa diri, keluarga dan kenalan.

Justeru, apakah yang perlu dilakukan?

Antara faktor yang menyumbang kepada kejadian malang adalah sikap ego dan degil, tidak mengikut arahan ketua ekspedisi dan pemandu arah, merasakan tindakannya betul, tidak peduli 'arahan' tubuh yang menyatakan terlalu penat dan memerlukan rehat, tidak menyarung kasut mendaki yang sesuai dan tidak minum air yang cukup sehingga badan mengalami kekurangan air.

Sebagai contoh, dalam kejadian pendaki sesat dalam perjalanan turun ke Blue Valley dari Kem Gurkha beberapa tahun lalu. Sikap degil seorang pendaki yang enggan berjalan dalam kumpulan sebaliknya 'lebih selesa' berjalan bersendirian kononnya telah biasa dengan laluan tersebut berakhir dengan tragedi sesat. Walaupun beliau berjaya ditemui keesokan harinya tetapi sikap itu telah menyusahkan banyak pihak.

Hakikatnya, banyak bahaya menunggu pendaki degil terutama yang kurang pengalaman. Mereka tentunya bingung untuk membuat pilihan simpang yang tiba-tiba ada di hadapan. Adakah ke kiri atau kanan atau terus? Mungkin ada pendaki hadapan sudah menutup laluan salah dengan ranting pokok tetapi bagi yang tidak perasan, mereka akan meredahnya dan akhirnya tersesat.

Apa pula akan berlaku jika terserempak dengan haiwan buas, tergelincir atau ditimpa dahan pokok ketika berjalan bersendirian?. Jika berlaku, tentulah bantuan akan lewat tiba, sekali gus membahayakan nyawa terutama jika tahap kecederaan serius. Tetapi jika kamu berteman, rakan kamu akan berusaha mendapatkan bantuan secepat mungkin.

Listen to your body, satu istilah yang cukup mendalam maknanya. Tidak semua pendaki memiliki tahap kecergasan yang tinggi. Ada yang bagus, sederhana dan lambat melangkah, selain kurang pengalaman ataupun tidak memiliki tenaga yang cukup untuk meneruskan pendakian.

Apabila berada dalam situasi itu, dengarlah apa yang tubuh kamu katakan. Jika tubuh memerlukan rehat, tidak ada salahnya kamu berehat sekitar lima hingga 10 minit untuk mengumpul semula tenaga yang hilang.

Biarkan rakan-rakan lain yang lebih cergas berjalan laju di hadapan. Jangan sesekali mengikut rentak tapak kaki mereka kerana jika dipaksa, ia akan memudaratkan diri. Kesilapan sedikit ketika mendaki tebing sambil berpaut pada dahan-dahan pokok, misalnya boleh membuatkan pendaki yang keletihan terlepas pegangan dan akhirnya terjatuh.

PERHATIKAN HALANGAN

APABILA terlalu penat, maka langkah juga pastinya akan semakin longlai dan keadaan itu boleh membuatkan pendaki tidak fokus terhadap halangan di sepanjang laluan sama ada terdapat lubang, tunggul kayu, licin dan sebagainya.

Bak kata orang, 'redah sahajalah' asalkan cepat sampai ke lokasi yang dituju. Situasi itulah yang boleh membuatkan pendaki mudah terjatuh. Badan yang penat akan terasa lemah, sedangkan ketika itulah kudrat diperlukan untuk terus berjalan.

Seorang ahli dalam satu kumpulan berlari menuruni Gunung Yong Yap di Sungai Siput, Perak mengalami kecederaan serius, beberapa tahun lalu.

Pendaki tersebut dikatakan mahu cepat sampai di Kampung Orang Asli Kuala Mu walaupun menyedari laluan licin. Malang tidak berbau apabila beliau tersadung dan terjatuh dalam posisi tangan kanan menyembah bumi terlebih dahulu. Kesan daripada itu, tulang bahu kanan hampir terkeluar akibat hentakan yang kuat. Berikutan itu, beliau terpaksa dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk mendapatkan rawatan.

Pengajarannya, jangan hanya fikir untuk cepat sampai ke tempat dituju sehingga tidak menghiraukan keselamatan diri.



BAWA UBATAN SENDIRI

RAMAI pendaki hanya mengharapkan pihak penganjur membawa bekalan ubatan sepanjang aktiviti. Memanglah bekalan ubatan ada disediakan untuk kumpulan, tetapi lebih wajar jika setiap pendaki membawa bekalan ubatan sendiri kerana jika berlaku sesuatu yang tidak diingini, bekalan itu mudah dicapai dari beg galas masing-masing.

Ini kerana krew yang membawa bekalan ubatan kumpulan biasanya berjalan tidak beriringan dengan pendaki. Perkara ini perlu diberi perhatian terutama pendaki yang mempunyai penyakit seperti lelah.

Faktor lain adalah memastikan bekalan minuman mencukupi untuk menggantikan peluh yang keluar. Justeru, jika terasa dahaga ataupun lapar, berhenti rehat sekejap untuk makan dan minum. Jangan biarkan diri kamu mendaki dalam kelaparan dan dahaga yang melampau.

Makanlah makanan yang memberikan bekalan tenaga dalam kadar cepat seperti kurma, kismis dan coklat. Makanan itu bukan sahaja mudah dibawa, malah tidak memerlukan pendaki membuka 'dapur haram' di pertengahan jalan untuk memasak, sekali gus menjimatkan masa perjalanan.

Bekalan minuman tenaga isotonik membekalkan keperluan garam yang mencukupi untuk badan. Ini kerana badan akan kehilangan garam yang banyak melalui peluh, justeru menggantikannya dengan kadar segera adalah perlu.

Apa yang perlu difahami dalam setiap tragedi yang berlaku adalah belajar sesuatu daripada setiap kejadian malang. Jangan bersikap menuding jari kepada pihak lain jika berlaku tragedi maut di gunung, sebaliknya bekerjasama dan bantulah apa yang perlu bagi menjamin keselamatan aktiviti mendaki.

Oleh ROHANA MAN
Sumber: Utusan

0 comments: